MARI BERKENALAN DENGAN

AHL AL-SUNNAH WA AL-JAMAAH

 

 

hafiz firdaus abdullah

 

   

Berkenalan Dengan Ciri - Ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah Dalam:

 

Amar Ma'ruf Nahi Mungkar

 

A - E : F - G : H - L

 

 

 

F:        Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah mensyaratkan bahawa pelaksanaan amar ma’ruf dan nahi mungkar hendaklah melalui akhlak yang mulia. Memandangkan pada masa kini kurangnya perkara ma’ruf dan banyaknya perkara mungkar adalah kerana jauhnya umat Islam daripada agama mereka yang tulen, maka hendaklah akhlak mendidik dijadikan kaedah utama untuk melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar. Seterusnya akhlak mencela, menghukum dan memulau (boycott) ditinggalkan kerana ia tidak menghasilkan kema’rufan yang diingini, sebaliknya mengekal atau menambah lagi kemungkaran.

Termasuk dalam akhlak mendidik ialah bijak menyusun strategi agar pelaksanaan amar ma’ruf dan nahi mungkar menjadi berwawasan dan menepati sasarannya. Lazimnya akhlak mendidik dalam pelaksanaan amar ma’ruf dan nahi mungkar tidak akan menghilangkan perkara ma’ruf yang lain atau menghasilkan serta menambah perkara mungkar yang baru.

 

Penjelasan:

Jika dikaji sejarah al-Salaf al-Shalih, akan ditemui bahawa mereka bersikap keras dan memulau (Hajr) Ahl al-Bid‘ah. Mereka rahimahumullah melaknat Ahl al-Bid‘ah, mencela mereka, mendoakan keburukan ke atas mereka, enggan bernikah dengan mereka, enggan memakan sembelihan mereka dan menampakkan pemusuhan yang tegar terhadap mereka. Al-Salaf al-Shalih juga memulau Ahl al-Bid‘ah, iaitu tidak memberi salam, tidak saling menegur, tidak duduk bersama, tidak memenuhi undangan dan tidak saling menziarahi. Al-Salaf al-Shalih juga tidak mengambil sebarang manfaat daripada hasil-hasil karya Ahl al-Bid‘ah.

Demikian beberapa contoh sikap keras dan pemulauan yang dilakukan oleh al-Salaf al-Shalih terhadap Ahl al-Bid‘ah. Bersikap keras dan memulau Ahl al-Bid‘ah adalah manhaj yang disepakati oleh al-Salaf al-Shalih. al-Baghawi rahimahullah (516H) berkata: “Para sahabat, tabi‘in dan para pengikut mereka serta para ilmuan Ahl al-Sunnah bersepakat atas memusuhi dan menghindari Ahl al-Bid‘ah.”[1]

Walaubagaimana manhaj al-Salaf al-Shalih ini tidak boleh kita baca dan praktikkan secara zahir dan kaku. Ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan terlebih dahulu:

 

Pertama:

 Tindakan pemulauan pernah dilakukan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada tiga orang sahabat yang enggan mengikuti ekspedisi jihad tanpa uzur yang dibenarkan oleh syari‘at. Pemulauan tersebut benar-benar memberi kesan kepada tiga sahabat tersebut sehingga akhirnya mereka bertaubat. Peristiwa ini dirakam oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Dan (Allah menerima pula taubat) tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka)

hingga apabila bumi yang luas ini (terasa) sempit kepada mereka (kerana mereka dipulaukan),

dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana menanggung dukacita),

serta mereka yakin bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari

dari (kemurkaan) Allah melainkan (kembali bertaubat) kepada-Nya;

kemudian Allah (memberi taufiq serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat.

Sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.

[al-Taubah 9:118]

 

Walaubagaimana pun, sejauh kajian saya, tindakan memulau hanya dilakukan sekali oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sepanjang usaha dakwah dan islah baginda. Ini menunjukkan bahawa memulau bukan sunnah yang terpilih berbanding sunnah bersikap lemah lembut, memaafkan dan mendidik secara bertahap-tahap. Oleh itu bersikap keras dan memulau Ahl al-Bid‘ah bukanlah sesuatu yang boleh diterapkan secara sesuka hati. Ia adalah pilihan terakhir setelah pelbagai usaha lain menemui kegagalan.

 

Kedua:

Yang dimaksudkan dengan Ahl al-Bid‘ah bukanlah sesiapa sahaja yang pada zahirnya kelihatan melakukan bid‘ah. Akan tetapi Ahl al-Bid‘ah adalah mereka yang menepati keempat-empat syarat berikut:

1.      Pakar dalam membuat bid‘ah.

2.      Ciri yang menonjol lagi lazim adalah mencipta dan mengamalkan bid‘ah dalam kehidupannya.

3.      Menzahirkan bid‘ah tersebut kepada orang ramai.

4.      Bid‘ah tersebut adalah sesuatu yang dikenali di kalangan orang awam dan para ilmuan bahawa ia adalah satu bid‘ah.[2]

 

Ketiga:

Kesalahan bid‘ah memiliki tahap-tahapnya, ada yang ringan, ada yang berat dan ada yang membatalkan keislaman. Jika dikaji seluruh sejarah al-Salaf al-Shalih, akan ditemui bahawa mereka tidak menerapkan hukum yang sama ke atas semua perbuatan bid‘ah dan para pembuatnya. Sebaliknya mereka membeza-bezakan tahap bid‘ah dan bertindak berdasarkan tahap tersebut.

Maka ada pun riwayat-riwayat yang menerangkan manhaj al-Salaf al-Shalih yang bersikap keras dan memulau Ahl al-Bid‘ah, ia adalah terhadap bid‘ah yang amat berat atau yang membatalkan keislaman pembuatnya.[3]

 

Keempat:

Terdapat sejumlah syarat yang perlu dipenuhi terlebih dahulu sebelum seseorang itu boleh bersikap keras dan memulau Ahl al-Bid‘ah. Ini kerana merupakan dasar Islam yang tidak diperselisihkan bahawa sikap antara sesama muslim adalah saling berlemah lembut dan saling menghubungkan siraturahim. Apabila seseorang itu ingin menyelisihi dasar ini, dia perlu memiliki hujah yang kuat lagi mantap.

Oleh itu tidak boleh bersikap keras dan memulau Ahl al-Bid‘ah jika syarat tersebut tidak dipenuhi, apatah lagi jika ia tidak diketahui langsung.[4] Pada masa kini terdapat sebahagian orang yang menyandarkan diri mereka kepada Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang melakukan tindakan permusuhan dan pemulauan secara membuta. Mereka memusuhi dan memulau sesiapa sahaja yang mereka nilai sebagai Ahl al-Bid‘ah tanpa menilai terlebih dahulu secara adil berdasarkan hujah dan dalil.

Tindakan permusuhan dan pemulauan mereka tidak berhenti setakat itu. Mereka juga memusuhi dan memulau mana-mana tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang tidak mengikuti mereka dalam tindakan permusuhan dan pemulauan tersebut.[5]

Semua ini adalah tindakan permusuhan dan pemulauan yang berdasarkan hawa nafsu dan bukannya ilmu yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Ibn Taimiyyah berkata:

 

Ketahuilah bahawa amalan memulau yang disyari‘atkan merupakan amalan yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Dan yang namanya ketaatan itu wajib dilaksanakan dengan ikhlas kerana Allah dan sesuai dengan perintah-Nya. Sesiapa yang menerapkan pemulauan kerana hawa nafsunya atau mengamalkan pemulauan yang tidak diperintahkan untuk dilakukan (tidak menepati syarat-syaratnya), maka dia telah keluar dari pemulauan yang disyari‘atkan. Betapa banyak manusia melakukan apa yang diinginkan oleh hawa nafsunya tetapi mereka menyangka bahawa mereka melakukannya kerana Allah![6]

Antara syarat permusuhan dan pemulauan adalah memerhatikan terlebih dahulu sama ada ia akan membawa manfaat atau mudarat. Jika syarat ini diperhatikan secara cermat, nescaya akan didapati bahawa memusuhi dan memulau tidak sesuai dilaksanakan pada masa kini. Ini kerana jumlah Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang kecil tidak akan mampu memberi pengaruh kepada umat Islam yang ramai, yang telah bercampur aduk dalam pemikiran mereka antara yang tulen dan bid‘ah. Malah amalan memusuhi dan memulau akhirnya akan menyebabkan yang dimusuhi dan dipulau adalah Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah.

Oleh kerana itu jumhur tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah mutakhir berpendapat memusuhi dan memulau tidak sesuai diamalkan pada masa kini. ‘Abd al-Malik bin Ahmad Ramzani al-Jaza’iri berkata: “Para ilmuan seluruhnya pada masa sekarang berkata: Ahl al-Bid‘ah zaman ini secara umumnya tidak dipulau.”[7] Antara ilmuan yang dimaksudkan adalah al-Albani . Beliau pernah ditanya: “Ya syaikh! (Benarkah) anda memandang tidak boleh menerapkan hajr (pemulauan) terhadap Ahl al-Bid‘ah, memusuhi mereka dan tidak berbicara dengan mereka?” Beliau menjawab:

 

Kami tidak memandang bolehnya penerapan hal tersebut (pemulauan), jika kita sekarang ingin menerapkan manhaj Salaf yang kita warisi dari sebahagian ulama kita (al-Salaf al-Shalih) berupa sikap keras terhadap Ahl al-Bid‘ah, memulau mereka dan tidak mendengar mereka, maka kita akan kembali ke belakang.

 

Sebagaimana yang pernah kami katakan, seandainya kita memiliki teman yang bersama kita di atas satu jalan lalu dia menyimpang hingga akhirnya tidak solat, apakah kita memulaunya? Kami katakan bahawa kita tidak memulaunya. Namun perhatikanlah dia dengan memberi nasihat dan peringatan. Orang yang meninggalkan solat, yang tentu menghairankan kita dengan tindakannya yang meninggalkan solat, apabila kita memulaunya bererti kita menjadikan dia semakin sesat.

 

Yang wajib kita lakukan adalah terus memberikan nasihat dan peringatan kepadanya, bersikap lemah lembut serta halus kepadanya sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada orang Yahudi. Hal yang sama kita lakukan kepada para Ahl al-Bid‘ah. Kalau kita tinggalkan mereka, kita biarkan begitu sahaja dengan keadaan dan kesesatan mereka, maka siapakah yang akan berusaha memberi hidayah kepada mereka?[8]

Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin turut berkata: “Pada masa ini, kebanyakan pelaku maksiat, apabila dipulau akan menyebabkan mereka semakin sombong dan menjadi-jadi dalam kemaksiatan, semakin jauh dari ahli ilmu, sekali gus semakin menjauhkan orang lain dari ahli ilmu. Maka tindakan memulau terhadap mereka adalah tidak berfaedah bagi mereka, tidak juga bagi selain mereka.”[9]

al-Albani pernah ditanya tentang perkataan keras generasi al-Salaf al-Shalih dan tindakan mereka yang memulau para Ahl al-Bid‘ah. Beliau menjawab:

 

Pendapat saya, dan Allah sahaja yang lebih mengetahui, bahawa perkataan Salaf (yang keras tersebut) berlaku pada zaman keadaan masyarakat yang dipengaruhi dengan manhaj Salaf, iaitu keadaan yang penuh dengan keimanan yang kuat dan ikutan yang benar kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan para sahabat radhiallahu 'anhum. Masalah ini seumpama masalah seorang muslim yang memutuskan hubungan dengan muslim yang lain dalam rangka mendidik dan memberi pelajaran kepadanya. Ini merupakan sunnah yang sedia dikenali.

 

Namun yang menjadi keyakinan saya, dan saya seringkali ditanya mengenai masalah ini, bahawa pada zaman kita sekarang tidak sesuai untuk diterapkan tindakan memutuskan hubungan (atau memulau). (Diulangi bahawa pada) zaman kita ini tidak sesuai untuk memutuskan hubungan (atau memulau) dengan para Ahl al-Bid‘ah. Sebab kesannya adalah anda akan tinggal di puncak gunung dan anda menjauhi masyarakat. Ini kerana apabila anda memulau masyarakat, kerana kefasiqan atau kebid‘ahan mereka, tidaklah ia memberi pengaruh positif sebagaimana pengaruh yang timbul pada zaman salaf yang mengucapkan kalimah-kalimah keras tersebut.[10]

Oleh itu yang terbaik ialah tetap mengutamakan akhlak mulia dalam berdakwah. ‘Abd al-‘Aziz bin Baz menerangkan:

 

Jika penerapan kaedah memulau (hajr) terhadap seseorang mengakibatkan sesuatu yang lebih mungkar daripada perbuatan asalnya, kerana orang tersebut memiliki kedudukan di negara atau di kabilahnya, maka tidak diterapkan pemulauan pada dirinya. Dia disikapi dengan cara yang terbaik dan lemah lembut sehingga tidak mengakibatkan keburukan yang lebih parah atau menimbulkan perkara yang lebih buruk daripada amalan (bid‘ah)nya.

 

Dalilnya, Nabi shallallahu 'alaihi wasallam tidak menyikapi ketua orang-orang munafik, ‘Abd al-Allah bin Ubay bin Salul, sebagaimana sikap keras baginda kepada Ka‘ab bin Malik dan dua sahabatnya (yang tidak keluar berjihad tanpa uzur). Bahkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersikap lembut kepada ‘Abd al-Allah bin Ubay dan tidak memulaunya kerana dia adalah pemimpin kaumnya. Dibimbangi apabila dia dikurung atau dipulau maka akan timbul fitnah bagi kumpulannya di Madinah. Oleh kerana itu Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersikap lembut kepadanya sehingga dia mati di atas sifat munafiknya.

 

Kepada Allah kita memohon keselamatan. Ada keadaan-keadaan lain dimana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak memulau sejumlah orang, bahkan baginda bersikap lembut kepada mereka sehingga Allah memberi petunjuk kepada mereka. Oleh kerana itu sikap lemah lembut dalam dakwah merupakan perkara yang paling penting.[11]

 

 

 

 

 

G:       Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah mensyaratkan bahawa dalam rangka melaksanakan nahi mungkar, tidak boleh berprasangka kepada orang lain mahu pun mencari-cari kesalahan seseorang. Tidak boleh bertindak atas laporan yang tidak dikenali kesahihannya. Tidak boleh mengintip dan memata-matai dalam rumah atau ruang hidup peribadi seseorang. Upaya melarang kemungkaran hanya dibolehkan jika ia berlaku secara jelas, dalam suasana terbuka, tanpa syak, ragu atau dicari-cari.

Pengecualian adalah terhadap kemungkaran yang bakal memberi kesan buruk lagi meluas kepada manusia dan harta benda, seperti aktiviti membuat bom atau merancang tindakan menggempar orang ramai (terrorisme). Dalam pengecualian ini, tindakan mengintip, bertindak atas laporan, memata-matai dan menyerbu ke dalam rumah atau ruang hidup persendirian dibolehkan. Ini kerana kemaslahatan untuk jumlah orang yang ramai diunggulkan daripada kemaslahatan untuk jumlah orang yang sedikit.

 

Penjelasan:

Larangan berprasangka dan mencari-cari kesalahan orang lain adalah berdasarkan firman Allah:

 

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan

kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa;

dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang.

[al-Hujurat 49:12]

 

Syarat ini juga berdasarkan sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam

 

Sesiapa di antara kalian yang melihat kemungkaran,

hendaklah dia mengubahnya (mencegah dan menghentikannya) dengan tangannya.

Jika dia tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya.

Jika dia masih tidak mampu (maka ubahlah) dengan hatinya (dengan membencinya),

yang sedemikian adalah selemah-lemah iman.[12]

 

Jika diperhatikan secara cermat hadis di atas, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyebut: Sesiapa di antara kalian yang melihat kemungkaran…”. Rasulullah tidak bersabda, umpama: “Carilah kemungkaran…” atau “Jika kalian anggap kemungkaran sedang berlaku…”. Maka hadis Shahih Muslim di atas menjadi bukti bahawa kemungkaran yang hendaklah dilarang atau diubah adalah sesuatu yang berlaku dalam suasana terbuka sehingga kita dapat mengetahui tentangnya secara pasti.

Para ilmuan telah meluaskan maksud “melihat” kepada pengetahuan tentang kemungkaran dengan jalan yang pasti samada dengan mata, telinga atau apa-apa sumber maklumat yang lain. Yang penting, sumber maklumat tersebut tidak dicari-cari atau disangka-sangkakan, tetapi wujud secara terus kepada kita kerana ia dilakukan dalam suasana terbuka.

Larangan berprasangka atau mencari-cari kemungkaran yang tertutup juga ditujukan kepada para pemerintah dan wakil-wakilnya. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

 

Sesungguhnya seorang penguasa, apabila dia mencari-cari kesalahan rakyatnya,

bererti dia merosakkan mereka.[13]

 

Di sini ingin dijelaskan bahawa larangan daripada berprasangka atau mencari-cari kemungkaran bukanlah bererti merestui kemungkaran tersebut. Sebagai contoh, jika berlaku kes zina namun jumlah saksi yang ada hanya 2 orang, kita tidak menjatuhkan hukuman ke atas penzina. Ini dilakukan bukan kerana kita merestui jenayah zina tetapi kerana syarat-syarat menjatuhkan hukuman tidak dipenuhi.

Demikianlah juga dalam usaha melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar. Kita tidak pernah merestui kemungkaran, malah kita berusaha untuk mengelak dan membasmi kemungkaran. Akan tetapi usaha amar ma’ruf dan nahi mungkar hendaklah berdasarkan syarat-syaratnya.

Sesuatu yang ma’ruf dan mungkar tidak diukur berdasarkan pemikiran manusia, tetapi diukur berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Jika yang ma’aruf dan mungkar diukur berdasarkan pemikiran manusia, maka kita tidak jauh berbeza dengan golongan liberal yang berkata: “Sesuatu itu adalah ma’aruf jika orang ramai memandangnya ma’aruf dan sesuatu itu adalah mungkar jika orang ramai memandangnya sebagai mungkar.

Justeru marilah sama-sama kita bertanya kepada diri kita, ma’aruf dan mungkar hendaklah diukur berdasarkan ukuran apa dan siapa? Mengintip adalah ma’aruf pada ukuran kita, tetapi adalah mungkar pada ukuran Allah dan Rasul-Nya. Menghindari pengintipan adalah mungkar pada ukuran kita kerana ia seolah-olah merestui kemungkaran. Akan tetapi ia adalah ma’aruf pada ukuran Allah dan Rasul-Nya.

Kenapa ia ma’aruf? Jika kita mengkaji dengan lebih mendalam, akan ditemui beberapa hikmah mengapa Allah dan Rasul-Nya melarang kita mengintip dalam rangka melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar. Saya yakin jika para pembaca meluangkan sedikit masa untuk memikirkannya secara adil, nescaya akan ditemui pelbagai hikmah yang terselindung di sebaliknya.

Salah satu daripadanya adalah, orang yang melakukan kemungkaran secara tersembunyi, melakukan kemungkaran tersebut dengan perasaan malu dan bersalah yang masih tersisa di dalam dirinya. Perasaan malu dan bersalah ini, sekali pun sedikit, masih memungkinkan dia untuk bertaubat jika diberikan teguran dan nasihat yang berhikmah pada ketika yang sesuai. Jika dilakukan pengintipan dan serbuan, perasaan malu dan bersalah akan berubah menjadi keangkuhan dan sifat meronta yang akhirnya menipiskan kemungkinan untuk bertaubat.

Oleh kerana itu dalam sebuah hadisnya, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berpesan:

 

Jauhilah perkara-perkara keji yang telah dilarang oleh Allah,

sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menutupinya dengan tutupan Allah dan bertaubat kepada Allah.

Ini kerana jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami,

kami akan menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla.[14]

 

Berbeza jika kemungkaran tersebut berlaku dalam suasana terbuka sehingga kita dapat mengenalinya tanpa berprasangka atau mencari-cari. Orang yang melakukan kemungkaran tersebut tidak memiliki sifat malu dan kemungkarannya itu sendiri akan menjadi contoh ikutan orang lain. Maka dalam kes ini tindakan nahi mungkar dilakukan dan hukuman dijatuhkan ke atas mereka dalam suasana terbuka juga (seperti dalam kes jenayah hudud) agar ia menjadi iktibar kepada orang ramai.

Ingin juga dijelaskan bahawa larangan daripada berprasangka atau mencari-cari kemungkaran bukanlah bererti memberi kemenangan kepada pihak Islam Liberal. Bezakan bahawa yang ditekankan hanya hukum mengintip ke dalam ruang peribadi seseorang dalam pelaksanaan amar ma’ruf dan nahi mungkar manakala pihak Islam Liberal menekankan agar seluruh pelaksanaan amar ma’ruf dan nahi mungkar dihentikan.

Lebih dari itu larangan mengintip akan membolehkan pihak-pihak berwajib memberi tumpuan yang lebih kepada kemungkaran yang berlaku dalam suasana terbuka. Sama-sama kita ketahui bahawa kemungkaran yang berlaku secara terbuka memberi dampak yang lebih luas dan merbahaya berbanding kemungkaran yang berlaku secara tertutup. Jika kemungkaran yang terbuka dapat dibendung dan dikurangkan, insya-Allah ia juga akan mengurangkan kemungkaran yang berlaku secara tertutup. Semua ini akan menyebabkan kekalahan kepada pihak Islam Liberal.

Ketiga, larangan mengintip akan membersihkan salah faham kaum bukan Islam terhadap motif dan usaha amar ma’ruf dan nahi mungkar. Dengan itu mereka akan memahami, atau setidak-tidaknya bersikap neutral terhadap usaha amar ma’ruf dan nahi mungkar yang disyari’atkan oleh agama Islam. Ini sekali lagi menghasilkan kekalahan kepada pihak Islam Liberal kerana mereka selama ini memerlukan sokongan kaum bukan Islam untuk mencapai agenda mereka.

 

 

TOP
 


[1] Syarh al-Sunnah (tahqiq: Zahir al-Syuwaish & Syu ‘aib al-Arna‘uth; al-Maktab al-Islami, Beirut, 1403H), jld. 1, ms. 227.

[2] Syarat-syarat ini telah saya perincikan dalam  bab aqidah.

[3] Ibrahim bin ‘Amir al-Ruhaili telah mengkaji sikap al-Salaf al-Shalih terhadap Ahl al-Bid‘ah dan mendapati sikap keras dan pemulauan tersebut ditujukan kepada Ahl al-Bid‘ah yang melakukan bid‘ah yang amat berat serta yang membatalkan keislaman. Rujuk buku beliau yang berjudul Mauqif Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah min Ahl al-Ahwa’ wa al-Bid‘a yang sudah diterjemahkan oleh Ahmad bin Syamsuddin atas judul Manhaj Ahli Sunnah Menghadapi Ahli Bid‘ah terbitan Pustaka al-Kautsar, Jakarta, 2002.

[4] Firanda Ibnu ‘Abidin memiliki sebuah karya yang amat baik berkenaan rukun dan kaedah memulau, berjudul Lerai Pertikaian, Sudahi Pemusuhan: Menyikapi Fenomena Hajr di Indonesia terbitan Pustaka Cahaya Islam, Bogor, 2006.

[5] Di sudut yang lain pula terdapat mereka yang berlebih-lebihan dalam membela sehingga membutakan diri terhadap kesalahan-kesalahan yang jelas dilakukan oleh seseorang individu atau aliran. Mereka mengemukakan kebaikan-kebaikan yang pernah dilakukan dengan harapan kebaikan itu dapat menutupi kesalahan yang dilakukan. Mereka juga cuba menjustifikasikan kesalahan tersebut dengan mengemukakan alasan-alasan yang lemah, yang mereka sendiri sukar untuk menerimanya.

Sememangnya begitulah sikap manusia, ada yang berlebih-lebihan dalam mencela dan ada yang berlebih-lebihan dalam membela. Kemuliaan berada di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang berada di pertengahan antara mencela dan membela.

[6] Majmu’ al-Fatawa, jld. 28, ms. 207.

[7] Dinukil dari buku Menyikapi Fenomena Hajr di Indonesia karya Firanda Ibnu ‘Abidin, ms. 184.

[8] Kaset Silsilah al-Huda wa al-Nur, no: 611, dinukil secara ringkas dengan beberapa suntingan bahasa dari buku Menyikapi Fenomena Hajr di Indonesia karya Firanda Ibnu ‘Abidin, ms. 88.

[9] Majmu’ Fatawa, jld. 3, ms. 11, soalan no: 382, dinukil dengan beberapa suntingan bahasa dari buku Menyikapi Fenomena Hajr di Indonesia karya Firanda Ibnu ‘Abidin, ms. 89.

[10] Kaset Silsilah al-Huda wa al-Nur, no: 511, dinukil dengan beberapa suntingan bahasa dari buku Menyikapi Fenomena Hajr di Indonesia karya Firanda Ibnu ‘Abidin, ms. 82.

[11] Majmu’ Fatawa wa Maqalat wa Mutanawwi‘ah, jld. 4, ms. 234-235, soalan no: 8, dinukil dengan beberapa suntingan bahasa dari buku Menyikapi Fenomena Hajr di Indonesia karya Firanda Ibnu ‘Abidin, ms. 80-81.

[12] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 49 (Kitab al-Iman, Bab menjelaskan bahawa melarang kemungkaran …).

[13] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 4889 (Kitab al-Adab, Bab larangan dari mengintip).

[14] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis no: 7615 (Kitab al-Taubah wa al-Inabah, Bab orang yang melakukannya maka hendaklah dia menutupinya dengan tutupan Allah) dan beliau berkata: “Hadis ini sahih atas syarat kedua-dua syaikh (al-Bukhari dan Muslim) dan mereka tidak mengeluarkannya.” Ini dipersetujui oleh al-Zahabi.

 

kandungan