MARI BERKENALAN DENGAN

AHL AL-SUNNAH WA AL-JAMAAH

 

 

hafiz firdaus abdullah

 

   

Berkenalan Dengan Ciri - Ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah Dalam:

 

Akhlak

 

A - D : E - G

 

 

 

E:        Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah memandang bahawa akhlak yang mulia adalah sesuatu yang hidup sehingga adakalanya ia boleh terlepas dari kawalan empunya diri. Oleh itu Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah sentiasa mengukur dan membetulkan diri sendiri seandainya akhlak yang mulia terlepas dari diri mereka. Pada waktu yang sama Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah juga memaafkan orang lain yang terlepas akhlaknya dan memberi teguran agar ia kembali membetulkannya.

 

Penjelasan:

Sikap membetulkan diri sendiri dan memaafkan orang lain adalah berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

 

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu,

dan (mendapat) Syurga yang seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

 

Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah,

dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang.

Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;

 

Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri,

mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka

dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah

dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu,

sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).

 

Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka

dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya;

dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.

[Ali Imran 3:133-136]

 

 

 

 

 

F:        Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah mendahului dengan akhlak yang baik ke atas mereka yang memiliki akhlak yang kurang baik.

 

Penjelasan:

Ciri ini adalah berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

 

Dan tidaklah sama perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat.

Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik;

apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu,

dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.

[al-Fussilat 41:34]

 

 

 

 

 

 

G:       Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah memandang bahawa akhlak yang mulia adalah antara faktor terpenting dalam menentukan kejayaan usaha dakwah (menyeru manusia ke arah agama Islam) dan islah (meningkatkan penghayatan umat Islam terhadap agama Islam). Maka Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah menangguhkan usaha dakwah dan islah melainkan terlebih dahulu menerapkan ke atas diri mereka akhlak yang mulia.

 

Penjelasan:

Ini adalah satu ciri yang amat penting, iaitu menangguhkan usaha dakwah dan islah melainkan terlebih dahulu menerapkan ke atas diri masing-masing akhlak yang mulia. Banyak orang, khasnya di kalangan generasi muda, yang baru berkenalan dengan ciri-ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah secara tergesa-gesa ingin menerapkan apa yang mereka baru ketahui kepada masyarakat. Penerapan yang mereka lakukan lazimnya tidak terpisah dari sifat kasar, kaku dan memaksa. Akhirnya masyarakat menolak apa yang ingin mereka terapkan. Penolakan ini bukan kerana masyarakat membenci al-Qur’an dan al-Sunnah, tetapi membenci akhlak orang-orang yang cuba menerapkan al-Qur’an dan al-Sunnah. Namun secara tidak langsung, kebencian tersebut menyebabkan masyarakat menolak al-Qur’an dan al-Sunnah.

Oleh kerana itu akhlak yang mulia adalah satu kewajipan dalam usaha dakwah dan islah sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

 

Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik,

dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik;

sesungguhnya Tuhan-mu Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya,

dan Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

[al-Nahl 16:125]

 

Secara lebih terperinci, orang-orang yang ingin melakukan dakwah dan islah perlu terlebih dahulu melengkapkan diri mereka dengan akhlak yang mulia kerana tiga sebab:

  1. Akhlak yang mulia merupakan sebahagian daripada sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Meminggirkan bab akhlak bererti mengambil sebahagian sunnah dan meninggalkan sebahagian yang lain. Ini sinonim dengan tindakan Ahl al-Bid‘ah dan orang-orang yang enggan mengikuti sunnah, iaitu mengambil sunnah sekadar yang menepati citarasa mereka dan meninggalkan sunnah yang selainnya.
  2. Akhlak yang menepati sunnah Rasulullah lebih jelas terserlah kepada orang awam daripada subjek-subjek yang lain. Hakikat ini menyebabkan orang awam yang sebelum ini belum mengenali sunnah baginda berubah kepada ingin mengenali, mempelajari dan mempraktikkannya. Ini tidak terhad kepada bab akhlak sahaja tetapi meluas kepada bab lain seperti aqidah, ibadah, muamalah dan sebagainya.

Justeru akhlak yang mulia adalah daya penarik kepada sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Ia secara tidak langsung menjadi sumber petunjuk yang diseru oleh seseorang, sebagaimana hadis berikut:

 

Sesiapa yang menyeru kepada petunjuk maka baginya pahala

sepertimana pahala orang-orang yang mengikutinya tanpa dikurangi sedikit jua pahala mereka.[1]

 

  1. Jika akhlak yang baik menjadi penyebab kepada orang awam untuk mendekati sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, maka demikian juga sebaliknya. Akhlak yang buruk daripada orang-orang yang mendakwa dirinya “pengikut sunnah” akan menyebabkan orang awam menjauhkan diri daripada sunnah, sama ada dalam bab akhlak mahu pun selainnya seperti aqidah, ibadah dan muamalah. Ini berlaku bukan kerana mereka membenci sunnah Rasulullah, tetapi benci kepada orang yang menjadi “agen” kepada sunnah Rasulullah.

Betapa ramai orang yang pada asalnya belum mengenali sunnah Rasulullah, berubah menjadi orang yang menjauhinya kerana terkesan dengan akhlak buruk sebahagian para “pengikut sunnah”. Di sini akhlak yang buruk daripada sebahagian para “pengikut sunnah” secara tidak langsung menjadi penyeru kepada kesesatan:

Sesiapa yang menyeru kepada kesesatan maka ke atasnya dosa

sepertimana dosa orang-orang yang mengikutinya tanpa dikurangi sedikit jua dosa mereka.[2]

 

al-Albani, dalam salah satu wasiatnya yang terakhir sebelum meninggal dunia pada 22 Oktober 1999, berpesan:

 

Pertama sekali aku menasihatkan diri aku dan diri kamu agar bertaqwa kepada Allah Azza wa Jalla, kemudian apa sahaja yang menjadi bahagian dan cabang dari ketaqwaan kepada Allah Tabaraka wa Ta‘ala seperti:

 

            Pertama: Hendaklah kamu menuntut ilmu semata-mata kerana ikhlas kepada Allah Azza wa Jalla dengan tidak menginginkan di sebalik itu balasan dan ucapan terima kasih, juga tidak menginginkan agar menjadi pemimpin di majlis-majlis ilmu. Tujuan menuntut ilmu hanyalah untuk mencapai darjat yang Allah Azza wa Jalla telah khususkan bagi para ulama’. Ini sebagaimana firman-Nya (bermaksud): “Supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat.” [al-Mujadilah 58:11]

 

            Kedua: Hendaklah menjauhi perkara-perkara yang dapat menggelincirkan kamu, yang sebahagian para penuntut ilmu telah terperosok dan terjatuh padanya. Di antara perkara-perkara itu adalah:

·    Mereka cepat dikuasai oleh sifat ujub (kagum pada diri sendiri) dan terpedaya sehingga (ke tahap) ingin menaiki kepala mereka sendiri.

·   Mengeluarkan fatwa untuk dirinya dan untuk orang lain sesuai dengan apa yang nampak menurut pandangannya tanpa meminta bantuan (dengan merujuk kepada pendapat-pendapat) para ulama’ al-Salaf pendahulu umat ini yang telah meninggalkan harta warisan berupa ilmu yang menerangi lagi menyinari dunia keilmuan Islam. ……Meminta bantuan dalam (mengeluarkan pandangan) dengan berpedoman kepada pendapat al-Salaf akan sangat membantu kita untuk menghilangkan pelbagai kegelapan dan mengembalikan kita kepada sumber Islam yang murni, iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.

 

Sesuatu yang tidak tertutup bagi kalian ialah bahawasanya aku hidup pada suatu zaman yang mana aku alami padanya dua perkara yang saling bercanggah dan bertolak belakang, (Perkara Pertama): Iaitu pada zaman dimana kaum muslimin baik para syaikh mahu pun para penuntut ilmu, kaum awam atau pun yang memiliki ilmu, hidup dalam jurang taqlid, bukan sahaja kepada mazhab tetapi bahkan lebih dari itu, bertaqlid pada nenek moyang mereka.

 

Maka kami dalam upaya menghentikan sikap tersebut, mengajak manusia kepada al-Qur’an dan al-Sunnah. Demikian juga yang terjadi di pelbagai negeri Islam dimana ada beberapa orang tertentu yang mengupayakan seperti apa yang kami upayakan sehingga kami pun hidup bagaikan ghuraba yang telah digambarkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam beberapa hadis yang sedia dimaklumi, seperti (maksudnya): “Sesungguhnya awal permulaan Islam adalah sebagai sesuatu yang asing (ghuraba) dan akan kembali asing sebagaimana permulaannya, maka berbahagialah bagi orang-orang yang asing.”

 

Dalam sebahagian riwayat, Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda (maksudnya): Mereka (al-Ghuraba) adalah orang-orang yang shalih yang jumlahnya sedikit di sekeliling orang yang banyak, yang menderhakai mereka lebih banyak dari yang mentaati mereka.” [Hadis riwayat Ahmad] Dalam riwayat lain, baginda bersabda (maksudnya): Mereka orang-orang yang memperbaiki apa yang telah dirosakkan oleh manusia dari sunnahku sepeninggalanku.”

 

Aku katakan: “Kami telah alami zaman itu lalu kami mulai membangun sebuah pengaruh yang baik bagi dakwah yang dilakukan oleh para Ghuraba dengan tujuan mengadakan pembaikan di tengah barisan para pemuda mukmin. Sehingga kami jumpai bahawa para pemuda beristiqamah dalam kesungguhan di pelbagai negeri Islam, giat dalam berpegang teguh kepada al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tatkala mengetahui kesahihannya.

 

(Perkara Kedua): Akan tetapi kegembiraan kami terhadap kebangkitan yang kami rasakan pada tahun-tahun terakhir tidak berlangsung lama. Kami dikejutkan dengan terjadinya sikap berbalik dan perubahan yang dahsyat pada diri pemuda-pemuda itu di sebahagian negeri. Sikap tersebut hampir sahaja memusnahkan pengaruh dan buah yang baik sebagai hasil kebangkitan ini. Apa penyebabnya?

 

Di sinilah letak pelajaran penting, penyebabnya adalah kerana mereka ditimpa oleh perasaan ujub dan terpedaya oleh kejelasan bahawa mereka berada di atas ilmu yang sahih. Perasaan tersebut bukan sahaja di kalangan pemuda muslim, bahkan terhadap para ulama’. Perasaan itu muncul tatkala merasa bahawa mereka memiliki keunggulan dengan lahirnya kebangkitan ini di atas para ulama’, ahli ilmu dan para syaikh yang bertebaran di pelbagai belahan dunia Islam.

 

Mereka tidak mensyukuri nikmat Allah Azza wa Jalla yang telah memberikan taufiq dan petunjuk kepada mereka untuk mengenal ilmu yang benar beserta adab-adabnya. Mereka tertipu oleh diri mereka sendiri dan mengira bahawa sesungguhnya mereka telah berada pada status kedudukan dan posisi tertentu. Mereka pun mula mengeluarkan fatwa-fatwa yang tidak matang malah mentah, tidak berdiri di atas sebuah pemahaman yang bersumber dari al-Qur’an dan al-Sunnah. Maka nampaklah dari fatwa-fatwa tersebut pendapat-pendapat yang tidak matang, lalu mereka menganggap bahawa itulah ilmu yang diambil dari al-Qur’an dan al-Sunnah, maka mereka pun tersesat dengan pendapat-pendapat tersebut dan menyesatkan banyak orang.

 

Suatu hal yang tidak samar bagi kalian akibat dari semua itu, bahawa muncullah sekelompok orang di beberapa negeri Islam yang secara lantang mengkafirkan setiap jamaah muslimin dengan filsafat-filsafat yang tidak dapat diungkapkan secara mendalam pada kesempatan ini. Apatah lagi tujuan kami pada kesempatan ini hanya untuk menasihati dan mengingatkan para penuntut ilmu dan para pendakwah.

 

Oleh itu saya menasihati saudara-saudara kami ahli Sunnah dan ahli Hadis yang berada di setiap negeri muslim agar bersabar dalam menuntut ilmu dan hendaklah tidak terpedaya oleh apa yang telah mereka capai berupa ilmu yang dimilikinya. Pada hakikatnya, mereka hanyalah mengikuti jalan dan tidak sekadar bersandar pada pemahaman-pemahaman murni mereka atau apa yang mereka sebut dengan “ijtihad” mereka.

 

Saya banyak mendengar dari saudara-saudara kami, mereka mengucapkan kalimah itu dengan sangat mudah tanpa memikirkan akibatnya, seperti kalimah: “Saya berijtihad” atau “Saya berpendapat begini” atau “Saya berpendapat begitu”. Ketika anda bertanya kepada mereka: “Kalian berijtihad berdasarkan kepada apa sehingga pendapat kalian begini dan begitu? Apakah kamu bersandarkan pada pemahaman al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam serta ijma’ para ulama’ daripada kalangan sahabat Rasulullah dan yang lainnya? Atau pendapat kamu ini hanya hawa nafsu dan (hasil dari) pemahaman yang cetek dalam menganalisa dan mengambil dalil?” Inilah realitinya, iaitu berpendapat berdasarkan hawa nafsu, pemahaman yang kerdil dalam menganalisa dan mengambil dalil. Ini semuanya dalam keyakinanku disebabkan kerana perasaan ujub dan terpedaya.

 

……Sekali lagi saya menasihati saudara-saudara aku para penuntut ilmu agar menjauhi segala perangai yang tidak Islami seperti perasaan terpedaya oleh apa yang telah diberikan kepada mereka berupa ilmu dan janganlah dikalahkan oleh perasaan ujub terhadap diri sendiri. Sebagai penutup nasihat ini, hendaklah mereka menasihati manusia dengan cara yang terbaik, menghindar daripada penggunaan cara-cara kaku dan keras di dalam berdakwah.

 

Ini kerana kami berkeyakinan bahawa Allah Azza wa Jalla ketika berfirman: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.” [al-Nahl 16:125], bahawa sesungguhnya Allah Azza wa Jalla tidak mengatakan sesuatu (baik di dalam al-Qur’an atau melalui Rasul-Nya) kecuali ia terasa berat oleh jiwa manusia. Oleh itu manusia akan cenderung menyombongkan diri untuk menerimanya kecuali oleh mereka yang dikehendaki Allah.

 

Maka dari itu, jika dipadukan antara beratnya kebenaran pada jiwa manusia dengan cara dakwah yang kaku lagi keras, hasilnya akan menjadikan manusia semakin jauh dari panggilan dakwah. Padahal kalian mengetahui sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam (yang bermaksud): “Bahawa di antara kalian ada orang-orang yang membuat manusia lari (dari kebenaran).” Baginda mengulanginya sehingga tiga kali.[3]

 

 

TOP


 

[1] Sahih: Sebahagian daripada hadis yang dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 2674 (Kitab al-‘Ilm, Bab sesiapa yang membuat sunnah yang baik…).

[2] Sahih: Sebahagian daripada hadis yang dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 2674 (Kitab al-‘Ilm, Bab sesiapa yang membuat sunnah yang baik…).

[3] Dinukil secara ringkas dengan beberapa suntingan bahasa dari tulisan Nasihat Imam Ahlus Sunnah: Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani dalam buku Dakwah Salafiyah Dakwah Bijak oleh Abu Abdirrahman al-Thalibi, ms. 140-144.

 

kandungan