MARI BERKENALAN DENGAN

AHL AL-SUNNAH WA AL-JAMAAH

 

 

hafiz firdaus abdullah

 

   

Berkenalan Dengan Ciri - Ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah Dalam:

 

Akhlak

 

A - D : E - G

 

 

 

A:        Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah amat memberi penekanan kepada akhlak yang mulia. Ia mencerminkan kesahihan dan kematangan ilmu yang dimiliki oleh seseorang. Ciri-ciri seorang Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah dapat dikenali berdasarkan akhlak mulia yang ditampilkannya.

 

Penjelasan:

 

Terdapat sekian banyak dalil yang membuktikan bahawa akhlak yang mulia merupakan ciri-ciri seorang Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Di antaranya adalah firman Allah Subhanahu wa Ta'ala berkenaan ciri-ciri Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

 

Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia.

[al-Qalam 68:04]

 

Seterusnya Allah menyuruh kita meneladani akhlak Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tersebut:

 

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik,

iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat,

serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).

[al-Ahzab 33:21]

 

Antara tujuan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam diutuskan adalah menyempurnakan akhlak yang shalih:

 

Sesungguhnya aku diutus tidak lain untuk menyempurnakan akhlak yang shalih.[1]

 

Akhlak yang mulia mencerminkan kesempurnaan iman:

Mukmin yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya.[2]

 

Akhlak yang mulia merupakan ibadah yang paling memberatkan timbangan amal:

Tiada sesuatu yang lebih memberatkan timbangan (pada Hari Akhirat) berbanding akhlak yang baik.[3]

 

Orang yang memiliki akhlak yang mulia menjadi orang yang dicintai oleh Allah:

Sesungguhnya Allah mencintai sikap lemah lembut dalam segala urusan.[4]

 

Dalam riwayat yang lain, para sahabat radhiallahu ‘anhum pernah bertanya:

 

“Siapakah orang yang paling dicintai oleh Allah?”

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Orang yang paling baik akhlaknya.[5]

 

Orang yang memiliki akhlak yang mulia juga menjadi orang yang dicintai oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan menduduki tempat yang hampir dengan baginda di Hari Akhirat:

 

Sesungguhnya orang yang paling aku cintai di antara kalian

dan yang paling hampir tempat duduknya dengan aku pada Hari Kiamat adalah orang yang paling baik akhlaknya.

Dan sesungguhnya orang yang paling tidak aku sukai dan paling jauh tempat duduknya dari aku pada Hari Kiamat adalah orang yang banyak berbicara, bermulut besar dan sombong.[6]

 

 

Akhlak yang mulia menghiasi seseorang:

 

Sesungguhnya tidaklah sikap lemah lembut terdapat pada sesuatu melainkan ia menghiasinya

dan tidaklah ia (sikap lemah lembut) tercabut dari sesuatu melainkan ia memburukkannya.[7]

 

Akhlak yang mulia merupakan salah satu faktor penentu kejayaan:

 

Sesungguhnya Allah Maha Pelembut dan menyukai sikap lemah lembut,

Dia memberi terhadap kelembutan apa yang tidak diberi terhadap kekasaran

dan tidak memberi apa jua (terhadap sikap yang menyelisihi kelembutan).[8]

 

Demikian di antara dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang menerangkan tentang keutamaan dan kepentingan akhlak yang mulia. Berdasarkan dalil-dalil ini, ketahuilah bahawa kesahihan dan kematangan ilmu seseorang diukur berdasarkan akhlak dirinya. Kesahihan dan kematangan ilmu tidak diukur dengan jumlah sijil yang dipegang, jumlah kertas kerja seminar yang dibentang atau jumlah hadis yang dihafal, tetapi diukur dengan akhlak yang ditampilkan. Semakin mulia akhlak yang ditampilkan, semakin sahih dan matang ilmu yang dimiliki. Dengan itu juga, ketahuilah bahawa kedudukan seseorang sebagai Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah dan tahapnya dalam berpegang kepada ciri-ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah dikenal dan diukur berdasarkan akhlak yang ditampilkannya dalam kehidupan harian.

 

 

 

 

 

B:   Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah mencintai kerana Allah dan membenci kerana Allah.

 

Penjelasan:

Cinta dan benci boleh wujud dalam hati seseorang kerana Allah dan kerana selain Allah. Apabila seseorang itu mencintai saudaranya kerana jawatan dan pujian, maka ia adalah cinta kerana selain Allah. Apabila seseorang itu membenci saudaranya kerana dinafikan jawatan dan diberi celaan, maka ia adalah benci kerana selain Allah.

Ada pun cinta kerana Allah, ia adalah perasaan yang wujud dalam hati seseorang terhadap saudaranya yang mentauhidkan Allah Subhanahu wa Ta'ala dan menerima risalah Islam yang dibawa oleh Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam. Inilah cinta kerana Allah yang dimaksudkan oleh hadis-hadis berikut:

 

Sesiapa yang mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi kerana Allah

dan menolak kerana Allah, maka sungguh telah sempurnalah imannya.[9]

 

Tiga perkara, sesiapa yang memilikinya dalam dirinya maka dia akan merasa kemanisan iman:

(1) Bahawasanya Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya berbanding selain kedua-duanya,

(2) Bahawasanya dia mencintai seseorang, tidaklah dia mencintai orang itu melainkan kerana Allah dan

(3) Bahawasanya dia membenci seandainya dia kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya, sebagaimana dia membenci untuk dilemparkan dalam neraka.[10]

 

 

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman pada Hari Akhirat kelak:

 

Di manakah orang-orang yang saling mencintai kerana aku?
Pada hari ini Aku akan menaungi mereka di bawah naungan-Ku,
di hari yang tiada naungan kecuali naungan-Ku.[11]

 

Cinta kerana Allah bertambah selari dengan kadar ketaatan saudaranya kepada Allah dan Rasul-Nya. Cinta ini bukan sahaja merupakan gerak hati tetapi dibuktikan dengan ucapan dan perbuatan. Ucapan yang paling minimum bagi membuktikan kecintaan tersebut adalah memberi salam manakala perbuatan yang paling minimum adalah menampakkan wajah yang manis. Semua ini berlaku secara serta merta (automatic) apabila sahaja bertemu dengan saudaranya yang beriman kepada Allah dan Rasulullah:

 

Tidaklah kalian akan memasuki syurga sehinggalah kalian beriman dan tidaklah kalian beriman

sehinggalah kalian saling mencintai. Mahukah aku tunjukkan kepada kalian sesuatu

yang jika kalian lakukan nescaya kalian akan saling mencintai?

Sebarkanlah salam di antara kalian.[12]

 

Janganlah engkau meremehkan sedikit jua daripada perbuatan baik,

sekali pun sekadar engkau menampakkan wajah yang manis kepada saudara engkau.[13]

 

Hasil daripada cinta kerana Allah adalah sikap al-Wala’, iaitu setia, mengunggul, membela, menjaga maruah, menyimpan rahsia, menutup aib, memuliakan, menghormati dan sentiasa akrab di antara sesama umat Islam.

Walaubagaimana pun pada masa kini, disebabkan jauhnya umat Islam daripada al-Qur’an dan al-Sunnah serta ciri-ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah berdasarkan manhaj al-Salaf al-Shalih, maka ciri-ciri saling mencintai dan al-Wala’ kerana Allah hendaklah dipraktikkan secara berhati-hati. Ini kerana ada kemungkinan seseorang itu berinteraksi dengan sebaik-baiknya kepada saudaranya berdasarkan cinta kerana Allah, tetapi interaksi tersebut disalah fahami oleh saudara itu sebagai cinta duniawi. Atau seseorang yang berinteraksi dengan sebaik-baiknya kepada kita, lalu kita sangka ia adalah berdasarkan cinta kerana Allah. Akan tetapi yang benar orang tersebut hanya ingin mencari keuntungan duniawi.[14]

Lawan kepada sikap cinta kerana Allah adalah benci kerana Allah, iaitu perasaan benci yang wujud dalam hati terhadap seseorang yang ingkar kepada Allah dan Rasul-Nya, atau tidak sempurna dalam mentauhidkan Allah dan dalam menerima risalah Islam yang dibawa oleh Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam. Benci kerana Allah juga bertambah dan berkurang mengikut kadar seseorang itu menyelisihi Allah dan Rasul-Nya. Hasil daripada benci kerana Allah adalah sikap al-Bara’, iaitu apa yang kebalikan dari sifat al-Wala’ yang telah disebut di atas.[15]

 

Benci kerana Allah berlaku dalam dua keadaan:

 

Keadaan Pertama:

Terhadap seorang muslim, dimana sikap cinta dan benci kerana Allah wujud dalam satu waktu yang sama. Contoh yang mudah adalah seorang muslim yang meminum arak. Dia dicintai kerana beriman kepada Allah dan Rasulullah. Akan tetapi pada waktu yang sama perbuatannya meminum arak dibenci kerana ia bertentangan dengan perintah larangan Allah dan Rasulullah. Contoh lain adalah seorang muslim yang melakukan tawaf di kubur si-fulan. Dia dicintai kerana keislamannya, namun dibenci kerana tawaf bid‘ah yang dilakukannya.

Dalam kedua-dua contoh di atas, cinta dan benci kerana Allah berlaku pada satu waktu yang sama. Kerana Allah, kita membenci kemungkaran yang dilakukannya sehingga kita berusaha untuk menghentikannya. Namun kerana Allah, kita tetap mencintainya sehingga dengan itu kita berusaha untuk menasihatinya dan memberi tunjuk ajar kepadanya dengan cara yang paling baik.

Perkara ini perlu difahami dengan cermat kerana adakalanya seseorang itu membenci secara total saudaranya yang muslim, yang melakukan kemungkaran. Kebencian itu pula tidak diikat dengan kadar kemungkaran yang dilakukan. Bahkan mereka membencinya ke tahap mencela dan menghukumnya dengan sesuatu yang jauh lebih dahsyat berbanding tahap kebencian mereka kepada orang-orang kafir. Mereka lebih selesa memberi ucapan Good Morning kepada rakan sepejabat yang bukan Islam, namun enggan mengucapkan Assalamu‘alaikum kepada rakan sepejabat yang muslim. Apabila ditanya kenapa enggan memberi salam, mereka menjawab: “Kami nampak dia memakai seluar pendek ketika bermain tenis!” atau apa-apa lain yang seumpama. Sungguh, ini adalah sikap yang menyelisihi ciri-ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah dalam urusan cinta dan benci kerana Allah.

 

Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin berkata:

 

Jika seorang mukmin bergabung pada dirinya keimanan dan kemaksiatan, maka kita berwala’ kepadanya atas keimanan tersebut dan kita juga berbara’ ke atasnya atas kemaksiatan tersebut. Hal seperti ini (biasa) berlaku dalam kehidupan kita. Adakalanya anda mengambil ubat yang pahit rasanya. Anda benci (al-Bara’) memakan ubat tersebut namun pada waktu yang sama anda berkeinginan (al-Wala’) untuk memakannya dalam rangka mengubati penyakitmu. Ada sebahagian orang lebih membenci (al-Bara’) seorang mukmin yang bermaksiat dibandingkan kebenciannya kepada orang kafir. Ini adalah perkara yang aneh dan merupakan kebalikan hakikat.[16]

 

Keadaan Kedua:

Terhadap seorang bukan Islam dan mereka seterusnya terbahagi kepada dua kategori:

  1. Orang bukan Islam yang tidak memusuhi Islam. Mereka mewakili majoriti orang bukan Islam di Malaysia. Maka dianjurkan berinteraksi dengan mereka dalam kebaikan dan keadilan dengan syarat tidak mengkhianati al-Wala’ di antara sesama umat Islam.
  2. Orang bukan Islam yang memusuhi Islam, seperti Kumpulan Artikel 11 dan pihak-pihak yang ingin masuk campur hal-ehwal umat Islam melalui penubuhan IFC (Inter Faith Council). Maka wajib memusuhi mereka, memutuskan hubungan persahabatan dengan mereka, menyempitkan jalan-jalan mereka dan membongkar niat buruk mereka.

 

Dalil bagi membezakan antara orang bukan Islam yang memusuhi Islam atau tidak adalah firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil

kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu),

dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu;

sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

 

Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu

daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu),

dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu.

Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

[al-Mumtahanah 60:8-9][17]

 

 

 

 

 

 

 C:        Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah mencintai untuk saudaranya apa yang dicintai oleh dirinya sendiri.

 

Penjelasan:

Ini adalah salah satu ciri akhlak mulia yang dimiliki oleh Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah berdasarkan pesan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

 

Tidaklah (sempurna) iman seseorang kalian sehinggalah dia mencintai untuk saudaranya

apa yang dia cintai untuk dirinya.[18]

 

Sesiapa yang menyukai agar diselamatkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga,

maka hendaklah ketika ajal menemuinya dia dalam keadaan beriman kepada Allah dan Hari Akhirat

serta dia memberi kepada manusia apa yang dia suka diberikan kepadanya.[19]

 

Maka apabila berinteraksi dengan seseorang muslim, hendaklah kita meletakkan diri kita di tempatnya. Seperti kata pepatah Inggeris: Put your self in their shoes. Contohnya:

 

  • Apabila berinterkasi dengan ibubapa kita, letakkanlah diri kita di tempat mereka. Nescaya kita menghendaki agar anak-anak kita berinteraksi dengan cara yang terbaik kepada kita. Maka dengan itu juga, apabila berinteraksi dengan ibubapa kita, pilihlah cara yang terbaik.[20]
  • Apabila melihat orang lain melakukan sesuatu kesalahan, letakkanlah diri kita ditempatnya. Nescaya kita akan menghargai apabila ada orang yang sudi memaafkan kita serta memberi nasihat dan teguran. Ini kerana tidak ada manusia yang terlepas daripada melakukan kesalahan. Maka dengan itu maafkanlah kesalahan orang lain dan berusahalah mencari ruang menasihati dan menegurnya.
  • Apabila ingin membetulkan kesalahan orang lain, letakkanlah diri kita di tempatnya. Nescaya kita mengingini agar orang yang membetulkan kita melakukannya dengan cara yang tersembunyi, lemah lembut dan hikmah. Maka dengan itu juga, betulkanlah kesalahan orang lain, sama ada yang melakukan maksiat atau bid‘ah, secara tersembunyi, lemah lembut dan hikmah. Jangan menghebohkannya, bersikap keras dan kaku.
  • Apabila saudara kita memiliki sesuatu kelebihan seperti ilmu, kedudukan, kemasyhuran atau harta, maka letakkanlah diri kita di tempatnya. Nescaya kita bergembira dan bersyukur atas kelebihan-kelebihan tersebut. Maka dengan itu juga, hendaklah kita turut bergembira dan bersyukur apabila di kalangan saudara kita ada yang diberi atau memiliki sesuatu kelebihan.

Lawan kepada sikap ini ialah dengki. Dengki ialah membenci apa-apa kelebihan yang dimiliki oleh saudara kita. Sikap dengki menyebabkan kita merasa hanya diri kita yang layak memiliki kelebihan tersebut dan bukannya saudara kita. Sikap dengki bertolak belakang dari kedua-dua hadis yang dikemukakan di atas. Sikap dengki ialah dia membenci untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya. Sikap dengki juga ialah dia enggan memberi kepada manusia apa yang dia suka diberikan kepadanya. Oleh itu berhati-hatilah dengan kedengkian kerana ia adalah isyarat kecacatan iman dan faktor penghalang daripada syurga Allah Subhanahu wa Ta'ala.

 

Salah satu fenomena dengki yang semakin menular akhir-akhir ini adalah dakwaan sebahagian tokoh atau anak muridnya bahawa merekalah Ahl al-Sunnah yang sebenar, yang tulen, yang original berbanding tokoh lain. Padahal di antara para tokoh tersebut, setiap daripada mereka berpegang kepada ciri-ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Mungkin dalam segelintir ciri, mereka tersilap, terlepas pandang atau berbeza dari sudut tafsiran dan pengamalan. Namun manusia manakah yang tidak terselamat daripada faktor-faktor tersebut?

 

Di sebalik persamaan dalam berpegang kepada ciri-ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, wujud satu perbezaan di antara para tokoh tersebut, iaitu perbezaan dari sudut tahap ilmu, kedudukan, harta dan kemasyhuran dengan sebahagian mereka melebihi sebahagian yang lain. Maka atas dasar dengki timbul sikap saling berlumba untuk meraih kelebihan dari sudut yang lain, iaitu siapakah yang lebih benar, tulen dan original berbanding dengan yang lain.

 

Oleh itu saya menasihatkan diri saya dan orang-orang yang telah Allah “pinjamkan” nikmat menjadi Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah agar sentiasa berwaspada terhadap penyakit kedengkian. Janganlah biarkan ia menular dalam diri kita atau kepada orang lain. Selalulah memerhatikan dua hadis di atas sebagai ubat bagi meneutralkan penyakit kedengkian. Bergembira dan bersyukurlah seandainya di kalangan kita ada yang memiliki kelebihan. Pandanglah ia sebagai nikmat yang Allah kurniakan kepada umat Islam, termasuk kepada diri kita sendiri.

 

  • Apabila tergerak di hati kita untuk berburuk sangka atau mencari dan menyebarkan gosip berkenaan orang lain, letakkan diri kita di tempatnya. Nescaya kita benci tindakan sedemikian dilakukan ke atas diri kita tanpa mengira sama ada sangkaan atau gosip tersebut benar atau tidak. Maka dengan itu tahanlah diri daripada berburuk sangka atau mencari dan menyebarkan gosip.

Apabila ada berita tidak baik yang tersebar, semaklah terlebih dahulu. Jika ia adalah dusta, maka wajib kita membela dan membersihkan nama saudara kita yang dianiaya oleh berita tersebut. Jika ia adalah benar, maka wajib kita menasihati saudara kita yang tersilap itu dengan cara yang tersembunyi, lemah lembut dan hikmah.

 

Lebih-lebih lagi jika ia adalah di kalangan para tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Janganlah berprasangka buruk, mencari gosip atau menyebarkannya, konon ustaz sekian-sekian telah berkata sekian-sekian. Semaklah terlebih dahulu. Nescaya akan ditemui bahawa apa yang sebenarnya dimaksudkan oleh ustaz tersebut jauh berbeza dari apa yang disangka atau disebar-sebarkan.

 

Berburuk sangka dan mencari-cari gosip di kalangan sesama umat Islam adalah sesuatu yang dilarang. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

Berhati-hatilah kalian terhadap prasangka kerana sesungguhnya ia adalah perkataan yang paling dusta.

Dan janganlah saling mencari-cari khabar kesalahan, janganlah saling memata-matai,

janganlah saling meninggikan harga untuk menarik perhatian pembeli,

janganlah saling mendengki, janganlah saling membenci dan janganlah saling membelakangi.

Wahai para hamba Allah! Jadilah kalian bersaudara![21]

 

 

 

 

 

D:        Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah memandang bahawa akhlak yang mulia adalah sesuatu yang tidak berlaku dengan sendiri. Oleh itu Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah berusaha untuk menerapkan akhlak yang mulia melalui pendidikan, penyedaran dan penerapan yang bertahap-tahap dan berulang-ulang.

 

Penjelasan:

Demikian kedudukan pertengahan Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah antara (1) mereka yang berputus asa untuk membetulkan diri daripada akhlak yang buruk dengan (2) mereka yang memandang akhlak yang mulia adalah seumpama satu pakej yang boleh dimiliki dengan amalan-amalan ritual tertentu.

Akhlak yang mulia lahir daripada hati yang bersih. Ini berdasarkan petunjuk Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

 

Ketahuilah bahawa dalam tubuh badan manusia terdapat seketul daging

yang jika ia baik maka baiklah tubuh tersebut seluruhnya

dan jika ia rosak maka rosaklah tubuh tersebut seluruhnya.

Ketahuilah bahawa ia adalah hati.[22]

 

Kepentingan hati yang bersih disedari ramai, namun tidak kurang pula mereka yang membuat-buat kaedah tersendiri atau meniru kaedah kaum lain untuk membersihkannya. Antara mereka ada yang enggan makan daging, konon ia mengeraskan hati. Ada yang berzikir di atas pokok, konon ia melembutkan hati. Ada yang berzikir secara berirama, konon ia memperindahkan hati. Ada yang berkhalwat di tempat sunyi, konon ia mengosongkan hati dari keburukan. Ada yang mewajibkan bertareqat untuk mempelajari ilmu tasawuf yang kononnya dengan tareqat dan tasawuf, hati akan menjadi sebegitu bersih lagi jernih. Sayang sekali, sering kali kita menemui orang yang menjalankan “latihan-latihan hati” seperti ini memiliki akhlak yang kurang menyenangkan.

Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah memang memberi perhatian kepada pembersihan hati. Akan tetapi caranya adalah melalui petunjuk Allah dan Rasul-Nya, iaitu:

 

1.   Tinggalkan perbuatan berdosa, seperti melakukan kemungkaran. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

Sesungguhnya apabila seorang mukmin berbuat dosa, ia akan membentuk sebuah titik hitam di hatinya. Jika dia bertaubat, berhenti dan beristighfar (meminta ampun), maka hatinya akan digilap (dibersihkan titik hitam tersebut). Akan tetapi jika dia menambah-nambah perbuatan dosa, maka akan bertambahlah titik hitam di hatinya. Itulah titik hitam yang dimaksudkan oleh Allah dalam kitab-Nya: “Sebenarnya! Bahkan hati mereka telah diselaputi kekotoran  dengan sebab (kemungkaran) yang mereka kerjakan.”[23]

 

Salah satu bentuk kemungkaran yang lazim dilakukan oleh orang ramai tanpa menyedarinya ialah melakukan ibadah yang tidak memiliki contohnya sama ada dari sudut masa, tempat atau tatacara daripada sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Ibadah seperti ini masuk dalam kategori bid‘ah dan bid‘ah masuk dalam kategori perbuatan yang haram. Orang yang sengaja melakukannya, setelah ditegakkan hujah dan dibersihkan kekeliruan, termasuk dalam apa yang disebut sebagai “…menambah-nambah perbuatan dosa, maka akan bertambahlah titik hitam di hatinya.”

 

Antara bukti yang jelas adalah orang-orang yang berzikir dengan kalimah dan tatacara yang tidak ditunjuk oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Sekali pun zikir mereka berjumlah ratusan ribu, hati mereka tetap tidak bersih dan akhlak mereka tetap tidak mulia.

 

2.   Elakkan perkara-perkara yang samar-samar kerana ia akan memberi pengaruh yang negatif kepada hati sehingga lambat laun hati akan cenderung kepada sesuatu yang jelas haram. Atas sebab inilah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengaitkan kedudukan hati dengan anjuran mengelakkan perkara yang samar-samar, sebagaimana hadis di atas yang selengkapnya bermaksud:

 

Perkara yang halal adalah jelas dan perkara yang haram adalah jelas. Di antara kedua-duanya terdapat perkara yang samar-samar yang tidak diketahui (hukumnya) oleh kebanyakan manusia.

 

Sesiapa yang mengelak perkara yang samar-samar maka dia memelihara agama dan kehormatannya. Dan sesiapa yang jatuh dalam perkara samar-samar maka dia seperti seorang pengembala yang membawa ternakannya sekitar padang yang dilarang, nescaya ia memasukinya.

 

Ketahuilah bahawa bagi setiap raja ada kawasan larangannya. Ketahuilah  sesungguhnya kawasan larangan bagi Allah di bumi ini ialah perkara-perkara yang diharamkan-Nya.

 

Ketahuilah bahawa dalam tubuh badan manusia terdapat seketul daging  yang jika ia baik maka baiklah tubuh tersebut seluruhnya dan jika ia rosak maka rosaklah tubuh tersebut seluruhnya. Ketahuilah bahawa ia adalah hati.[24]

 

Antara perkara samar-samar yang patut ditinggalkan ialah ibadah yang tidak diketahui secara pasti sama ada ia adalah sunnah atau bid‘ah. Ibadah seperti ini banyak wujud di kalangan masyarakat, maka elakkanlah ia demi menjaga kebersihan hati anda.

 

3.   Tambahkan ilmu pengetahuan, khususnya dengan cara menelaah (tadabbur) al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Di dalam kedua-dua sumber ini terdapat banyak ayat dan hadis yang melembutkan hati, menyedarkan hati dan memperbaiki apa-apa penyakit hati.

 

4.   Berzikir kepada Allah dengan kalimah dan cara yang diajar oleh Allah dan Rasul-Nya. Kegagalan cara zikir untuk menjaga kebersihan dan kebaikan hati seperti yang saya sebut sebelum ini adalah kerana kalimah yang disebut dan cara ia disebut tidak berasal daripada Allah dan Rasul-Nya.

 

5.   Berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, antaranya dengan doa berikut agar hati kita tetap berada dalam petunjuk-Nya:

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya. [‘Ali Imran 3:08]

 

 

TOP
 


[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih al-Adab al-Mufrad, hadis no: 273 (Bab akhlak yang baik).

[2] Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 1162 (Kitab al-Radha’, Bab berkenaan hak wanita ke atas suaminya).

[3] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 4799 (Kitab al-Adab, Bab berkenaan akhlak yang baik).

[4] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 2165 (Kitab al-Salam, Bab larangan mendahului Ahl al-Kitab…).

[5] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Ausath, hadis no: 6380 (Bab al-Mim, Orang yang bernama Muhammad) dan dikemukakan oleh al-Haitsami dalam Majma al-Zawa‘id dan beliau berkata: “Riwayat al-Thabarani dan para perawinya adalah perawi yang sahih.” Rujuk Bughyah al-Ra‘id fi Tahqiq Majma’ al-Zawa‘id wa Manba’ al-Fawa‘id, hadis no: 12691. Sebelum itu ia juga dikemukakan oleh al-Dimyathi dalam al-Matjar al-Rabih dan beliau berkata: “Riwayat al-Thabarani dengan isnad yang menepati syarat sahih.” Hadis ini juga disahihkan oleh Zakaria bin Ghulam al-Pakistani, pentahqiqkitab al-Matjar al-Rabih. Rujuk Shahih al-Matjar al-Rabih fi Tsawab al-‘Amal al-Shalih (Dar Ibn Hazm, Beirut, 2001), hadis no: 908.

[6] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 2018 (Kitab al-Birr wa al-Solah, Bab berkenaan akhlak mulia).

[7] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2594 (Kitab al-Birr wa al-Solah…, Bab keutamaan bersifat lemah lembut).

[8] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2593 (Kitab al-Birr wa al-Solah…, Bab keutamaan bersifat lemah lembut).

[9] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 4681 (Kitab al-Sunnah, Bab dalil tentang bertambahnya iman…).

[10] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6941 (Kitab al-Ikrah, Bab orang yang memilih untuk dipukul…).

[11] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2566 (Kitab al-Birr wa al-Solah…, Bab keutamaan cinta kerana Allah).

[12] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 54 (Kitab al-Iman, Bab menjelaskan bahawa tidak akan masuk syurga…).

[13] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2626 (Kitab al-Birr wa al-Solah…, Bab disunatkan berwajah manis…).

[14] Seperti para agen penjual Multi Level Marketing, mereka pada awalnya seolah-olah ikhlas ingin bersahabat dengan kita. Setelah persahabatan baik terjamin, barulah mereka membongkar tujuan sebenar mereka bersahabat, iaitu menjual sesuatu produk. Jika kita membeli dan terus membeli, mereka kekal sebagai sahabat karib. Jika kita enggan membeli atau berhenti membeli selepas beberapa ketika, mereka terus ghaib. Ini adalah sikap hipokrit yang tidak sepatutnya menjadi ciri-ciri seseorang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.

[15] Pada masa kini sikap al-Wala’ dan al-Bara’ ada dipraktikkan di kalangan sebahagian jamaah dan parti politik. Akan tetapi al-Wala’ hanya mereka terapkan di antara sesama ahli jamaah atau parti manakala al-Bara’ mereka terapkan ke atas ahli-ahli dari jamaah atau parti yang lain. Ini mereka lakukan sekali pun semua yang menganggotai jamaah-jamaah dan parti-parti tersebut adalah umat Islam. Ini adalah penerapan al-Wala’ dan al-Bara’ yang batil, malah menyalahi tujuan asal al-Wala’ dan al-Bara’ itu sendiri.

[16] Majmu Fatawa, jld. 3, ms. 11, soalan no: 382, dinukil dengan beberapa suntingan bahasa dari buku Lerai Pertikaian, Sudahi Pemusuhan: Menyikapi Fenomena Hajr di Indonesia karya Firanda Ibnu ‘Abidin, ms. 91.

[17] Lebih lanjut berkenaan al-Wala’ dan al-Bara’, rujuk buku Muhammad bin Sa‘id bin Salim al-Qahthani yang berjudul Min Mafahim ‘Aqidah al-Salaf al-Shalih: al-Wala’ wa al-Bara’ fi al-Islam yang sudah diterjemah oleh Salafuddin Abu Sayid atas judul Loyalitas dan Anti-Loyalitas Dalam Islam; terbitan Era Intermedia, Solo, 2000.

[18] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 13 (Kitab al-Iman, Bab termasuk sifat iman orang yang mencintai…).

[19] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1844 (Kitab al-Imarah, Bab wajib memenuhi janji taat setia khalifah…).

[20] Lebih lanjut rujuk buku saya Wahai Ibu! Wahai Ayah! terbitan Jahabersa, Johor Bahru berkenaan tuntutan Islam terhadap anak dalam rangka berinteraksi dengan ibubapa.

[21] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6066 (Kitab al-Adab, Bab “Wahai orang-orang yang beriman, tinggallah kebanyakan daripada sangkaan”).

[22] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 52 (Kitab al-Iman, Bab keutamaan orang yang memelihara agamanya).

[23] Hasan: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah, hadis no: 3441 (Kitab al-Zuhud, Bab berkenaan dosa). Ayat al-Qur’an yang dimaksudkan adalah dari surah al-Mutaffifin 83:14.

[24] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 52 (Kitab al-Iman, Bab keutamaan orang yang memelihara agamanya).

 

kandungan