Apakah kaitan takziah dengan musibah?




Jawapan:

Takziah atau belangsukawa bererti menganjurkan orang yang ditimpa musibah untuk bersabar. Ia berkait rapat dengan musibah kerana musibah lazim berlaku tanpa diduga dan ia kerap menimpa dalam keadaan seseorang tidak bersedia menerimanya. Dalam keadaan seperti ini, sebahagian orang – termasuk diri penulis – akan memberi reaksi yang menjauhi sifat sabar, apatah lagi untuk bersifat redha. Justeru di sini takziah memiliki peranan yang penting di mana orang lain akan menganjurkan orang yang ditimpa musibah untuk bersabar.

Diriwayatkan dalam sebuah hadis:

مَا مِنْ مُؤْمِنٍ يُعَزِّي أَخَاهُ بِمُصِيبَةٍ إِلاَّ كَسَاهُ اللَّهُ سُبْحَانَهُ مِنْ حُلَلِ الْكَرَامَةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ.

Tidaklah seorang mukmin menghibur (bertakziah) saudaranya yang ditimpa musibah melainkan Allah Subhanahu akan memakaikan kepadanya salah satu dari pakaian kemulian pada Hari Kiamat.[1]

Cara-cara menyampaikan takziah adalah seperti berikut:

1.     Pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam, takziah disampaikan dengan bertemu secara terus kepada orang yang ditimpa musibah. Ini adalah cara yang utama, namun boleh juga menyampaikan takziah dengan menggunakan teknologi masa kini seperti panggilan talifon, sistem pesanan ringkas (SMS) dan emel.

2.     Tidak ada tempoh masa untuk menyampaikan takziah. Asalkan diketahui seseorang itu ditimpa musibah, kita dianjurkan memberi takziah. Namun yang utama ialah memberi takziah seawal mungkin kerana ujian kesabaran paling hebat berlaku pada saat seseorang itu ditimpa musibah dan ujian ini makin berkurang dengan peredaran masa. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda:

إِنَّمَا الصَّبْرُ عِنْدَ الصَّدْمَةِ الأُولَى.

Sesungguhnya kesabaran itu tidak lain ketika pukulan awal (saat musibah menimpa).[2]

3.     Takziah disampaikan dengan apa jua ucapan asalkan ia dapat menghiburkan orang yang ditimpa musibah, menerangkan keutamaan bersabar dan mengingatkannya bahawa Allah mengkehendaki kebaikan di sebalik musibah itu.

4.     Takziah tidak sekadar ucapan tetapi diikuti dengan perbuatan membantu. Pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam, baginda menyuruh A’isyah radhiallahu anha memasak bubur Talbinah untuk dihantar kepada orang yang menghidapi penyakit atau ahli keluarga yang sedang bersedih kerana kematian. Baginda menerangkan hikmahnya:

إِنَّ التَّلْبِينَةَ تُجِمُّ فُؤَادَ الْمَرِيضِ وَتَذْهَبُ بِبَعْضِ الْحُزْنِ.

Sesungguhnya bubur Talbinah menghiburkan hati orang sakit dan menghilangkan sebahagian kesedihan.[3]

Contoh yang lain, ketika melihat jenazah Ja’far yang gugur dalam peperangan, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

اصْنَعُوا لآلِ جَعْفَرٍ طَعَامًا فَقَدْ أَتَاهُمْ مَا يَشْغَلُهُمْ.

Buatkanlah makanan untuk ahli keluarga Ja’far kerana mereka telah ditimpa sesuatu yang menyibukkan mereka.[4]

Merujuk kepada poin ketiga di atas, sekalipun takziah boleh disampaikan dengan apa jua ucapan, yang lebih utama ialah menggunakan ayat al-Qur’an atau hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam. Berikut diberikan tiga ayat al-Qur’an dan hadis yang sesuai lagi umum untuk apa jua musibah. Apabila ahli keluarga, sahabat atau siapa jua ditimpa musibah, sampaikan salah satu dari ayat atau hadis berikut dalam bahasa yang mereka fahami.

·       Pertama:

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الأَمْوَالِ وَالأَنْفُسِ

وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ.

الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ.

أُولَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ.

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar; iaitu orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan sesungguhnya kepada-Nya kami kembali.” Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya. [al-Baqarah 2:155-157]

 

Tekankan penghujung ayat di atas di mana orang yang bersabar dan mengucapkan kalimah Istirja’ (إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ) akan mendapat tiga anugerah daripada Allah Subhanahu waTa’ala iaitu kebaikan, rahmat dan hidayah.

·       Kedua:

وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا

وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ.

Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahuinya. [al-Baqarah 2:216]

 

·       Ketiga:

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

إِنَّ عِظَمَ الْجَزَاءِ مَعَ عِظَمِ الْبَلاَءِ وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلاَهُمْ

فَمَنْ رَضِيَ فَلَهُ الرِّضَا وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السَّخَطُ.

Sesungguhnya besarnya ganjaran (pahala) bersamaan dengan besarnya ujian. Sesungguhnya apabila Allah mengasihi sesuatu kaum, Dia menurunkan ujian. Maka sesiapa yang redha maka dia mendapat keredhaan (Allah) dan sesiapa yang marah maka dia mendapat kemurkaan (Allah).[5]

Adapun takziah untuk orang yang menghadapi kematian sama ada ahli keluarga, saudara mara, sahabat, rakan kerja dan sebagainya, maka ucapan berikut menjadi pilihan. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda, bahawa Allah Subhanahu waTa’ala berfirman (hadis qudsi):

 

مَا لِعَبْدِي الْمُؤْمِنِ عِنْدِي جَزَاءٌ إِذَا قَبَضْتُ صَفِيَّهُ مِنْ أَهْلِ الدُّنْيَا ثُمَّ احْتَسَبَهُ إِلاَّ الْجَنَّةُ.

Tidak ada balasan di sisi-Ku bagi hambaku yang beriman, ketika Aku mengambil buah hatinya dari kalangan penduduk dunia lalu dia mengharapkan pahala dari-Ku, melainkan syurga.[6]

Sebelum mengakhiri jawapan ini, ingin diperingatkan bahawa ucapan takziah bukanlah dengan berkata “Takziah” atau “Sabar ya…!” atau “Isy-isy! Ujian-ujian!”. Kata-kata seperti ini tidak menghiburkan orang yang ditimpa musibah, menerangkan keutamaan bersabar dan mengingatkannya bahawa Allah mengkehendaki kebaikan di sebalik musibah itu.


[1]  Hasan: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah, hadis no: 1301 (Kitab Ma ja’a fi al-Jana’iz, Bab pahala menghibur orang yang ditimpa musibah). Terdapat beberapa hadis dalam bab ini, setiapnya dengan beberapa jalan periwayatan. Semuanya memiliki kelemahan di dalamnya. Justeru di kalangan ahli hadis ada yang menganggap ia tetap lemah manakala sebahagian lain menganggap ia dapat diangkat ke darjat hasan lighairihi.

[2] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 1219 (Kitab al-Jana’iz, Bab kesabaran ketika pukulan awal).

[3] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 5257 (Kitab al-Tibb, Bab bubur Talbinah untuk orang sakit). Talbinah ialah bubur yang diperbuat dari gandum dan kadangkala dicampur dengan madu.

[4] Hasan: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah­, hadis no: 1610 (Kitab al-Jana’iz, Bab menghantar makanan ke rumah keluarga si mati).

[5] Hasan: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 2396-2 (Kitab al-Zuhud, Bab berkenaan sabar dalam menghadapi bala’).

[6] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 5944 (Kitab al-Riqaq, Bab amalan yang dengannya dapat mencari wajah Allah).