Dalam sebuah hadis diterangkan berkenaan 70,000 umat Islam yang memasuki syurga tanpa usaha tetapi kerana tawakkal. Adakah ini bererti kita tidak perlu berusaha?




Jawapan:

Hadis yang dimaksudkan ialah apabila Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ditunjuk oleh malaikat Jibrail alahissalam satu kumpulan manusia yang sangat ramai. Jibrail menerangkan:

هَؤُلاَءِ أُمَّتُكَ وَهَؤُلاَءِ سَبْعُونَ أَلْفًا قُدَّامَهُمْ لاَ حِسَابَ عَلَيْهِمْ وَلاَ عَذَابَ.

قُلْتُ: وَلِمَ؟ قَالَ: كَانُوا لاَ يَكْتَوُونَ وَلاَ يَسْتَرْقُونَ وَلاَ يَتَطَيَّرُونَ وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ.

“Mereka ialah umatmu dan mereka didahului oleh tujuh puluh ribu orang yang (akan masuk syurga) tanpa dihisab mahupun diazab.” Rasulullah bertanya: “Mengapa (mereka mendapat keistimewaan itu)?” Jibrail menjawab: “Mereka (ketika di dunia dahulu) tidak berubat dengan besi panas, tidak minta dijampi, tidak mempercayai nasib baik atau buruk dan ke atas tuhan merekalah, mereka bertawakkal.”[1]

Hadis ini tidak bermaksud menerangkan ciri-ciri orang yang bertawakkal, tetapi bermaksud menerangkan empat kategori orang yang bakal memasuki syurga pada Hari Akhirat kelak tanpa hisab mahupun azab. Mereka ialah:

Pertama: Mereka yang tidak berubat dengan besi panas. Ini bukan bererti tidak berubat dengan besi panas kerana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri berubat dengan besi panas dan ia merupakan cara perubatan yang dikenali pada zaman baginda. Hanya baginda tidak menyukainya dan ia merupakan pilihan terakhir dengan syarat tidak memudaratkan.[2]

Akan tetapi erti sebenar ialah dalam rangka berubat sama ada dengan besi panas atau selainnya, seseorang itu tidak menjadikan ubat sebagai punca kesembuhan sebaliknya menjadikan Allah sebagai puncanya. Ubat ialah sebab sementara kesembuhan ialah musabab. Sebab ialah usaha manusia sementara musabab ialah kehendak Allah Subhanahu waTa’ala. Ini sebagaimana perkataan Nabi Ibrahim alaihissalam yang Allah rakamkan di dalam al-Qur’an:

وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ.

Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan penyakitku. [al-Syu’ara 26:80]

 

Perkara ini amat perlu diperhatikan kerana kebanyakan umat Islam pada masa kini mengharap dan menyandarkan penyembuhan kepada ubat-ubatan, doktor dan rawatan di hospital.

 

Kedua: Mereka yang tidak meminta dijampi. Ini tidak bermaksud jampi-jampian itu dilarang kerana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri menjampi dan dijampi. Akan tetapi yang dimaksudkan ialah meminta jampi-jampian yang tidak diajar oleh Rasulullah.

Ini kerana jampi-jampian secara umum memiliki kesalahan di dalamnya. Jika jampi-jampian itu berasal dari al-Qur’an, maka ia cenderung kepada penyalahgunaan ayat, jauh dari erti dan tafsiran yang sebenar.  Jika jampi-jampian itu berasal dari selain al-Qur’an, maka ia cenderung memiliki unsur syirik, khurafat atau pemujaan kepada jin. Justeru yang terbaik lagi selamat ialah jampi-jampian yang diajar oleh Rasulullah. Ia terdiri dari ayat-ayat al-Qur’an, zikir dan doa yang baginda amal dan ajarkan.

 

Ketiga: Mereka yang tidak mempercayai nasib baik atau buruk. Ini merujuk kepada kepercayaan khurafat dan syirik yang ada pada zaman Rasulullah hinggalah ke masa kini. Ada orang yang mempercayai benda-benda atau perbuatan tertentu boleh membawa tuah atau nasib yang baik (good luck) sementara benda-benda atau perbuatan lain boleh mengakibatkan sial atau nasib yang buruk (bad luck).

Baik atau buruk, selamat atau mudarat, semuanya ditentukan oleh qadar dan qadha Allah Subhanahu waTa’ala. Justeru sesiapa yang memiliki keyakinan yang bersih dari sebarang kepercayaan nasib baik dan buruk, dia akan dapat memasuki syurga – dengan kehendak Allah – tanpa hisab dan azab.

 

Keempat: Mereka yang bertawakkal kepada Allah Subhanahu waTa’ala. Ini sebagaimana yang telah diterangkan dalam soalan: “Di manakah peranan tawakkal dalam sebab-musabab dan apa kaitan tawakkal dengan taqdir?”

Kesudahannya, hadis di atas tidak mengetepikan usaha. Ia sebenarnya menerangkan keutamaan orang yang mengusahakan sebab lalu menyandarkan musabab kepada Allah, memastikan sebab-sebab yang diusahakan adalah benar lagi selamat dari sudut syari’at Islam dan ilmu pengetahuan, menjauhi keyakinan khurafat dan syirik serta bertawakkal kepada Allah. Tidak ramai orang yang dalam kehidupan sehari-hariannya dapat menghimpun empat sifat yang mulia ini. Atas dasar inilah mereka yang berjaya menghimpunkannya berada di hadapan seluruh umat Islam pada Hari Akhirat nanti dan – dengan kehendak Allah – dapat memasuki syurga tanpa hisab dan azab.



[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6059 (Kitab al-Riqaq, Bab tujuh puluh ribu orang yang masuk syurga tanpa hisab).

[2] Ringkasan dari penjelasan Ibn al-Qayyim rahimahullah dalam Zad al-Ma’ad fi Hadyi Khair al-‘Ibad (edisi terjemahan dan terbitan Griya Ilmu atas judul Zadul Ma’ad: Bekal Perjalanan Ke Akhirat; Griya Ilmu, Jakarta, 2010), jld. 5, ms. 71-73.