![]() |
Di
Mana Allah MOHD HAIRI NONCHI |
|
Beberapa Syubhat (Kekeliruan)
Ahl al-Bid’ah
Dan Jawapan Ahl
al-Sunnah Ke Atasnya
Dalam rangka menolak manhaj Ahl al-Sunnah
berhubung dengan penetapan (ithbat) ke
atas sifat al-Istiwa’ Allah Subhanahu
wa Ta’ala di atas ‘Arasy di atas langit
tanpa takwil dan ta’thil, golongan
Ahl al-Takwil khususnya mereka yang
beraliran al-Asya’irah dan yang sefahaman
dengannya telah membentuk beberapa hujah bagi
menjustifikasikan penolakan tersebut.
Di sini penulis akan membawakan enam contoh
daripada hujah-hujah yang dimaksudkan, disusuli
dengan hujah balas pihak Ahl al-Sunnah ke
atasnya bagi meluruskan semula
kekeliruan-kekeliruan yang dimaksudkan. Adapun
hujah atau syubhat yang dimaksudkan dan
jawapan semula Ahl al-Sunnah ke atasnya
adalah seperti berikut:
Syubhat # 1:
Para pentakwil dan pengingkar sifat Allah
Subhanahu wa Ta’ala membawakan beberapa
ucapan para tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah
sebagai hujah bagi menolak penetapan sifat
al-Istiwa’ Allah di atas ‘Arasy di atas
langit, antaranya yang masyhur adalah
sebagaimana ucapan al-Imam asy-Syafie
rahimahullah (204H) di bawah ini:[1]
والد ليل عليه هو أنه تعالى كان ولا مكان فخلق
المكان و هو على صفة الأزليه كما قبل خلقه المكان
لا يجوز عليه التغيير في ذاته ولا التبديل في
صفاته.
Dalil untuk itu (tiada bagi Allah itu tempat)
ialah Allah itu telah ada dan tempat itu tiada.
Lalu Allah mencipta tempat dan Allah masih lagi
dalam keadaan sifat-Nya yang azali sebelum
terciptanya tempat. Tidak boleh berlaku
perubahan ke atas dzat-Nya dan tidak berlaku
pertukaran ke atas sifat-Nya.
Ucapan yang hampir sama juga telah dikemukakan
oleh al-Imam ‘Abd al-Qadir al-Baghdadi
rahimahullah (429H) dimana beliau menulis di
dalam kitabnya, al-Farqu Baina al-Firaq,
ms. 256:[2]
وأجمعواعلى أنه لا يحويه مكان ولا يجري عليه زمان.
Mereka (Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah)
telah berijmak (bersepakat) bahawa Allah tidak
bertempat.
Dengan membawakan kenyataan kedua-dua tokoh di
atas dan lain-lain tokoh seumpama, para
pentakwil dan pengingkar sifat Allah
Subhanahu wa Ta’ala merumuskan bahawa tidak
diperbolehkan berkata “Allah beristiwa’
di atas ‘Arasy di atas langit” kerana ucapan
seperti ini akan menimbulkan kesan keberadaan
Allah Subhanahu wa Ta’ala pada suatu
tempat, hal yang mustahil bagi-Nya dan mustahil
pula diucapkan oleh Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam.
Jawapan:
Sebelum menjawab syubhat ini, terlebih dahulu
ingin penulis tegaskan di sini bahawa
sekalipun kedua-dua tokoh di atas dan
lain-lain tokoh yang seumpama menafikan sifat
bertempat bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala,
namun ini tidaklah membawa mereka kepada
perbuatan mengingkari (menta’thil)
sifat al-Istiwa’ Allah di atas ‘Arasy di
atas langit atau mentakwilnya kepada
makna yang menyimpang
daripada apa yang difahami di sisi
generasi al-Salaf al-Shalih.
Hal ini jauh berbeza dengan tindakan Ahl
al-Bid’ah yang dilihat sering
memanipulasikan kenyataan para tokoh tersebut
semata-mata bagi menjustifikasikan akidah sesat
mereka iaitu menta’thil sifat
al-Istiwa’ Allah di atas ‘Arasy di atas
langit lalu mentakwilnya kepada makna yang
berbeza dengan makna yang difahami oleh generasi
al-Salaf al-Shalih.
Adapun terhadap Syubhat #1 di atas, maka
ia dapat dijawab bahawa apabila yang dimaksudkan
“tempat” adalah seperti yang tersirat dalam
benak fikiran kita iaitu setiap yang meliputi
dan membatasi seperti langit, bumi, kursi,
‘Arasy dan sebagainya maka benar hal itu
mustahil bagi Allah dengan kesepakatan seluruh
ulamak Islam kerana Allah tidak mungkin dibatasi
dan diliputi oleh makhluk. Bahkan Dia lebih
besar dan agung, malah Kursi-Nya sahaja meliputi
langit dan bumi. Allah Ta’ala berfirman:
Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan
pengagungan yang semestinya padahal bumi
seluruhnya dalam genggaman-Nya dan langit
digulung dengan tangan kanan-Nya. Maha Suci Rabb
dan Maha Tinggi Dia dari apa yang mereka
persekutukan.
[Surah az-Zumar: 67]
Dan telah sahih dalam riwayat al-Bukhari (no.
6519) dan Muslim (no. 7050) dari Nabi
shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa baginda
bersabda:
يَقْبِضُ باِلْأَرْضِ وَيَطْوِيْ السَّمَاوَاتِ
بِيَمِيْنِهِ، ثُمَّ يَقُوْلُ: أَنَا الْمَلِكُ
أَيْنَ مُلُوْكُ اْلأَرْضِ؟
Allah menggenggam bumi dan melipat langit dengan
tangan kanan-Nya kemudian berfirman: Aku adalah
Raja, manakah raja-raja bumi?.
Adapun apabila yang dimaksud “tempat” adalah
sesuatu yang tidak meliputi yakni di luar alam
semesta, maka Allah di luar alam semesta
sebagaimana keberadaan-Nya sebelum menciptakan
makhluk. Jadi, Allah di “tempat” yang bermakna
kedua ini bukanlah makna pertama.[3]
Syaikh al-Albani rahimahullah pernah
mengatakan:[4]
... Yang merumitkan masalah sebenarnya adalah
kerana ilmu kalam (falsafah) telah merasuk dalam
masalah ini sehingga mengatakan kepada
penganutnya: Tidak dibolehkan mengatakan: Allah
di atas langit. Kenapa? Kerana Allah tidak
memiliki tempat? Kita katakan: Benar, Allah
tidak memerlukan tempat, tetapi harus diketahui
bahawa seorang Muslim tatkala meyakini bahawa
Allah di atas langit bukanlah seperti seseorang
di dalam biliknya!! Kenapa? Kerana ini adalah
tasybih (menyerupakan Allah dengan makhluk),
sekali-kali tidak.!!!.
[5]
Perhatikan pula ucapan Syaikh Salim al-Hilali
sebagaimana yang dinukil daripada kitab yang
berjudul al-Jama’at al-Islamiyyah, ms.
230:[6]
Adapun pendapat yang menyatakan bahawa Allah di
atas langit maka tidaklah melazimkan
tajsim
(membentuk). Mengapa demikian? Kerana
perkataan kita “Allah tinggi di atas ‘Arasy dan
berpisah dari makhluk-Nya” tidaklah berkonotasi
membatasi Allah pada satu tempat, sebab tempat
itu sesuatu yang terbatas di langit dan bumi
serta antara keduanya, sedangkan di atas ‘Arasy
tidak ada tempat. Fahamilah !!.
Mungkin wujud satu kemusykilan di kalangan para
pembaca, bagaimanakah kaitan fahaman Ahl
al-Sunnah di atas dengan
ijma’
yang dinukil oleh ‘Abd al-Qadir al-Baghdadi
(429H) bahawa: Tuhan itu tidak diliputi dengan
tempat dan tidak terkesan dengan peredaran
masa.?[7]
Sebenarnya
ijma’
tersebut merujuk kepada “tempat” sebagaimana
difahami di sisi makhluk yang melibatkan
tasybih dan tajsim. Hal ini jelas
salah dan kerana itulah wujud
ijma’
yang menolaknya.
Ijma’
ini tidak bersangkutan dengan fahaman Ahl
al-Sunnah sepertimana yang telah diterangkan
di atas di mana ianya bebas daripada
tasybih dan tajsim.[8]
Maka barangsiapa yang meyakini Allah berada di
dalam langit dalam erti terbatasi dan terliputi
oleh langit dan meyakini Allah memerlukan ‘Arasy
atau perlu terhadap makhluk lainnya, atau
meyakini bersemayam Allah di atasnya ‘Arasy-Nya
sama seperti duduknya makhluk di atas kerusinya;
maka orang seperti ini adalah sesat, pembuat
bid’ah dan jahil.
Barangsiapa yang meyakini kalau di atas ‘Arasy
itu tidak ada Tuhan yang disembah, di atas
‘Arasy itu tidak ada Tuhan yang orang-orang
solat dan bersujud kepadanya, atau meyakini
(Nabi) Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam
tidak pernah diangkat menghadap Tuhannya,
atau meyakini kalau al-Qur’an tidak diturunkan
dari sisi-Nya, maka orang seperti ini adalah
Mu’aththil Fir’auni (penolak sifat Allah dan
pengikut Fir’aun), sesat dan pembuat bid’ah.
Ibn Taimiyyah rahimahullah berkata
setelah memberi penjelasan yang panjang bahawa
orang yang mengatakan: Barangsiapa tidak
meyakini Allah di atas langit adalah sesat, jika
yang dimaksudkan adalah: Barangsiapa yang
meyakini Allah itu di dalam lingkup langit
sehingga Allah terbatasi dan diliputi langit,
maka perkataan itu adalah keliru. Sedangkan yang
dimaksudkan dengan ucapan itu adalah:
Barangsiapa yang meyakini apa yang tercantum di
dalam al-Kitab dan al-Sunnah serta telah
disepakati oleh generasi awal umat ini (al-Salaf
al-Shalih) dan para ulamaknya – iaitu Allah
berada di atas langit bersemayam di atas
‘Arasy-Nya, terpisah dari makhluk-Nya, maka ia
benar.
Sesiapa sahaja yang tidak meyakininya bererti
mendustakan Rasulullah dan pengikut selain
orang-orang yang beriman. Bahkan sesungguhnya
dia telah menolak dan meniadakan Tuhannya
sehingga pada hakikatnya tidak memiliki Tuhan
yang disembah, tidak ada Tuhan yang dimintai,
tidak ada Tuhan yang ditujunya.[9]
Secara lebih terperinci, sila perhatikan pula
ucapan Syaikh Muhammad Shalih al-’Utsaimin
rahimahullah
(1421H) berikut di bawah ini:
[10]
Anda kerap baca atau dengar bahawa Allah itu
tidak berada di satu tempat (makaan).
Jadi, apa yang benar mengenai istilah ini?
Pertama, kita hendaklah ingat bahawa istilah
makaan
(tempat) boleh memberi makna seperti berikut:
1.
Yang memagari suatu benda dan menutupinya pula
dari bahagian-bahagian sisinya.
2.
Yang ada di atas suatu benda tempat ia
bergantung, seperti seorang lelaki berada di
atas bumbung.
3.
Yang suatu benda ada di atasnya tetapi tidak
diperlukan seperti burung-burung di atas bumi,
langit di atas atmosfera dan para Malaikat di
atas bumi dan udara.
4.
Yang berada di atas langit (alam) ini meskipun
bukan sesuatu yang wujud.
Makna yang terakhir ini bersetuju dengan (sifat)
al-’Uluw
Allah berada di atas langit dan Dia bersemayam (al-Istiwa’)
di atas ‘Arasy-Nya. Penyair terkenal bangsa Arab
dan salah seorang sahabat Nabi
shallallahu ‘alaihi wasallam
iaitu Hasan bin Thabit
radhiallahu ‘anhu
menyebutkan dalam salah satu syairnya:
تعالى علوا فوق عرشٍ إلهُنا
وكان
مكانُ الله أعلى وأعظما.
Yang sangat tinggi di dalam ketinggian-Nya di
atas ‘Arasy itulah Ilah kita. Dan makaan
(tempat) Allah itu sesungguhnya yang tertinggi
di atas segala sesuatu dan Maha Besar.
Sesungguhnya Hasan
radhiallahu‘anh
membenarkan tempat yang ada di atas langit di
mana di sana tidak ada makhluk yang wujud. Dia
mengetahuinya sebagaimana pengetahuan para
sahabat yang lain, bahawa Allah jauh dari semua
kekurangan dan sesungguhnya ‘Arasy seperti juga
segala makhluk yang selain daripada-Nya
bergantung kepada-Nya dan tiada sesuatu
meliputi-Nya.
Jadi, jika seseorang menyangkal bahawa Allah
berada di suatu tempat dalam pengertian bahawa
Allah terkandung dalam sesuatu yang lain yang
Dia memerlukannya, maka Allah sesungguhnya jauh
dari hal ini dan ketidaksempurnaan.
Oleh kerana itu, kita katakan bahawa
Allah berada di atas langit, mengatasi segala
makhluk, bersemayam di atas ‘Arasy-Nya, terbeza
dan terpisah dari makhluk-Nya. Sama ada apakah
tukang bid’ah akan faham atau tidak daripada
penjelasan mengenai Dia berada di suatu tempat,
maka hal itu tidak ada kaitannya.
Jika ada orang yang mengatakan bahawa Allah
tidak berada di suatu tempat dengan maksud dia
menafikan bahawa Allah dikelilingi di suatu
tempat atau Dia memerlukan suatu tempat, maka
penyangkalan menurut pengertian ini adalah benar
dan dipersetujui menurut manhaj golongan Salaf.
Namun, sekiranya penyangkalan tersebut
dimaksudkan untuk menafikan hakikat bahawa Allah
berada di atas langit dan mengatasi makhluk-Nya,
maka hal itu adalah penyimpangan (kesesatan).
Syaikh Muhammad Shalih al-’Utsaimin
rahimahullah juga sekai lagi menerangkan di
dalam kitabnya,
Tafsiru Ayatil Kursi,
ms. 97-99:
Para ulamak ilmu kalam (ahli falsafah) dan
Ahl al-Ta’thil
menyangkal bahawa Allah berada di atas
langit dan mengatakan bahawa Allah bukan
mutahayyiz
berdasarkan definisi mereka bahawa
mutahayyiz itu adalah suatu 'arah' atau
suatu 'tubuh'. Mereka mendakwa bahawa mengakui
suatu ‘arah’ (jihah) menjadikan Allah
disertai oleh makhluk. Sekali lagi kita
menjelaskan kesamaran (syubhat) tersebut menurut
cara al-Salaf al-Shalih memberikan
penjelasannya.
Istilah 'arah' ini boleh bermaksud sesuatu yang
wujud (maujud) atau tidak wujud (ma'dum).
Ada dan tiada adalah keadaan yang relatif bagi
ciptaan (makhluk), sedangkan ada pula relatif
untuk Khaliq (Pencipta) dan juga makhluk. Jadi,
di mana saja terdapat makhluk, maka jihah
(arah) itu ada disebabkan adanya dan dengan
ketiadaannya maka 'arah' itu sesuatu yang tiada.
Jadi, barangsiapa mengatakan bahawa Allah ada di
dalam suatu jihah (arah), maka kita
menanyakannya: Apakah anda maksudkan bahawa Dia
Subhanahu wa Ta'ala ada dalam suatu
jihah yang dengannya ada sesuatu selain Dia
seperti 'Arasy, langit, dan lain-lain makhluk?
Atau yang anda maksudkan ialah Dia berada pada
suatu arah di mana tidak ada sesuatu yang lain
selain Dia?
Istilah 'arah' itu dimaksudkan sama ada sebagai
sesuatu yang wujud selain Allah maka sebab itu
ia mestilah sesuatu yang dicipta (iaitu makhluk
seperti 'Arasy, langit dan lain-lain) atau ia
dimaksudkan juga sebagai 'di atas para makhluk'
dimana di sana tiada sesuatu yang wujud
melainkan Allah Yang Maha Tinggi (sahaja).
Istilah yang kedua ini boleh diterima maksudnya
kerana Khaliq itu berbeza dan terpisah
dari makhluk. Dia Subhanahu wa Ta'ala
bukan sebahagian daripada alam ciptaan ini dan
bukan pula alam itu sebahagian daripada-Nya.
Oleh kerana itu, barangsiapa yang:
1.
Menafikan ketinggian (al-'Uluw)
berdasarkan ke atas penyangkalannya terhadap
arah (di atas makhluk), maka pegangannya salah,
sedangkan mengakuinya menurut para salaf
mengakui maksudnya yang betul, maka itulah yang
benar. 2. Menggunakan istilah jihah untuk mengertikan bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala ada di atas langit dan al-Istiwa' di atas 'arasy-Nya menurut cara yang sesuai dengan keagungan-Nya, dan bahawa Dia berbeza (tidak serupa) dari makhluk-Nya, maka hal itu adalah benar.
Namun, golongan salaf lebih suka agar
menghindarkan diri dari menggunakan
istilah-istilah sedemikian dan agar kaum
muslimin tetap berpegang pada istilah-istilah
dari nas-nas al-Qur'an dan al-Sunnah. Tetapi
oleh kerana para pelaku bid'ah menggunakan
istilah-istilah tersebut menurut pemahaman
mereka, maka seseorang itu haruslah menjelaskan
kepada umat Islam tentang bahaya syubhat
(kesamaran) yang didapati daripada penyelewengan
mereka.
Selanjutnya perhatikan pula penjelasan Dr.
Muhammad Khalil Haras di bawah ini:
[11]
Kemudian, apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh
mereka tentang tempat yang belum ada ketika
Allah Subhanahu wa Ta’ala telah ada?
Apakah mereka memaksudkan tempat yang wujud
nyata di alam ini? Jika demikian adanya, maka
semua tempat ini adalah baru. Padahal kami tidak
menyatakan bahawasanya Allah berada pada sesuatu
yang baru berupa makhluk-Nya.
Adapun jika mereka memaksudkan dengan tempat
yang tiada (adami) berupa tempat kosong
yang tiada suatu apapun di dalamnya, tentu
dengan yang demikian mereka tidak dapat
mengatakan: “Kemudian, Dia menciptakan....”
kerana sesuatu yang tiada (adami) tidak
berhubungan dengan penciptaan (makhluk).
Jadi, jika Allah Subhanahu wa Ta’ala
dinyatakan berada di suatu tempat dengan erti
demikian sebagaimana petunjuk ayat (al-Qur’an)
dan al-Hadis, manakah yang melarangnya? Jadi
yang sebenarnya dapat dikatakan bahawasanya
Allah Subhanahu wa Ta’ala telah ada,
sedangkan sesuatu pun belum ada sebelum-Nya.
Kemudian Dia menciptakan langit dan bumi dalam
enam masa, dan ‘Arasy-Nya berada di atas air,
lalu Dia beristiwa’ di atas ‘Arasy. Lafaz
tsumma (kemudian) menunjukkan urutan
waktu kejadian (tartib zamani) bukan
sekadar athaf biasa.
Pengarang kitab An-Nashihah Fi Shifatir Rabb
Jalla wa ‘Alaa iaitu Syaikh Imaduddin
Ahmad bin Ibrahim al-Washithy rahimahullah
(711H) memiliki penjelasan yang amat baik
terhadap persoalan ini. Sila perhatikan
penjelasan beliau:
[12]
Bahawasanya Allah ‘Azza wa Jalla
telah
ada dan belum ada yang namanya tempat, belum ada
pula ‘Arasy (singgahsana Allah), air, angkasa,
udara, tempat yang kosong dan tempat yang
terisi. Dan bahawasanya Allah (ketika itu)
sendirian dengan sifat qidam
dan
azaliyyah-Nya (iaitu sifat Allah yang tidak
berawal dan tidak pula ada permulaannya). Dia
sendirian dalam keesaan-Nya, Maha Suci Dia dan
Maha Tinggi.
Ketika berada dalam kesendirian-Nya itu, Dia
tidak disifati dengan ‘keberadaan-Nya di atas
sesuatu’. Sebab, memang tiada sesuatu selain
Dia. Dia telah ada dan mendahului apa yang
diistilahkan ‘bawah’ dan ‘atas’ yang mana
keduanya adalah arah yang dimiliki oleh alam
semesta ini dan kedua sifat ini (bawah dan atas)
merupakan kelaziman bagi alam ini. Sedangkan
Rabb Yang Maha Tinggi dalam kesendirian-Nya itu,
Maha Suci dari kelaziman-kelaziman yang ada pada
makhluk.
Kemudian tatkala keinginan(Nya) yang suci
menghendaki penciptaan alam semesta yang baru
ini, yang merupakan makhluk, yang terhitung
bagi-Nya yang mempunyai beberapa arah, maka
keinginan-Nya yang suci tersebut menghendaki
bahawa ciptaan ini (alam semesta) memiliki
beberapa arah; atas dan bawah, sedangkan Dia
Yang Maha Suci, tersucikan dari sifat-sifat
makhluk ciptaan-(Nya) yang baru itu.
Kemudian Dia menciptakan alam semesta dan
menjadikan pada ciptaan-Nya itu dua arah; atas
dan bawah. Lalu ‘hikmah Ilahiyyah’
(kebijaksanaan Allah) menghendaki bahawa alam
semesta ciptaan-Nya ini berada di arah yang
bawah kerana ia adalah makhluk yang diciptakan,
sementara kebesaran dan keagungan Rabb memberi
konsekuensi bahawasanya Dia (Allah) harus di
atas jika dilihat dari sisi ciptaan-Nya yang
baru itu dan bukan ditinjau dari Keesaan dan
kesendirian-Nya. Kerana, ketika Dia sendirian
tidak ada atas dan tiada pula bawah. Sedangkan
Dia Sang Rabb Yang Maha Suci lagi Maha Tinggi
bersifat tetap sesuai (dengan) keqidaman-Nya dan
keazalian-Nya.
Dia tidak mengadakan sesuatu yang baru dalam
dzat dan sifat-sifat-Nya yang tidak ada
sebelumnya, pada keqidaman dan
keazalian-Nya. Dengan demikian, Dia yang
sekarang adalah sama dengan Dia yang dahulu
(iaitu sebelum terciptanya segala makhluk).
Hanya saja manakala Dia menciptakan makhluk-Nya
yang memiliki sejumlah arah, batas-batas, tempat
kosong, tempat yang berisi, arah atas dan arah
bawah, maka merupakan hikmah keagungan-Nya
sebagai Tuhan, telah memberikan konsekuensi
(bahawa) Dia berada di atas
kerajaan/kekuasaan-Nya dan kerajaan-Nya berada
di bawah-Nya ditinjau dari status kerajaan-Nya
sebagai sesuatu yang baru diciptakan dan bukan
ditinjau dari keqidaman Sang Pencipta....
Jika hal itu telah diketahui maka
al-Istiwa’
(bersemayam) adalah sifat Allah yang
qadim (tiada berawal) akan tetapi tidak
kelihatan hukumnya kecuali tatkala diciptakannya
‘Arasy. Sebagaimana sifat al-Hisab
(perhitungan) adalah sifat yang
qadim
bagi-Nya, namun tidak kelihatan hukumnya kecuali
di akhirat kelak. Demikian pula sifat
al-Tajalli (iaitu sifat menampakkan diri-Nya
pada hari akhirat), tidak akan kelihatan
hukumnya kecuali pada tempatnya.
Jika hal itu telah diketahui maka hal-hal yang
dihindari/dijauhi oleh para pentakwil yang mana
mereka mentakwilkan ‘al-fauqiyyah’
(keberadaan Allah di atas seluruh makhluk-Nya)
dengan makna ‘ketinggian darjat/kedudukan’ dan
mentakwilkan ‘al-Istiwa’ (bersemayam-Nya
di atas ‘Arasy/singgahsana) dengan
‘al-Istila’ (menguasai), maka (ketahuilah)
bahawa kami (Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah
yang bermanhaj al-Salaf al-Shalih) adalah
orang-orang yang paling mensucikan Allah
Subhanahu wa Ta’ala
dari had/batasan yang
dengannya menjadi jelas keagungan dan kebesaran
dzat-Nya dari seluruh makhluk-Nya.....
Syubhat # 2:
Para pengingkar al-Sifat Allah berkata:
Tidak boleh ditetapkan sifat
al-Istiwa’
Allah di atas ‘Arasy secara hakiki kerana
penetapan ini seolah-olah menggambarkan bahawa
Allah berhajatkan kepada ‘Arasy untuk Dia
“bersemayam” di atas ‘Arasy tersebut? Sudah
pasti sahaja perkara ini adalah suatu yang
mustahil bagi Allah yang tentunya tidak
sekali-kali berhajatkan kepada mana-mana jua
daripada makhluk-Nya!.
Jawapan:
Terhadap syubhat di atas, maka ia dapat
dijawab bahawa sesuatu yang berada di atas
sesuatu yang lain tidak semestinya menunjukkan
bahawa ia (yang berada di atas) berhajatkan
kepada sesuatu yang berada di bawahnya. Ambil
sahaja contoh langit dan bumi. Adakah langit
yang berada di atas berhajatkan kepada bumi yang
berada di bawahnya bagi membolehkan ia berada di
atas bumi tersebut? Sudah tentu jawapannya
tidak.
Nah! demikianlah juga apabila dikatakan bahawa
Allah berada di atas langit beristiwa’ di
atas ‘Arasy-Nya ini tidaklah bermaksud bahawa
Allah Subhanahu wa Ta’ala berhajatkan
kepada ‘Arasy tersebut. Maha Suci Allah daripada
andaian sedemikian kerana Dia adalah Maha Agung
lagi Maha Berdiri Sendiri sehingga tidak
memerlukan kepada mana-mana jua dari kalangan
makhluk ciptaan-Nya.
Berkata al-Imam ath-Thahawi rahimahullah
(321H) sebagaimana yang dinukil daripada kitab
Syarhul ‘Aqidah ath-Thahawiyyah, ms.
368-369:
[13]
Allah tidak memerlukan ‘Arasy dan apa yang di
bawahnya. Allah menguasai segala sesuatu dan apa
yang di atasnya. Dan Dia tidak memberi kemampuan
kepada makhluk-Nya untuk mengetahui segala
sesuatu.
Kemudian beliau menjelaskan:
Bahawa Allah menciptakan ‘Arasy dan bersemayam
di atasnya, bukanlah kerana Allah memerlukan
‘Arasy tetapi Allah mempunyai hikmah tersendiri
tentang hal itu.
Malah menurut Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah
rahimahullah (728H) menerusi kitabnya
Majmu’ al-Fatawa, jld. 2, ms. 88, beliau
menegaskan bahawa barangsiapa yang beriktikad
bahawa Allah berhajatkan kepada ‘Arasy maka dia
adalah kafir.
Ini sebagaimana katanya:
[14]
Sudah tentu menjadi kafir jika umat Islam
mengatakan: Sesungguhnya langit dan bumi
meneduhi dan memayungi-Nya, kerana perkataan
sedemikian menunjukkan Allah berhajat kepada
makhluk-Nya (iaitu langit dan bumi).
Maka sesiapa yang berkata: Sesungguhnya Allah
al-Istiwa’ di atas ‘Arasy, (Allah) berhajat
kepada ‘Arasy seperti berhajatnya barang yang
dibawa oleh seorang pembawa, maka sesungguhnya
dia kafir.
Ini
kerana Allah Maha Kaya (sehingga tidak perlu
berhajatkan) kepada apa-apa jua di alam ini.
Allah berdiri dengan sendiri, Dia Maha Kaya
secara mutlak dan tiadalah segala sesuatu (di
alam ini melainkan) berhajat kepada-Nya.
Syubhat
# 3:
Mereka (para pengingkar al-Sifat Allah) berkata:
Langit itu adalah kiblat bagi orang berdoa
sebagaimana Ka’abah adalah kiblat bagi orang
yang bersolat. Bukanlah bererti menghadap langit
ketika berdoa itu menunjukkan Allah berada di
atas langit!.
Jawapan:
Bagi menjawab kekeliruan ini, kita katakan
kepada mereka:[15]
وَكَانَ النَّبِيُّ يَسْتَقْبِلُ الْقِبْلَةَ فِي
دُعَائِهِ فِي مَوَاطِنَ كَثِيْرَةٍ.
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri dalam
banyak kesempatan berdoa menghadap kiblat.[16]
Barangsiapa yang menyatakan bahawa selain kiblat
solat ada lagi kiblat lain untuk berdoa, maka
dia telah membuat kebid’ahan dalam Islam dan
menyelisihi jamaah kaum Muslimin.
Ada pun arah yang dihadapkan oleh kepala, tangan
atau sisi tubuh manusia tidaklah dinamakan
dengan kiblat, baik secara kiasan apalagi
sesungguhnya. Demikian juga bahawa kiblat itu
adalah perkara syariat yang ada ketentuannya
dalam Islam dan Islam tidak menyuruh orang untuk
menghadap ke langit tatkala berdoa, bahkan hal
itu dilarang.
Selain itu, persoalan kiblat juga persoalan yang
dapat ditukar dan dapat dialihkan. Sebagaimana
dipindahkannya kiblat dari arah batu tergantung
(di Baitul Maqdis) ke arah Ka’bah. Adapun berdoa
menghadap ke tempat yang tinggi adalah hal yang
sudah ditetapkan dalam fitrah. Dan orang yang
menghadap kiblat pun tahu bahawa Rabb yang dia
tuju tidaklah berada di sana. Sebaliknya orang
yang berdoa, sesungguhnya dia tengah menghadap
Rabb dan Penciptanya dan mengharap-harap agar
rahmat turun dari sisi-Nya.
Syubhat # 4:
Para pengingkar al-Sifat Allah seperti golongan
al-Jahmiyyah dan al-Muktazilah
beranggapan bahawa mentakwilkan sifat
al-Istiwa’ Allah di atas ‘Arasy sebagai
al-Istaula’ (menguasai) ‘Arasy adalah
merupakan jalan keselamatan sebagai langkah
pensucian (tanzih) ke atas Allah daripada
memiliki apa-apa kesamaan sifat dengan
makhluk-Nya.
Jawapan:
Para pengingkar dan pentakwil nas al-Sifat Allah
Subhanahu wa Ta’ala ini tidak menyedari
bahawa tindakan mereka di dalam mentakwilkan
sifat al-Istiwa’ Allah di ‘Arasy sebagai
al-Istila’ atau menguasai ‘Arasy
itu sendiri memiliki beberapa kemudaratan yang
jauh lebih parah, paling kurang adalah tiga poin
berikut:
Tidakkah andaian ini merupakan suatu tindakan
perlekehan terhadap kedudukan Allah sebagai
Tuhan yang Maha Pencipta kerana tidak memiliki
apa-apa kekuasaan terhadap ‘Arasy yang
dicipta-Nya sendiri sehingga Dia terpaksa
berusaha “menguasai” ‘Arasy tersebut?
Demikian juga, tindakan baginda shallallahu
‘alaihi wasallam ini iaitu membiarkan sifat
al-Istiwa’ Allah Subhanahu wa Ta’ala
di atas ‘Arasy tanpa takwil dan
ta’thil turut diikuti oleh para sahabat
baginda radhiallahu ‘anhum, para
tabi’in dan tabi’ut tabi’in
termasuklah para imam empat mazhab iaitu al-Imam
Abu Hanifah, al-Imam Malik, al-Imam asy-Syafie
dan al-Imam Ahmad.
Persoalannya di sini adalah, apakah layak untuk
kita mengandaikan kesemua golongan ini sebagai
jahil, berfahaman al-Musyabbihah dan
al-Mujassimah kerana ketidakmahuan mereka
untuk mentakwilkan al-Istiwa’ Allah
kepada al-Istila’ bagi mengelakkan
kesamaan sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala
dengan sifat makhluk-makhluk-Nya?
Syubhat # 5:
Tidak boleh diterjemahkan lafaz al-Istiwa’
kepada makna “bersemayam” sebagaimana
menurut bahasa Melayu dan Indonesia kerana ini
akan membawa kepada perbuatan mentasybihkan
Allah dengan sifat bersemayam yang terdapat pada
makhluk.
Jawapan:
Tidak diingkari bahawa tidak boleh
diterjemahkan al-Istiwa’ dengan
“bersemayam” melainkan disertakan
penjelasan lanjut bahawa sifat bersemayam
tersebut bukanlah seperti bersemayamnya makhluk
yang difahami dalam bahasa Melayu dan Indonesia.[17]
Oleh itu apa yang benar ialah kalimah
al-Istiwa’ tetap boleh diterjemahkan kepada
makna “bersemayam” dengan syarat hasil
terjemahan tersebut haruslah diikat dengan
keyakinan bahawa ianya adalah suatu yang bebas
daripada memiliki apa jua kesamaan dengan sifat
makhluk, baik dari segi tatacara (kaifiyyat),
ciri-ciri mahupun bentuk sifat tersebut.
Syubhat # 6:
Wajib menyerahkan (al-Tafwidh)[18]
sepenuhnya makna al-Istiwa’ kepada
pengetahuan Allah Subhanahu wa Ta’ala
sebagaimana ucapan sebahagian tokoh iaitu:
“Terimalah ia sebagaimana ia datang tanpa
kaifiyyat.”
Antaranya seperti yang disebutkan oleh Syaikh
Hasanain Muhammad Makhluf, bekas mufti negeri
Mesir dalam kitab tafsirnya yang berjudul
Sofwah al-Bayan:
[19]
أما الاستواء على العرش فذهب سلف الأمة – منهم
الأئمة الأربعة – إلى أنه صفة الله تعالى بلا كيف
ولا انحصار ولا تشبة ولا تمثل، لاستحالة اتصافه
تعالى بصفات المحدثين. ولوجوب تنزيهه تعلى عما لا
يليق به (ليس كمثله شيء وهو السميع البصير) وأنه
يجب الإيمان بها كما وردت وتفويض العلم بحقيقتها
إليه تعالى.
Adapun Istiwa’
di atas ‘Arasy itu, maka
golongan Salaf – antara mereka para imam mazhab
yang empat – bahawa ianya salah satu sifat bagi
Allah Ta’ala
tanpa kaif,
tanpa
terbatas dan tanpa tasybih
serta
tamtsil kerana mustahil Allah
Ta’ala
bersifat dengan sifat makhluk. Dan wajib
menyucikan Allah Ta’ala
daripada perkara
yang tidak layak bagi-Nya (Tiada sesuatu yang
menyerupai-Nya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha
Melihat (Asy-Syura: 11). Dan wajib beriman
dengannya sepertimana ia datang dan menyerahkan
ilmu mengenai hakikatnya kepada Allah
Ta’ala.
Jawapan:[20]
Ada yang mendakwa, ucapan di atas adalah bukti
bahawa generasi al-Salaf melakukan
al-Tafwidh terhadap nas-nas al-Sifat.
Ini adalah dakwaan yang tidak benar kerana
beberapa sebab:
Maka yang benar dalam ucapan generasi
al-Salaf:
“Terimalah ia sebagaimana ia datang tanpa
kaifiyyat” terkandung bukti yang jelas
bahawa mereka menetapkan Sifat bagi Allah
sebagaimana Allah menyifati diri-Nya, hanya
kaifiyyat sifat tersebut yang ditafwidhkan
kepada Allah ‘Azza wa Jalla.
Sehubungan dengan hal ini, Syaikh al-Islam Ibn
Taimiyyah rahimahullah (728H) menulis:[21]
Sikap al-Tafwidh[22]
sudah dimaklumi kebatilannya kerana Allah
sendiri telah memerintah kita untuk
memperhatikan (tadabbur) al-Qur’an dan
menganjurkan kita untuk mengerti dan memahami
kandungannya. Bagaimana mungkin kita
memperhatikan al-Qur’an jika mengambil sikap (al-Tafwidh)
yang berpaling dari mengenal, mengerti dan
memahami makna-makna ayat al-Qur’an?
Apabila demikian, bererti para Nabi tidak
mengetahui makna semua atau sebahagian besar
sifat-sifat Allah yang disebutkan dalam
al-Qur’an atau mereka menyampaikan ucapan yang
mereka sendiri tidak fahami maknanya. Sudah
barang tentu, sikap al-Tafwidh
merupakan
bentuk perlecehan terhadap al-Qur’an dan para
Nabi. Sebab, Allah telah menurunkan al-Qur’an
dan mengkhabarkan bahawa Dia telah menjadikannya
sebagai petunjuk dan penjelas kepada manusia.
Ditambah lagi, Dia telah memerintahkan Rasul-Nya
untuk menyampaikan al-Qur’an dengan cara
sebaik-baiknya dan menjelaskan kepada manusia
apa yang telah Allah turunkan kepada mereka,
serta memerintahkan mereka untuk mentadabbur
al-Qur’an dan memahaminya. Bila kita ikuti
kemahuan sikap al-Tafwidh
di atas,
bererti permasalahan yang paling penting, iaitu
maklumat tentang sifat-sifat Allah, tidak boleh
diketahui oleh seorang pun. Dengan demikian
juga, kita (yang berpegang kepada sikap
al-Tafwidh) telah menuduh Rasulullah sebagai
belum menjelaskan kepada manusia dengan
sebenar-benar jelasnya.
Kenyataan Syaikh al-Islam di atas turut disokong
oleh Syaikh Muhammad Shalih al-‘Utsaimin
rahimahullah (1421H) di mana beliau
menjelaskan sebagai berikut:[23]
Tadabbur
(memerhatikan ayat-ayat Allah) hanya dapat
dilakukan terhadap hal-hal yang dapat difahami
sehingga manusia dapat mengambil pelajaran dari
apa yang telah difahaminya. Oleh kerana itu,
al-Qur’an diturunkan dalam bahasa Arab, sehingga
orang-orang yang faham bahasa Arab akan dapat
mengetahuinya. Hal ini menunjukkan makna-makna
yang terdapat di dalam al-Qur’an dapat difahami
(termasuklah ayat-ayat berkenaan sifat-sifat
Allah). Jika tidak, tentu tidak ada perbezaannya
diturunkan dalam bahasa Arab atau bahasa
lainnya. Demikian pula penjelasan Nabi terhadap
al-Qur’an meliputi penjelasan lafaz dan
maknanya.
¯
Penjelasan tambahan.
Bagi melengkapkan kefahaman kita, berikut
dinukilkan beberapa pernyataan para ulamak
Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah yang bermanhaj
al-Salaf al-Shalih berhubung dengan
persoalan “keberadaan Allah” di atas ‘Arasy di
atas langit dan hubung kaitnya dengan persoalan
“bertempat”, “berarah” (al-Jihah) dan
“berjisim” (al-Jism). Syaikh al-Islam
Taqiyuddin Ibn Taimiyyah rahimahullah
(728H) menjelaskan:
[24]
Sudah tetap lagi kukuh bahawa Allah, adalah Dia
Maha Tinggi, paling Tinggi (tiada apa-apa yang
lebih Tinggi daripada-Nya). Difahami dari
kata-kata “Dia di langit”, bahawa Dia pada sifat
ketinggian-Nya, bahawa Dia di atas setiap
sesuatu yang lain. Oleh kerana itulah apabila
seorang hamba ditanya (oleh Rasulullah): Di mana
Allah? Hamba itu menjawab: Di langit.
Sesungguhnya
yang dimaksudkan oleh hamba tersebut ketika
menjawab “Allah di langit” ialah sifat Maha
Tinggi (al-’Uluw) bagi Allah di samping
tidak mengkhususkan Allah dengan jisim-jisim
atau keberadaan Allah dalam sesuatu jisim.
Apabila dikatakan: Maha Tinggi (al-’Uluw),
maka ia mencakupi apa yang di atas sekalian
makhluk. Namun ini bukan bermaksud bahawa di
sana terdapat satu keadaan yang meliputi Dia
kerana di atas alam ini tidak ada sesuatu pun
yang wujud kecuali Allah....
Seterusnya sesiapa yang menimbulkan keraguan
berkenaan keadaan Allah di langit dengan makna
bahawa langit melingkungi-Nya atau meliputi-Nya,
maka dia dikira berdusta dan sesat.
Seandainya begitulah iktikad dia terhadap
Tuhannya. Tidaklah kami mendengar bahawa ada
seorang juga yang memiliki kefahaman sedemikian
dengan lafaz sedemikian. Dan tidak juga kami
melihat ada seorang jua yang menaqalkan
daripada seseorang yang lain.
Dalam keterangannya yang lain, Syaikh al-Islam
Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H)
menjelaskan:
[25]
Semua ucapan yang disebut oleh Allah
yang mengatakan bahawa Dia di atas ‘Arasy
mengandungi makna yang benar seperti apa adanya,
tidak memerlukan tahrif (dialihkan kepada
pengertian lain). Tetapi ia terpelihara dari
sangkaan yang tidak benar, umpamanya sangkaan
bahawa langit mengangkat atau menaungi-Nya.
Pendapat ini adalah batil menurut ijmak ahli
ilmu dan iman.
Sesungguhnya Kursy Allah itu benar-benar
meliputi langit dan bumi agar perjalanan
kedua-duanya tidak tergelincir dan Dia menahan
langit dan bumi agar tidak meleburkan bumi
dengan Izin-Nya. Allah berfirman sebagaimana
yang termaktub dalam al-Qur’an, surah ar-Rahman
ayat 25 (yang bermaksud): “Dan sebahagian
tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah berdiri
(terbinanya) langit dan bumi dengan
perintah-Nya.
Syaikh Muhammad bin Shalih al-’Utsaimin
rahimahullah (1421H) berkata sebagaimana
yang dinukil oleh Kamil al-Kawari menerusi
kitabnya Al-Mujalla fi Syarh al-Qawaid
al-Mustla fi Shifatillah wa Asma’i al-Husna li
al-’Allamah Muhammad Shalih al-’Utsaimin,
ms. 216-218:
[26]
Di antara (sifat) yang tidak ditetapkan dan juga
tidak dinafikan (dalam al-Qur’an dan al-Hadis
adalah) lafaz arah (al-Jihhah). Jika ada
yang bertanya: Apakah ditetapkan (sifat) arah
bagi Allah? Kami akan menjawab, lafaz arah tidak
disebut dalam al-Qur’an mahu pun al-Hadis, sama
ada penetapan atau penafian. Cukuplah kita
menggunakan perkataan (lafaz) yang terdapat
dalam al-Qur’an dan al-Hadis iaitu “Allah berada
di langit”.[27]
Ada pun maknanya, maka ia mungkin bermakna arah
ke bawah, arah ke atas yang meliputi Allah atau
arah ke atas yang tiada meliputi-Nya. Maka makna
yang pertama adalah batil kerana bertentangan
dengan sifat ketinggian Allah yang telah
ditetapkan berdasarkan al-Qur’an, al-Hadis,
akal, fitrah dan ijmak para ilmuan. Makna yang
kedua adalah batil juga kerana Allah Ta’ala
Maha Agung dari diliputi oleh sesuatu
daripada makhluk-Nya. Makna yang ketiga adalah
benar kerana Allah jauh Maha Tinggi daripada
makhluk-Nya dan tidak ada sesuatu daripada
makhluk-Nya yang dapat meliputi-Nya.
Selanjutnya, ketika mengomentari hadis Muawiyah
bin al-Hakam radhiallahu‘anh berkenaan
pertanyaan Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam ke atas wanita hamba tentang “di
manakah Allah”, Syaikh Muhammad bin Shalih
al-’Utsaimin rahimahullah (1421H)
berkata:
[28]
Jika mereka menolak bahawa Allah di atas alam
semesta kerana akan memberi maksud “arah
tertentu” (al-Jihhah), maka mereka salah
kerana tiada seorang pun dari alam semesta yang
pernah naik menemui Allah Subhanahu wa Ta’ala
melainkan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam,
namun baginda menegaskan bahawa Dia Subhanahu
wa Ta’ala berada di atas langit lalu
menunjuk ke atas kerana itu adalah arah
ketinggian (al-’Uluw). Arah
al-’Uluw ini tidak terbatas, mengandungi
atau meliputi Allah yang Maha Besar. Tiada
sesuatu yang (dapat) mengatasi-Nya, yang Maha
Tinggi.
Apakah mereka (menafikan sifat ketinggian bagi
Allah ini) lebih fasih ucapannya daripada Nabi
shallallahu ‘alaihi wasallam? Apakah
mereka lebih lurus terhadap ajaran-ajaran agama
ini daripada Nabi shallallahu ‘alaihi
wasallam? Sudah tentu mereka tidak demikian
sama sekali. Dan Nabi tidak berniat hendak
membingungkan umatnya. Seandainya ada kedustaan
ketika baginda mengesahkan tentang (sifat)
ketinggian Allah, pasti Nabi shallallahu
‘alaihi wasallam telah menjelaskannya. Namun
teks (dalil) tidak memerlukan
kesimpulan-kesimpulan dusta yang dibuat oleh
mereka yang menafikan ketinggian (al-’Uluw)
Dzat Allah di atas alam semesta.
Tidak
ada dalil dari al-Qur’an dan al-Sunnah yang
mengesahkan bahawa (sifat) ketinggian (Allah di
atas ‘Arasy di atas langit itu) membayangkan
bahawa Allah terkandung pada suatu tempat atau
Dia merupakan sebatian tubuh (jisim) atau dalam
batas-batas tertentu, kerana Dia di atas
segala sesuatu dan tiada makhluk mengatasi alam
semesta (kecuali) hanya Allah mengatasi segala
sesuatu.
Beliau juga menjelaskan di dalam kitabnya yang
lain, Syarh al-‘Aqidah Washitiyah, ms.
404:
Menurut Ahl
al-Ta’thil (para
pengingkar sifat Allah),
jika yang dia
inginkan dengan ucapannya “Di langit”
adalah bahawa Allah di atas, maka wanita
tersebut adalah kafir kerana menurut mereka
barangsiapa yang menetapkan bahawa Allah berada
pada satu arah (iaitu di atas) maka dia adalah
kafir, mereka berkata: Seluruh arah terbebas
dari Allah.
Pertanyaan Nabi dengan
“Di mana”
menunjukkan bahawa Allah mempunyai
“tempat”. Hanya saja kita wajib mengetahui
bahawa Allah tidak dikelilingi (atau tidak
diliputi) oleh tempat (berupa makhluk seperti
‘Arasy, langit, bumi dan lain-lain sebagaimana
yang berlaku ke atas makhluk-makhluk-Nya) kerana
Dia lebih besar dari segala sesuatu dan bahawa
apa yang di atas alam adalah ketiadaan. Tidak
ada sesuatu pun kecuali Allah, Dia di atas
segala sesuatu.
Pengarang kitab al-’Aqidah ath-Thahawiyah
iaitu al-Imam Abu Ja’far ath-Thahawi
rahimahullah (321H) juga ada menyebut
perkara ini sebagaimana katanya:
Allah yang Maha Tinggi tidak terbatasi oleh
batasan dan arah (al-Jihhah) yang ada
pada makhluk-Nya. Apakah itu berupa kepemilikan
organ tubuh, peralatan atau apa saja dan Dia
tidak dibatasi oleh arah yang enam (iaitu depan,
belakang, atas, bawah, kanan dan kiri)
sebagaimana yang berlaku pada makhluk-Nya.
Syaikh Abdul Aziz bin Bazz rahimahullah
(1420H) ketika mensyarahkan pernyataan al-Imam
Abu Ja’far ath-Thahawi rahimahullah
di atas menyebut:
Ucapan beliau, ath-Thahawi: Tidak meliputi arah
yang enam... maksudnya adalah arah yang enam
yang umum berlaku bagi makhluk-Nya.
Beliau tidak bermaksud meniadakan (sifat)
al-’Uluw dan al-Istiwa’ bagi Allah di
atas ‘Arasy-Nya. Kerana hal itu (iaitu sifat
al-’Uluw dan al-Istiwa’ Allah)
tidak termasuk arah yang enam (sebagaimana
yang berlaku pada makhluk-Nya –pen), tetapi
al-’Uluw dan al-Istiwa’ adalah di
atas alam dan meliputinya. Allah telah membuka
jalan bagi hamba-Nya untuk beriman kepada
(sifat) al-’Uluw-Nya Allah yang Maha
Suci, bahawa Dia berada di arah atas.
Keimanan terhadap al-’Uluw-Nya Allah
telah menjadi kesepakatan Ahl al-Sunnah wa
al-Jamaah dari kalangan sahabat Nabi
shallallahu ‘alaihi wasallam dan para
pengikutnya yang setia. Dalil-dalil berkenaan
dengan masalah ini tercantum di dalam kitab dan
al-Sunnah shahihah secara mutawatir,
semuanya menunjukkan bahawa keberadaan Allah
adalah di
atas.[29]
Turut memberi komentar ke atas ucapan al-Imam
Abu Ja’far ath-Thahawi rahimahullah di
atas ialah Abdul Akhir Hammad al-Ghunaimi
rahimahullah di mana beliau berkata:
[30]
Adapun makna “arah”, terkadang yang diinginkan
dengannya sesuatu yang ada, atau sesuatu yang
tidak ada. Sedangkan hal yang tak dapat
disangkal, bahawa yang ada hanyalah Yang Maha
Pencipta dan makhluk. Kalau yang diinginkan
dengan “arah” di situ sesuatu yang ada selain
Allah Ta’ala, maka bererti itu makhluk.
Sedangkan Allah tidaklah dapat dibatasi
(dilingkungi) oleh sesuatu. Kalau yang
diinginkan adalah sesuatu yang tidak ada (di
dunia) iaitu yang ada di atas dunia, maka di
sana tidak ada lain kecuali Allah. Kalau dengan
pengertian itu dikatakan bahawa Dia berada di
satu arah, maka itu benar. Iaitu yang dimaksud
bahawa Allah berada di atas alam dunia, tempat
yang tidak tergapai (oleh) manusia. Dia berada
di atas segala sesuatu, tinggi di atas mereka.
Adapun ucapan beliau: Dia tidak dibatasi oleh
enam penjuru arah yang membatasi segala makhluk
ciptaan-Nya, ucapan itu benar adanya, kalau
dilihat bahawa Dia memang tidak dibatasi oleh
satu makhluk pun. Bahkan sebaliknya, Dialah yang
membatasi mereka dan berada di atas mereka.
Pengarang kitab Syarah al-’Aqidah
al-Wasithiyah Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah,
Dr. Muhammad Khalil Haras berkata ketika
mengomentari hadis Muawiyah bin al-Hakam
radhiallahu‘anh yang lalu iaitu berkenaan
pertanyaan Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam kepada hamba wanita tentang
keberadaan (di manakah) Allah:
[31]
Sebagaimana
keterangan yang telah lalu, kami jelaskan
bahawasanya langit bukanlah suatu tempat yang
melingkupi Allah. Akan tetapi (lafaz) fii
di sini adakalanya bererti ‘alaa (di
atas) sebagaimana yang dikisahkan oleh
kebanyakan ahli ilmu bahasa. (lafaz) fii
dengan erti ‘alaa terdapat dalam beberapa
tempat, seperti dalam firman Allah:
Laushalliban nakum dii judzuu’ inakhli.
Adapun yang dimaksudkan langit ada kalanya arah
atas. Yang jelas, nas tersebut sebagai dasar
bahawasanya Allah Subhanahu wa Ta’ala
berada di atas makhluk-Nya.
Dalam kitab yang sama, ms. 147, beliau
mengulas:
Demikian pula firman-Nya
في السماء
tidak dapat diertikan bahawasanya langit sebagai
wadah yang mengelilingi Allah.
Bagaimana hal ini boleh terjadi, padahal
Kursi-Nya seluas beberapa langit dan bumi? Dia
mengendalikan langit tidak akan jatuh ke bumi
kecuali dengan izin-Nya, Maha Suci Dia dan Maha
Agung.
Ma’mar bin Ahmad al-Ashbahani
rahimahullah (428H) berkata di dalam risalah
yang ia tulis untuk sejumlah sahabatnya:
[32]
Allah bersemayam di atas Arasy-Nya tanpa
menentukan cara dan sifatnya (bilaa takyif),
tanpa menyerupakannya dengan makhluk (bilaa
tasybih) dan tanpa mentakwilkannya dari
makna zahirnya (bilaa ta’wil). Bersemayam
(al-Istiwa’) kita semua tahu, caranya
tidak diketahui dan bahawasanya Allah
terpisah dari makhluk-Nya dan makhluk-Nya
terpisah dari-Nya. Allah tidak bertempat pada
sesuatu, berbaur, tidak bercampur dan tidak pula
menempel (melekat).
Ringkasnya, makna yang benar untuk keberadaan
Allah di langit adalah bahawa Allah Yang Maha
Tinggi di atas langit. Jadi kata “di” bermakna
“di atas” dan bukanlah bermakna zharfiyah
(tempat atau ruang) kerana langit tidak dapat
menampung Allah Subhanahu wa Ta’ala.[33]
Ini sebagaimana keterangan Dr. Muhammad Khalil
Haras menerusi kitabnya Syarah al-’Aqidah
al-Wasithiyah Syaikh al-Islam Ibn Taimiyah:[34]
Tidak boleh difahami dari firman Allah
Subhanahu wa Ta’ala bahawasanya langit itu
adalah tempat bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala,
apatah lagi yang dimaksudkan langit adalah
langit yang kita kenal ini. Jadi lafaz fii
di sini diertikan ‘alaa
sebagaimana yang tersebut dalam
firman Allah yang lainnya yakni
ولأصلبنكم فى جذوع النخل.
Jika yang dimaksudkan dengan langit adalah arah
tinggi, memang pada hakikatnya Allah
Subhanahu wa Ta’ala di kedudukan yang
tinggi.
Berkata Dr. Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qaththani
sebagaimana yang disebutkan di dalam kitabnya
Syarh Asma’-illaahil Husna fii Dhau-il Kitab wa
Sunnah:
[35]
Yang demikian itu menunjukkan bahawa semua makna
al-’Uluw hanya tetap bagi
Allah
Subhanahu wa Ta’ala, dari semua sisi.
Milik-Nya ketinggian dzat, sesungguhnya Dia di
atas segala makhluk. Di atas ‘Arasy Dia
bersemayam, maksudnya Dia tinggi dan
ditinggikan. Milik-Nya ketinggian kadar, Dialah
yang tinggi dan agung sifat-Nya. Maka sifat
makhluk tidak bisa menyamainya. Bahkan semua
makhluk tidak ada yang boleh meliputi sebahagian
makna walaupun hanya satu sifat-Nya. Firman-Nya
(dalam surah Taha, ayat 110 yang bermahfum) :
...sedangkan ilmu mereka tidak dapat meliputi
ilmu-Nya.
Terakhir sekali, perhatikan pula pernyataan
Syaikh Imaduddin Ahmad al-Washithy
rahimahullah (711H) sebagaimana yang dinukil
daripada kitabnya, An-Nashihah Fi Shifatir
Rabb Jalla wa ‘Alaa:
[36]
Apabila hal tersebut telah tetap, maka
sesungguhnya Dia telah menciptakan alam semesta
pada suatu tempat dan lokasi, padahal Dia
Subhanahu (Yang Maha Suci) – dengan sifat
qidam-Nya – Maha Suci dari tempat dan
lokasi. Oleh sebab itu, secara syariat dan
logika mustahil pula Dia menempat alam ini atau
bercampur dengan alam ini setelah Dia
menciptakannya.
Sebab, dzat Yang Qadim (yang tiada berawal)
tidak mungkin menempati dzat yang baru dan bukan
pula Dia menjadi tempat bagi ciptaan yang
bersifat baru itu. Maka merupakan kelaziman
bahawa Dia harus terpisah dari ciptaan-Nya yang
bersifat baru itu dan jika Dia terpisah darinya,
maka mustahil alam semesta berada di atas-Nya
dan Dia berada di bawahnya, mustahil secara
syariat dan logika.
Apabila demikian halnya, maka merupakan
keharusan bahawa Dia berada di atasnya sesuai
dengan (keagungan dan kebesaran)-Nya yang tidak
dapat digambarkan kaifiyatnya (iaitu
hakikat keberadaan-Nya di atas ‘Arasy) dan tidak
pula disamakan (dengan sifat makhluk-Nya), akan
tetapi diketahui secara global dan dalam bentuk
penetapan (ithbat), bukan diketahui
secara kaifiyyat
dan penyerupaan dengan
(makhluk-Nya iaitu tasybih).
[1] Asalnya
dikemukakan oleh
al-Hafiz
Murtadho
al-Zabidin di
dalam kitabnya
Ithaf
Al-Sadah
Al-Muttaqin,
jld. 2,
ms. 36
sebagaimana
nukil Ustaz
Abdullah
Mustaqim dalam
buku beliau
Allah Wujud
Tanpa Bertempat,
ms. 91.
[2] Lihat
Allah Wujud
Tanpa Bertempat
karya Ustaz
Abdullah
Mustaqim,
ms. 93.
[3] Lihat
Di Mana Alloh?
Pertanyaan Yang
Sering
Terabaikan!
karya Abu
Ubaidah
As-Sidawi, ms.
60-61.
[4] Lihat
Di Mana Alloh?
Pertanyaan Yang
Sering
Terabaikan!
karya Abu
Ubaidah
As-Sidawi, ms.
61-62.
[5] Di atas
dasar ini kita
dapati para
ulamak Ahl
al-Sunnah wa
al-Jama’ah
amat membenci
ilmu kalam dan
menentang keras
terhadap siapa
jua yang
mengambilnya
sebagai sumber
di dalam
memahami
persoalan-persoalan
agama, khususnya
yang
bersangkutan
dengan tauhid
al-Asma’ wa
al-Sifat
Allah
Subhanahu wa
Ta’ala.
Perhatikan
ucapan-ucapan
mereka di bawah
ini:
al-Imam
asy-Syafie
rahimahullah
(204H) berkata:
حُكْمِيْ فِي
أَصْحَابِ
الْكَلَامِ اَنْ
يُضْرَبُوا
بِالْجَرِيْدِ،
وَيُحْمَلُوا
عَلىَ الْإِبِلِ،
وَيُطَافُ بِهِمْ
فِي الْعَشَائِرِ
وَ الْقَبَاِئلِ،
وَيُقَالَ هَذَا
جَزَاءُ مَنْ
تَرَكَ
الْكِتَابَ وَ
السُنَّةَ،
وَأَخَذَ قِي
الْكَلَامِ.
Hukum bagi
Ahli Kalam (al-Mutakallimun)
menurutku adalah
mereka harus
dicambuk
(disebat) dengan
pelepah kurma
dan dinaikkan ke
unta lalu
diiringi
keliling
kampung.
Kemudian,
dikatakan:
“Inilah balasan
orang yang
meninggalkan
al-Kitab dan
as-Sunnah serta
mengambil ilmu
Kalam.
[Lihat
I’tiqad as-Salaf
Ashaabil Hadith
oleh Syaikh Abu
‘Uthman
as-Shobuni,
tahqiq
al-Badr bin
‘Abdullah
al-Badr, no:
162; dalam
al-Wajiiz fii
‘Aqiidatis
Salafish Shaalih
karya
‘Abdullah
bin ‘Abdul Hamid
al-Atsari, ms.
257.]
al-Imam Malik
rahimahullah
(179H) pula
berkata:
لَوْ كَانَ
الْكَلَامُ
عِلْمًا
لَتَكَلَّمَ
فِيْهِ
الصَّحَابَةُ
وَالتَّابِعُوْنَ
كَمَا
تَكَلَّمُوْا فِي
الْأَحْكَامِ
وَالشَّرَائِعِ
وَلَكِنَّهُ
بِاطِلٌ يَدُلُّ
عَلَى بَاطِلٍ.
Seandainya ilmu
Kalam itu adalah
ilmu, nescaya
para Sahabat dan
Tabi’in akan
membicarakannya
sebagaimana
pembicaraan
mereka terhadap
ilmu-ilmu
syari’at. Akan
tetapi ilmu
Kalam adalah
sebuah kebatilan
yang menunjukkan
kepada
kebatilan.
[Lihat
Syarhus Sunnah
karya
al-Imam
al-Baghawi, jld.
1, ms. 217 dan
al-‘Amru bil
Ittiba’ wan
Nahyu ‘anil
Ibtida’
karya al-Imam
as-Suyuthi, ms.
70; dalam
al-Wajiiz fii
‘Aqiidatis
Salafish Shaalih
karya
‘Abdullah
bin ‘Abdul Hamid
al-Atsari, ms.
257.]
[6] Lihat
Di Mana Alloh?
Pertanyaan Yang
Sering
Terabaikan!
karya Abu
Ubaidah
As-Sidawi, ms.
77.
[7] Lihat
al-Farqu Baina
al-Firaq,
ms. 333 (Bab ke
3 daripada Bab
Usul yang
disepakati
atasnya oleh
Ahl al-Sunnah);
dalam
Pembongkaran
Jenayah Ilmiah
Buku Salafiyah
Wahabiyah
karya Hafiz
Firdaus Abdullah,
ms. 287.
[8] Lihat
Pembongkaran
Jenayah Ilmiah
Buku Salafiyah
Wahabiyah
karya Hafiz
Firdaus Abdullah,
ms. 287.
[9] Lihat
artikel Ibn
Taimiyyah
Jelaskan
Persoalan “Di
Mana Allah?”,
ms. 102.
[10] Lihat
Tafsiru Ayatil
Kursi karya
Syaikh Muhammad
Shalih
al-’Utsaimin,
ms. 107-108.
[11] Lihat
Syarah
al-'Aqidah
al-Wasithiyah
Syaikh al-Islam
Ibn Taimiyyah
karya Dr.
Muhammad Khalil
Haras,
ms. 100.
[12] Dinukil
secara berpisah
daripada
an-Nashihah Fi
Shifatir Rabb
Jalla wa ‘Alaa
karya
Syaikh Imaduddin
Ahmad bin
Ibrahim
al-Washithy,
ms. 90-96.
[13]
Lihat
Syarah ‘Aqidah
Ahlus Sunnah Wal
Jama’ah
karya Ustaz
Yazid bin
Abdul Qadir
Jawas,
ms. 204.
[14]
Lihat
Menjawab 17
Fitnah Terhadap
Syaikh al-Islam
Ibn Taimiyyah
karya Syaikh
Murad Syukri,
ms. 142-143
[15]
Ketiga-tiga poin
ini penulis
nukil daripada
Tahdzib Syarh
ath-Thahawiyyah
karya
Abdul Akhir
Hammad
al-Ghunaimi,
ms. 143-145.
[16] Hadis
riwayat
al-Bukhari
(no.1012, 1028),
Muslim (no.894),
Abu Daud
(no.1161),
at-Tirmidzi
(no.556) dan
al-Nasa’i
(no.1505) serta
Ibn Majah
(no.1267).
[17]
Penjelasan ini
asalnya telah
dikemukakan oleh
saudara Hafiz
Firdaus Abdullah
di dalam buku
beliau
Pembongkaran
Jenayah Ilmiah
Buku Salafiyah
Wahabiyah,
ms. 315.
[18] Lebih
lanjut berkenaan
konsep
al-Tafwidh
menurut manhaj
Ahl al-Sunnah
dan jawapan
Ahl al-Sunnah
terhadap
syubhat-syubhat
Ahl al-Bid’ah
berkaitan
dengannya, sila
lihat
Pembongkaran
Jenayah Ilmiah
Buku Salafiyah
Wahabiyah,
ms. 272 dan
seterusnya.
Selain
itu, sila lihat
juga keterangan
saudara Mohd
Yaakub Mohd
Yunus dalam buku
beliau Kaedah
Memahami
Nama-Nama &
Sifat-Sifat
Allah,
ms. 59 dan
seterusnya.
[19]
Sebagaimana yang
dikemukakan oleh
Ustaz Abdullah
Mustaqim dalam
buku beliau
Allah Wujud
Tanpa Bertempat,
ms. 42-43.
[20] Asal
penjelasan ini
dikemukakan oleh
saudara Hafiz
Firdaus Abdullah
dalam buku
beliau
Pembongkaran
Jenayah Ilmiah
Buku Salafiyah
Wahabiyah,
ms.
281-282.
[21] Lihat
Kaedah Memahami
Nama-Nama &
Sifat-Sifat
Allah karya
Mohd Yaakub Mohd
Yunus,
ms. 63-64.
[22] Maksud
beliau ialah
merujuk kepada
konsep
al-Tafwidh
sebagaimana yang
difahami oleh
generasi
al-Khalaf
iaitu penyerahan
nas al-Sifat
secara mutlak
kepada Allah
Subhanahu wa
Ta’ala.
Ini berbeza
dengan konsep
al-Tafwidh
di sisi al-Salaf
dimana al-Salaf
memahami makna
nas-nas
al-Sifat, hanya
sahaja
kaifiyyat
(tatacara,
ciri-ciri dan
bentuk) nas-nas
al-Sifat
tersebut
diserahkan
sepenuhnya (al-Tafwidh)
kepada
pengetahuan
Allah
Subhanahu wa
Ta’ala.
[23] Lihat
Kaedah Memahami
Nama-Nama &
Sifat-Sifat
Allah karya
Mohd Yaakub Mohd
Yunus,
ms. 62.
[24] Lihat
Bayan Talbis
al-Jahmiyyah,
jld. 1, ms.
559; dalam
Menjawab 17
Fitnah Terhadap
Syaikh al-Islam
Ibn Taimiyah
karya Syaikh
Murad Syukri,
ms. 87-88.
[25] Lihat
al-Asilatu wa
Ajwibatul
Usuliyyah ‘Alal
Aqidatil
Wasathiyah,
Dr. Abd Aziz
Muhammad
As-Salman, ms.
189-190.
[26] Lihat
Menjawab 17
Fitnah Terhadap
Syaikh al-Islam
Ibn Taimiyah
karya Syaikh
Murad Syukri,
ms. 87-88. [27] Begitulah sifat mulia yang dimiliki oleh Ahl al-Sunnah di mana mereka tidak akan berkata sesuatu mengenai agama ini melainkan mengikut apa yang dikatakan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, sedang mereka tidak pula melampaui batas sehingga mendahului Allah dan Rasul-Nya dalam hal tersebut. Ini termasuklah dalam persoalan membicarakan sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala. Apa yang dilafazkan oleh al-Qur’an dan al-Hadis yang sahih, demikian juga sebagaimana yang dilafazkan oleh Ahl al-Sunnah.
Sebagai contoh
adalah sifat
al-Istiwa’
bagi Allah di
atas ‘Arasy-Nya
di atas langit.
Ahl al-Sunnah
hanya
sekadar
melafazkan
kalimah wahyu
tersebut dan
memahami
maknanya,
akan tetapi
tidak pula sibuk
membahaskan
secara panjang
lebar apa dan
bagaimanakah
hakikat sifat
al-Istiwa’
tersebut. Ini
berbeza dengan
sikap Ahl
al-Bid’ah
khususnya dari
golongan para
pentakwil
al-Sifat Allah
yang hanya sibuk
menghabiskan
masa membahaskan
sifat-sifat
Allah sehingga
akhirnya
menjadikan diri
mereka sendiri
sebagai golongan
yang keliru lagi
mengelirukan!
[28]
Lihat
Tafsiru Ayatil
Kursi karya
Syaikh Muhammad
Shalih
al-’Utsaimin ms.
65-66.
[29]
Lihat
Kitab al-’Aqidah
ath-Thahawiyah
karya
al-Imam Abu
Ja’far
ath-Thahawi
(disyarahkan
oleh Syaikh
Abdul Aziz bin
Bazz), ms.
38-39.
[30]
Lihat
Tahdzib Syarh
ath-Thahawiyah
karya
Abdul Akhir
Hammad
al-Ghunaimi,
ms. 116.
[31]
Lihat
Syarah
al-’Aqidah
al-Wasithiyah
Syaikh al-Islam
Ibn Taimiyah
karya Dr.
Muhammad Khalil
Haras,
ms. 132.
[32]
Disebutkan oleh
Syaikh al-Islam
Ibn Taimiyyah di
dalam
al-Majmu’
al-Fatawa,
jld. 5, ms. 61,
adz-Dzahabi di
dalam
al-’Uluw,
ms. 262 dan Ibn
al-Qayyim
al-Jauzi di
dalam Ijtima’
al-Juyusy
al-Islamiyah,
ms. 276.
Lihat
al-Ma’iyyah
karya Dr. M.
Khalifah Ali
At-Tamimi,
ms. 85.
[33]
Sila
lihat penjelasan
ini di dalam
Lum’atul I’tiqad
al-Hadi ila
Sabilir Rasyad
karya al-Imam
Ibn Qudamah al-Maqdisi,
ms. 87.
[34]
Lihat
Syarah al-’Aqidah
al-Wasithiyah
Syaikh al-Islam
Ibn Taimiyah
karya Dr.
Muhammad Khalil
Haras,
ms. 103.
[35]
Lihat
Syarh
Asma’-illaahil
Husna fii
Dhau-il Kitab wa
Sunnah Dr.
Sa’id bin ‘Ali
bin Wahf al-Qaththani,
ms. 87.
[36]
Lihat
an-Nashihah Fi
Shifatir Rabb
Jalla wa ‘Alaa
karya
Syaikh Imaduddin
Ahmad bin
Ibrahim al-Washithy,
ms. 96-100.
Catatan tambahan:
Dalam rangka
menolak sifat
al-Istiwa’
Allah di atas ‘Arasy
di atas langit,
para pengingkar
sifat-sifat
Allah khususnya
dari kalangan
Ahl al-Takwil
mencipta
pelbagai
syubhat (kekeliruan)
bagi menjauhkan
umat Islam
daripada
mengimani
sifat-sifat
Allah
Subahanhu wa
Ta’ala.
Antara
syubhat yang
masyhur
dilontarkan oleh
golongan ini
dalam usaha
mereka menafikan
sifat al-Istiwa’
Allah di atas ‘Arasy
di atas langit
ialah dengan
melaungkan
slogan ‘Allah
wujud tanpa
bertempat’.
Penulis
berkata:
Golongan yang
melaungkan
slogan ‘Allah
wujud tanpa
bertempat’ ini,
mereka
sebenarnya ialah
orang-orang yang
sedang dalam
kebingungan di
dalam memahami
sifat-sifat
Allah. Perkataan
mereka ini
samalah dengan
ungkapan orang
yang sedang
dalam
kebingungan di
dalam memahami
sifat Mendengar
Allah sehingga
itu dia berkata:
‘Allah Maha
Mendengar tanpa
memiliki telinga!’.
Lihatlah betapa
bercelarunya
pemikiran
golongan ini
sehingga
mengaitkan
sifat-sifat
Allah dengan apa
yang tidak layak
bagi-Nya.
Bukankah lebih
mudah bagi
mereka untuk
memahami
sifat-sifat
Allah dengan
cara
mengimaninya
sebagaimana yang
didatangkan nas
tanpa difikirkan
dan tanpa
diserupakan
dengan
sifat-sifat
makhluk
sebagaimana yang
menjadi pegangan
Ahl al-Sunnah?
|