al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian

Ragam dan Kesilapan : 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10

 
 

Ketujuh: Menganggap sesesuatu yang tidak diketahui sebagai tidak wujud.

Kelapan: Menuduh umat Islam mencipta hadis tanpa bukti.

Apabila seorang tokoh di zaman awal tidak mengetahui satu hadis, lalu hadis itu diketahui pula oleh seorang tokoh lain di zaman yang kemudian, maka tokoh yang mengetahui itu dianggap telah mencipta sendiri hadis tersebut. Kerana apabila tokoh yang awal itu tidak mengetahuinya, ia membuktikan bahawa hadis tersebut pada awalnya memang tidak wujud kecuali ia dicipta oleh tokoh yang terkemudian itu.

Demikian juga, apabila seorang tokoh tidak mengetahui satu hadis di lokasinya lalu hadis tersebut diketahui pula oleh tokoh lain di lokasi lain, tokoh yang mengetahui hadis itu dianggap telah mencipta sendiri hadis tersebut.

Demikian rumusan ilmiah sarjana-sarjana hadis orientalis. Mari kita lihat satu contoh dari Schacht. Beliau menulis: The best of proving that a tradition did not exist at a certain time is to show that it was not used as a legal argument in a discussion which would have made reference to it imperative , if it had existed.

The evidence collected in the present chapter has been choosen with particular regard to this last point, and in a number of cases one or the other of the opponents himself states that he has no evidence other than that qouted by him, which does not include the tradition in question.

This kind of conclusion ‘e silentio’ is furthermore made safe by Tr.VIII, ii, where Shaibani says: “(This is so) unless the Medinese can produce a tradition in support of their doctrine, but they have none, or they would have produce it.” We may safely assume that the legal traditions with which we are concerned were quoted as arguments by those whose doctrine they were intended to support, as soon as they were put into circulation.[1]

Bagi membuktikan teori di atas, Schacht mengemukakan beberapa contoh, salah satu darinya adalah: Traditions originating between ‘Ata dan Shafi’i: Tr. I, 181:[2] Abu Yusuf refers to and follows the opinion of ‘Ata which he heard personally from Hajjaj b Artat. It is likely that this opinion goes back not even to ‘Ata himself but only to Hajjaj. But in Shafi’i’s time, it was expressed in a tradition from the Prophet.[3]

Yang dimaksudkan oleh Schacht adalah mengenai kedudukan rumput di Tanah Haram Makkah al-Mukarramah, apakah hukumnya bagi binatang yang meragutnya (memakannya) dan bagi manusia yang mencabutnya. Beliau merujuk kepada perbincangan yang dinukil oleh as-Shafi’i dalam kitab al-Umm:

Dan berkata Abu Yusuf rahimahullah, aku bertanya kepada Abu Hanifah radiallahu-Ta’ala-anhu tentang hukum rumput al-Haram. Maka berkata beliau: Aku tidak menyukai jika dibiarkan binatang meragut apa-apa rumput al-Haram atau memotongnya. Berkata (Abu Yusuf), dan aku bertanya Ibnu Abi Laila tentang perkara yang sama. Maka dia berkata: Tidak mengapa jika dipotong rumput al-Haram dan diragut darinya oleh binatang. Berkata (Abu Yusuf), dan aku bertanya al-Hajjaj bin Artat maka dia mengkhabarkan aku bahawa dia telah bertanya Atha’ bin Abi Rabah lalu beliau menjawab: Tidak mengapa jika diragut rumput (al-Haram) oleh binatang akan tetapi tidak disukai jika dipotong dan (berkata as-Shafi’i) inilah pendapat yang diambilnya (oleh Abu Yusuf).[4]

Dalam kes di atas Abu Yusuf (182H) lebih cenderung kepada pendapat seorang tabiin terkenal bernama Atha’ bin Abi Rabah (115H) yang didengarnya dari Hajjaj bin Artat (145H). Ini adalah satu contoh di mana Abu Yusuf merujuk kepada pendapat tabiin dan tabiin muda kerana di saat itu Abu Yusuf tidak mengetahui sebarang hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam yang berkaitan dengan subjek tersebut. Namun pendapat Atha’ atau pendapat Hajjaj tersebut akhirnya wujud di zaman as-Shafi’i (204H) dalam bentuk hadis Rasulullah.

Inilah yang menyebabkan Schacht memandang perbincangan di atas dari sudut yang berlainan. Baginya, hukum meragut dan memotong rumput asalnya hanya merupakan pendapat tokoh-tokoh sekitar awal hingga pertengahan kurun kedua hijrah kerana dari perbincangan Abu Yusuf di atas, tidak ada hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam yang disebut kecuali pendapat tabiin dan tabiin muda. Namun akhirnya pendapat tersebut telah disandarkan kepada sabda Rasulullah dan menjadilah ia hadis Rasulullah di zaman Shafi’i. Justeru Schacht berkata, hadis ini dicipta antara zaman Atha’ dan Shafi’i. Schacht juga berkata, kes seperti ini membuktikan bahawa hadis Rasulullah sengaja direkacipta untuk membenarkan sesuatu hukum dan pendapat.

Pendapat Schacht kita tolak kerana apabila seseorang tokoh tidak mengetahui tentang sesuatu hadis ia tidaklah bererti bahawa hadis tersebut tidak wujud, hanya tokoh itu yang belum menemuinya. Sebagaimana yang kita tahu, tidak semua sahabat Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam, radiallahu-anhum, yang mengetahui hadis-hadis Rasulullah secara menyeluruh kerana mereka saling sibuk dengan aktiviti jihad, tugas dakwah dan kerja masing-masing. Tidak semua sahabat yang dapat menghadiri majlis ilmu Rasulullah secara serentak setiap kali. Maka ada sebahagian sahabat yang mengetahui sebahagian hadis dan ada sebahagian sahabat yang mengetahui sebahagian hadis yang lain. Setelah wafatnya Rasulullah, para sahabat bertebaran ke seluruh dunia Islam yang ketika itu telah meluas ke seluruh Jazirah Arab dan kawasan sekitarnya. Masing-masing sahabat mengajar dan menyampaikan hadis yang mereka ketahui sahaja. Kegiatan ilmiah seperti ini tidak dapat dielakkan kerana di ketika itu tidak ada teknologi canggih seperti telefon, radio, tv, telex, faks, internet dan telekonferen untuk mereka saling bertukar dan menghimpun hadis. Jurang perbezaan hadis hanya dapat dirapatkan di pertengahan kurun kedua hijrah apabila wujudnya tokoh-tokoh yang berhijrah ke seluruh Jazirah Arab dan kawasan sekitarnya untuk mencari dan mengumpul hadis.

Oleh itu apabila seseorang tokoh di satu tempat tidak mengetahui sesuatu hadis, ia tidak bererti hadis tersebut tidak wujud tetapi kerana dia masih belum menemuinya. Kehadiran hadis tersebut di masa terkemudian adalah sesuatu yang memang dijangkakan selari dengan bertambah giatnya aktiviti mencari dan membukukan hadis. Rujukan seseorang hanya akan lengkap apabila dia dapat menghimpun semua kumpulan hadis dan menelaahnya. Ini sudah tentu agak sukar di zaman pertengahan kurun kedua hijrah tetapi tidak di kurun ketiga hijrah dan seterusnya.

Muhammad bin Idris as-Shafi’i telah menerangkan: Kita tidak mengetahui sesiapa yang memiliki ilmu yang merangkumi semua sunnah kecuali tertinggal sebahagian darinya. Keseluruhan sunnah hanya dapat diketahui apabila semua ilmu-ilmu ini dikumpulkan dari semua tokoh-tokohnya. Namun jika ilmu dari setiap tokoh diambil secara berasingan, kekurangan akan ditemui di bahagian-bahagian tertentu dan kekurangan ini dapat ditemui kembali dengan merujuk kepada tokoh lain.[5]

Kembali kepada hujah Schacht di atas, sukar untuk diterima bahawa beliau tidak mengetahui selok-belok sejarah perkembangan dan pengumpulan hadis di zaman awal Islam. Schacht nampaknya lebih cenderung berhujah atas teori sendiri bahawa sesuatu hadis yang tidak diketahui seseorang sebenarnya memang tidak wujud. Schacht juga mudah menuduh umat Islam mencipta hadis tanpa sebarang bukti melainkan tekaan sahaja.

Tanpa ketinggalan, hujah Schacht di atas sedia memiliki beberapa kelemahan, iaitu:

Pertama:

Schacht mengatakan pendapat berkenaan hukum meragut dan memotong rumput di Tanah Haram Makkah hanya wujud di zaman Shafi’i dalam bentuk hadis Rasulullah, yakni antara tahun 150H sehingga 204H. Nampaknya rujukan Schacht tidak merangkumi dua kitab berikut yang sedia memiliki hadis-hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam berkaitan hukum rumput di Tanah Haram Makkah:

[1] Sirah Ibnu Ishaq (151H), jld 3, ms 415-416.

[2] Musnad Rabi’ bin Habib (160H), ms 105[6]

 

Kedua:

Dalam bukunya yang sama: The Origins of Muhammadan Jurisprudence, mukasurat 250, Schacht berkata bahawa Hajjaj bin Artat disyaki mencipta hadis dan menyebarkannya. Jika ini sedia diketahui Schacht, maka kenapakah digunakan hujah yang berasal dari Hajjaj bin Artat di atas ? Adakah Schacht terlalu tertekan untuk mencari hujah sehingga terpaksa merujuk kepada seorang pendusta ? Dan jika benar Hajjaj mencipta hadis sendiri, kenapa dia tidak mencipta hadis mengenai hukum meragut dan memotong rumput di Tanah Haram Makkah ?  

 

Kesembilan: Merumus dari sebahagian kecil teks, jauh dari maksud yang asal.



[1]               The Origins of Muhammadan Jurisprudence, pg 140-141.

[2]               Ini adalah kod rujukan kitab yang digunakan oleh Schacht.

[3]               The Origins of Muhammadan Jurisprudence, pg 142.

[4]               al-Umm, jld 7, ms 146.

[5]               al-Risalah fi Usul al-Fiqh – Treatise on The Foundation of Islamic Jurisprudence, pg 89.

[6]               Dirujuk dari On Schacht’s Origins of Muhammadan Jurisprudence, pg 133 oleh Azami.

 

 

   

 

 
 

al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian