al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian

Percanggahan : 1 2 3 4 5 6 7

 
 

Percanggahan Keempat:

Dalam hadis-hadis diterangkan pelbagai jenis azab alam kubur padahal dalam al-Qur’an tidak ada satupun ayat yang membenarkannya. Al-Qur’an hanya menerangkan azab ketika manusia dibangkitkan semula di Hari Kiamat, tidak sebelum itu. Malah al-Qur’an juga tidak menerangkan wujudnya satu alam yang dinamakan “alam kubur.” Lebih dari itu seandainya benar apa yang dikatakan sebagai azab alam kubur, ia adalah termasuk perkara-perkara ghaib yang tidak siapapun mengetahuinya kecuali Allah Subhanahu waTa’ala. Maka adalah dusta apabila dikatakan bahawa Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam mengetahui kejadian ghaib alam kubur.

Penjelasannya:

Sama sekali tidak benar apabila dikatakan bahawa al-Qur’an tidak menerangkan wujudnya satu alam di antara saat kematian dan saat kebangkitan semula. Perhatikan ayat berikut:

Sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) – Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan.”  Tidak! Masakan dapat ? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada Hari Kiamat). [al-Mu’minun 23: 99-100]

Ayat ini menerangkan adanya tempoh antara saat ajal kematian dan kebangkitan semula. Ia juga menerangkan adanya azab di antara tempoh / masa tersebut kerana disebabkan azab inilah orang-orang yang telah mati meminta dikembalikan semula ke dunia agar mereka dapat mengerjakan amal soleh. Azab alam kubur diterangkan juga oleh Allah Azza waJalla di dalam dua ayat berikut:

Pertama:

Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya !” [Ghafir 40: 46]

Perhatikan bahawa dalam ayat ini terdapat dua bentuk azab, yang pertama adalah “bahang api neraka” dan yang keduanya ialah “pada Hari Kiamat” di mana barulah mereka dimasukkan ke dalam azab yang sebenar-benarnya. Jika azab yang kedua adalah pada Hari Kiamat maka azab yang pertama adalah sebelum Hari Kiamat, iaitu di alam kubur. Azab yang pertama ini bukan di Padang Masyar kerana perhimpunan di Padang Masyar adalah selepas berlakunya Hari Kiamat.

Kedua:

Dan di antara orang-orang yang di sekeliling kamu dari orang-orang “A’raab” ada yang bersifat munafik dan (demikian juga) sebahagian dari penduduk Madinah; mereka telah berkeras dengan sifat munafik; engkau tidak mengetahui mereka (bahkan) Kamilah yang mengetahui mereka. Kami akan azabkan mereka berulang-ulang, kemudian mereka dikembalikan kepada azab yang besar. [at-Taubah 9:101]

Perhatikan bahawa di sini terdapat dua suasana di mana orang munafik di azab, yang pertama adalah “azab yang berulang-ulang” manakala yang kedua adalah “azab yang besar”. Azab yang pertama adalah di alam kubur manakala azab yang kedua adalah di Hari Kiamat.

Memang benar bahawa Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam tidak mengetahui akan urusan dan perkara ghaib – kecuali apa yang diketahuinya dari wahyu dan pengkhabaran Allah Tabaraka waTa’ala sendiri. Memang benar bahawa hanya Allah sahaja yang mengetahui urusan dan perkara ghaib akan tetapi ketahuilah juga bahawa Allah adakalanya membuka pintu-pintu ilmu ghaib ini kepada para Rasul-Nya. Hal ini dikhabarkan sendiri oleh Allah Subhanahu waTa’ala melalui firman-Nya:

Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun; melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redai-Nya;  maka Ia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan). [al-Jinn 72: 26-27]

Oleh itu apa yang diterangkan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam tentang urusan dan perkara ghaib bukanlah berasal dari pengetahuan atau khayalannya sendiri tetapi ia sebenarnya berasal dari wahyu yang diwahyukan Allah kepadanya.

          

Percanggahan 5: Hadis-hadis larangan memakai sutera dan emas.

 

   

 

 
 

al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian