15 Asas Jati Diri Muslim Cemerlang
Dr. Azwira bin Abdul Aziz

 

Pendahuluan

 

إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا
من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له

وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له وأشهد أن محمدا عبده ورسوله

اللهم صل وسلم على نبينا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين وبعد،

 

Pemerhatian terhadap realiti umat Islam pada hari ini menunjukkan betapa mereka memiliki tahap jati diri yang sangat lemah, rapuh dan mudah tergugat oleh cabaran pemikiran dan budaya persekitaran. Pembuktian hakikat ini tidak perlu kepada kajian lapangan yang membazirkan banyak masa, tenaga dan harta benda kerana sejak sekian lama ia telahpun digambarkan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam melalui sabdanya:

 

يوشك أن تداعى عليكم الأمم كما تداعى الأكلة إلى قصعتها،

 

فقال قائل: أومن قلة نحن يومئذ؟

 

قال: بل أنتم يومئذ كثير ولكنكم غثاء كغثاء السيل،

ولينـزعن الله من صدور عدوكم المهابة منكم وليقذفن الله في قلوبكم الوهن،

 

قالوا: وما الوهن؟

 

قال: حب الدنيا وكراهية الموت.

 

Maksudnya:

 

“(Masa) semakin hampir bagi umat-umat (bukan Islam) untuk saling bekerja sama menguasai kamu sebagaimana para pelahap saling ajak mengajak untuk menyantap hidangan mereka.

Sahabat bertanya: “Adakah keadaan itu disebabkan bilangan kita sedikit pada hari itu?”

 

Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “(Tidak) Bahkan bilangan kamu pada hari itu ramai cuma keadaan kamu sama seperti buih air bah. Oleh kerana itu Allah akan mencabut dari hati musuh kamu perasaan gerun terhadap kamu, sebaliknya Dia akan mencampakkan ke dalam hati kamu perasaan al-Wahn”.

 

Sahabat bertanya: “Apakah itu al-Wahn?

 

Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Cintakan dunia dan takutkan mati”[1].

 

Dalam hadith ini Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menggambarkan keadaan umat Islam yang telah hilang jati diri lalu hanyut dibawa arus kehidupan, sama seperti ghutha’as-sail (buih air bah) yang hanyut terapung-apung dibawa arus sehingga ia lenyap ditelan bumi atau hilang di tengah lautan. Apa yang digambarkan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam adalah suatu mukjizat ilmiah yang benar-benar menjadi kenyataan terutama dalam konteks umat Islam pada hari ini yang membesar dalam suasana terlalu bebas dan terbuka sehingga kehidupan sosial mereka tidak lagi dibina di atas nilai-nilai agama, tetapi di atas nilai kebebasan yang mereka tiru daripada budaya bukan Islam.

 

Kebanyakan umat Islam tidak lagi menilai sesuatu perkara berdasarkan prinsip dan metodologi ilmu agama yang mantap, tetapi berdasarkan keinginan nafsu mereka semata-mata atau berdasarkan taqlid buta terhadap amalan tradisi yang telah membudaya. Akhirnya, jati diri mereka hilang dan timbullah gejala al-Wahn yang mendorong mereka untuk mengorbankan segala prinsip dan ajaran agama dengan sewenang-wenangnya.

 

Jati bermaksud asli, murni, tulen, yang sebenar dan tidak bercampur[2]. Jati diri muslim bukan bermaksud nilai-nilai kebudayaan umat Islam yang telah terbeza oleh kepelbagaian kabilah, bangsa dan keturunan, tetapi ia bermaksud nilai-nilai agama Islam yang tulen, murni, tetap dan tidak bercampur dengan sebarang bentuk pemikiran atau budaya asing.

 

Seseorang muslim dilihat sebagai berjati diri bukan kerana keteguhannya berpegang dengan nilai-nilai budaya bangsanya semata-mata, tetapi kerana keteguhannya berpegang dengan nilai-nilai agama Islam yang sebenar yang tidak bercampur dengan sebarang bentuk fahaman, pegangan dan amalan salah. Nilai budaya sesuatu bangsa hanya boleh diterima sebagai asas jati diri bangsa itu jika ia benar-benar bersesuaian dengan nilai-nilai agama. Sebaliknya jika berlaku percanggahan antara nilai-nilai budaya dan agama, maka nilai budaya itu sendiri perlu dilihat sebagai faktor penghakis yang menghakis jati diri seseorang muslim.

 

Justeru, tidak ada jalan yang lebih berkesan untuk mengembali dan meningkatkan kekuatan jati diri umat Islam, melainkan dengan cara mengembalikan mereka kepada penghayatan agama yang sebenar berdasarkan asas-asas pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah.

 

Buku ini mengandungi 15 perkara yang dilihat sebagai asas penting bagi pembinaan jati diri setiap muslim. Fahamilah semua asas ini dan hayatilah ia, semoga Allah Subhanahu wa Ta’ala memberikan hidayahNya kepada kita semua.

 

 

 

Dr. Azwira bin Abdul Aziz

Jabatan Pengajian Al-Quran & As-Sunnah

Fakulti Pengajian Islam

Universiti Kebangsaan Malaysia

43600, Bangi                                       

Selangor Darul Ehsan

7 hb. Zulhijjah 1426 H (5 hb. Jan. 2006)


 

 


[1] Sahih Sunan Abi Daud, no:4297.

Catatan: Semua hadis yang dikemukakan dalam buku ini memiliki darjat sahih atau hasan. Demi memudahkan kupasan buku ini, sumber-sumber hadis hanya disebut secara ringkas.

[2] Kamus Dewan, hal:521.

 

Ü  KANDUNGAN  Ž