|
Pendahuluan
بِسْمِ
اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
“Hafiz, apabila kita buat jahat, syaitan yang suruh kita buat jahat atau
Allah yang taqdirkan kita buat jahat?” tanya Budiman, seorang sahabat
saya yang bekerja sebagai jurutera pesawat berpengkalan di Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuching. “Kalau
nak kata syaitan, maka bukankah Allah jua yang mentaqdirkan untuk cipta
syaitan dengan segala sifat jahatnya itu? Jadi macam mana sekalipun,
Allah yang taqdir kita buat jahat?” “Dah
begitu, kenapa Allah mengazab dalam neraka orang yang Allah taqdirkan
buat jahat?” tanya beliau bertubi-tubi. “Nanti
aku kaji dan cuba carikan jawapannya ya” jawab saya ringkas.
Demikian beberapa dari sekian banyak persoalan yang kerap ditanya oleh
orang ramai berkenaan qadar dan qadha. Bukan saja orang ramai,
kadangkala saya juga tertanya-tanya. Sedia maklum kita hanya diajar
subjek ini secara minimum di bangku sekolah lama dahulu. Padahal subjek
ini amat luas dan menyentuh segala aspek kehidupan kita.
Berpijak dari fenomena ini, saya merajinkan diri untuk mengkaji subjek
qadar dan qadha agar dapat memahaminya dengan lebih mendalam. Agar saya
dapat menjawab persoalan yang adakalanya berpusing dalam diri saya dan
juga sesama umat Islam. Saya berazam untuk menulis sebuah buku
mengenainya kerana dengan cara ini saya akan mengkaji subjek ini
benar-benar mendalam.
Setelah hampir tiga tahun mengkaji, saya merasa
yakin untuk memulakan penulisan ini. Bermula dengan solat
al-Istikharah, buku
ini saya tulis dan susun berdasarkan beberapa metodologi iaitu:
Pertama:
Memandangkan subjek qadar dan qadha agak rumit dan
memberatkan, saya susun buku ini dalam bentuk soalan dan jawapan. Ini
adalah cara yang terbukti memudahkan apa yang susah, meringankan apa
yang berat. Ia sebagaimana yang saya jelaskan dalam buku
Berdakwah Melalui Penulisan Efektif,
bab 2.5.2.
Kedua:
Soalan-soalan saya susun mengikut tertib dari yang asas berkenaan qadar
dan qadha kepada yang lebih mendalam. Justeru buku ini hendaklah dibaca
mengikut tertib dari awal hingga akhir. Tidak digalakkan bagi para
pembaca sekalian melompat terus ke soalan pilihannya kerana dibimbangi
akan menimbulkan kekeliruan atau kefahaman yang tidak sempurna.
Ketiga:
Termasuk dalam metodologi memudahkan, saya meminimumkan jumlah rujukan
notakaki dalam buku ini. Ini kerana bagi sebahagian pembaca, kehadiran
notakaki dalam sesebuah penulisan menyebabkan mereka merasakan ia adalah
sukar lagi memberatkan. Maka saya hanya menyertakan notakaki yang perlu
seperti darjat dan rujukan hadis.
Keempat:
Sepanjang sejarah umat Islam, terdapat banyak
pendapat dan aliran berkenaan qadar dan qadha. Bagi mengawasi fenomena
ini, ketika mengkaji dan menulis saya hanya membataskan rujukan saya
kepada sumber-sumber Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah.
Dua sumber rujukan saya yang utama ialah:
Kedua-dua sumber di atas telah mengupas subjek qadar dan qadha dengan
amat baik dan mendalam. Akan tetapi metodologi pengupasan agak sukar
lagi panjang, maka saya mudahkan dan ringkaskan dalam penulisan ini
dalam bentuk soalan dan jawapan.
Kelima:
Masih dalam rangka memudahkan, dalam beberapa kes
saya memberikan contoh dalam kehidupan harian kita sebagai perumpamaan
tentang qadar dan qadha Allah Subhanahu
waTa’ala. Tentu saja ini dilakukan dengan
catatan bahawa Allah Maha Suci dari sebarang kesamaan dengan makhluk-Nya
dan perumpamaan-perumpamaan tersebut tiada tandingannya dengan
kesempurnaan dan keagungan qadar dan qadha Allah. Ia sekadar contoh bagi
membantu kefahaman para pembaca, bukan pengganti yang sempurna bagi
qadar dan qadha Allah.
Di
sini saya teringat kepada sebuah hadis yang memberikan perumpamaan
dengan kehidupan harian kita bagi menggambarkan kegembiraan Allah
terhadap hamba yang bertaubat kepada-Nya. Hadis yang saya maksudkan
ialah:
الَلَّهُ
أَشَدُّ
فَرَحًا
بِتَوْبَةِ
عَبْدِهِ
الْمُؤْمِنِ
مِنْ
رَجُلٍ
فِي
أَرْضٍ
دَوِّيَّةٍ
مَهْلِكَةٍ
مَعَهُ
رَاحِلَتُهُ
عَلَيْهَا
طَعَامُهُ
وَشَرَابُهُ
فَنَامَ
فَاسْتَيْقَظَ
وَقَدْ
ذَهَبَتْ
فَطَلَبَهَا
حَتَّى
أَدْرَكَهُ
الْعَطَشُ.
ثُمَّ
قَالَ
أَرْجِعُ
إِلَى
مَكَانِيَ
الَّذِي
كُنْتُ
فِيهِ
فَأَنَامُ
حَتَّى
أَمُوتَ.
فَوَضَعَ
رَأْسَهُ
عَلَى
سَاعِدِهِ
لِيَمُوتَ
فَاسْتَيْقَظَ
وَعِنْدَهُ
رَاحِلَتُهُ
وَعَلَيْهَا
زَادُهُ
وَطَعَامُهُ
وَشَرَابُهُ.
فَاللَّهُ
أَشَدُّ
فَرَحًا
بِتَوْبَةِ
الْعَبْدِ
الْمُؤْمِنِ
مِنْ
هَذَا
بِرَاحِلَتِهِ
وَزَادِهِ.
Allah
sangat gembira dengan taubat seorang hamba yang beriman melebihi
kegembiraan seseorang (pengembara yang) berada di gurun yang mencekam
dengan ditemani haiwan tunggangan yang membawa di atasnya bekalan
makanan dan minuman. Kemudian dia tertidur lalu apabila bangun dari
tidurnya, ternyata haiwan tunggangannya sudah terlepas dengan membawa
bekalan makanan dan minumannya. Kemudian orang tersebut mencari haiwan
tunggangannya ke sana ke mari hingga dia merasa haus.
Setelah itu dia berkata: “Aku kembali sajalah ke tempat tidurku sampai
aku mati.” Orang itu membaringkan tubuhnya dengan meletakkan kepalanya
di atas lengannya dan bersiap-siap untuk mati. Namun dia terbangun dan
mendapati haiwan tunggangannya berada di sisinya dan di atasnya terdapat
bekalan makanan dan minumannya.
Sesungguhnya kegembiraan Allah kerana taubat seorang hamba yang beriman
melebihi kegembiraan orang yang haiwan tunggangannya terlepas lalu
kembali dengan membawa bekalan makanan dan minumannya.[1]
Demikianlah lima metodologi asas yang saya gunakan
untuk menulis dan menyusun buku ini. Saya berdoa kepada Allah
Subhanahu waTa’ala
agar buku ini mengandungi ilmu yang benar berkenaan qadar dan qadha-Nya.
Saya juga berdoa agar buku ini dapat menyampaikan kefahaman yang tepat
berkenaan qadar dan qadha-Nya kepada para pembaca sekalian. Akhir sekali
saya berdoa agar ilmu dan kefahaman yang terkandung dalam buku ini
sama-sama dapat kita amalkan dalam kehidupan sehari-harian.
Tidak
ketinggalan, saya berdoa agar buku ini menjadi amal shalih dan saham
yang menguntungkan di Hari Akhirat kelak bagi saya dan semua orang yang
membantu menjayakannya. Kepada Allah sajalah kita memohon dan kepada
Allah sajalah kita mengharapkan pemakbulannya.
Hafiz Firdaus bin Abdullah
[1]
Sahih:
Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya,
hadis no: 4929 (Kitab al-Taubat,
Bab dorongan untuk bertaubat). |