15 Asas Jati Diri Muslim Cemerlang
Dr. Azwira bin Abdul Aziz

 

Jati Diri # 7 :  Menghayati Tuntutan Dua Kalimah Syahadah

 

Ucapan dua kalimah syahadah yang diucapkan oleh setiap muslim terdiri daripada dua pengakuan. Pertama, pengakuan: أشهد أن لا إله إلا الله yang bermaksud: “Sesungguhnya aku mengaku bahawa tiada tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah”. Pengakuan ini seolah-olah satu ikatan perjanjian antara seorang hamba dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala bahawa dia tidak akan sembah selain daripadaNya. Ikatan perjanjian ini adalah satu daripada ciri-ciri aqidah (ikatan kepercayaan) yang telah termeterai secara fitrah semenjak manusia berada di alam roh lagi, sebagaimana firmanNya:

 

Maksudnya:

 

“Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam

dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka

seraya berfirman:

 

“Bukankah aku ini Tuhanmu?”

Mereka menjawab: “Betul (Engkau Tuhan kami) kami menjadi saksi”[1].

 

 

Namun setelah manusia lahir ke dunia, di kalangan mereka ada yang terpesong oleh ajaran kedua ibu bapa mereka, lalu mereka melanggari perjanjian yang telah termeterai itu sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

 

ما من مولود إلا يولد على الفطرة

فأبواه يهودانه أو ينصرانه أو يمجسانه،

كما تُنْـتَج البهيمة بهيمةً جمعاءَ

هل تحس فيها من جدعاء.

 

Maksudnya:

 

“Tiada (bayi) yang dilahirkan melainkan (dia) dilahirkan mengikut fitrah,

lalu kedua ibu bapanya yang menentukan sama ada dia menjadi yahudi, nasrani atau majusi,

sebagaimana terhasil daripada seekor binatang itu anak yang sempurna,

kamu tidak akan mendapati sebarang kecacatan padanya”[2].

 

 

Justeru untuk mengembalikan setiap muslim kepada fitrahnya yang sebenar, maka mereka wajib menghayati makna pengakuan yang pertama ini dengan membuktikannya melalui perbuatan (anggota badan) dan segala tingkah laku (zahir dan batin). Dengan perkataan lain pengakuan pertama ini mesti dihayati dengan maksud: “Sesungguhnya aku tahu, aku mengaku dan aku percaya bahawa tiada tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah, dan bahawa aku menyata dan menzahirkan yang demikian itu dengan kata-kataku (lidah), perbuatanku (anggota badan) dan segala tingkah lakuku (zahir dan batin)”[3].

Fitrah semulajadi manusia mengakui wujudnya Tuhan yang menjadikan segala makhluk, menguasai seluruh alam, berkuasa melaksanakan segala kehendakNya, berkuasa memberi rezeki, manfaat dan mudarat serta menghidup dan mematikan. Keimanan dari sudut kewujudan dan kekuasaan Tuhan ini dinamakan Tauhid Rububiyyah, iaitu pengakuan dan kepercayaan bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala itulah sebenar-benar Tuhan yang memiliki dan berkuasa menjadikan segala makhluk. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

 

Maksudnya:

 

“Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah Yang menciptakan langit dan bumi

dalam enam hari,

kemudian Dia bersemayam di atas Arsy”[4].

 

Akan tetapi Tauhid Rububiyyah ini tidak cukup untuk membezakan orang Islam daripada golongan bukan Islam kerana golongan kafir itu juga secara fitrahnya mentauhidkan (mengesakan) Allah Subhanahu wa Ta’ala dari segi rububiyyahNya, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

 

Maksudnya:

 

“Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad)

bertanya kepada mereka (yang musyrik itu):

“Siapakah yang menjadikan langit dan bumi?”

 

Sudah tentu mereka akan menjawab:

“Yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Mengetahui”[5].

 

 

Dalam ayat lain Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

 

Maksudnya:

 

“Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka:

“Siapakah yang menciptakan mereka?”

 

Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”.

 

Jika demikian, maka bagaimana mereka rela dipesongkan

(dari menyembah dan mengesakanNya)?”[6]

 

 

Kedua-dua ayat di atas jelas menunjukkan bahawa golongan musyrikin juga menyatakan keimanan mereka kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagai Tuhan Yang Maha Pencipta, dalam erti kata mereka mentauhidkan Allah Subhanahu wa Ta’ala dari segi rububiyyahNya. Dalam konteks ini, mereka dilihat sama dengan seorang muslim yang juga beriman dan mentauhidkan Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagai Tuhan Yang Maha Pencipta.

Justeru untuk membezakan umat Islam daripada golongan bukan Islam, Tauhid Rububiyyah ini mesti digabungkan pula dengan satu lagi jenis tauhid yang diistilahkan sebagai Tauhid Uluhiyyah. Iaitu pengakuan dan kepercayaan bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala itulah satu-satunya Tuhan yang berhak untuk disembah, dan bahawa tiada sekutu bagiNya dalam setiap perkara ibadat[7].

Prinsip Tauhid Uluhiyyah ini menuntut setiap muslim supaya mengesakan Allah dalam segala jenis ibadat, sama ada ibadat umum seperti bekerja mencari rezeki atau ibadat khusus seperti solat, zakat, puasa, haji, berdoa, berzikir, menyembelih binatang, melahirkan rasa takut, rasa mengharap, rasa cinta dan sebagainya. Dengan prinsip pengesaan ini, maka Tauhid Uluhiyyah dilihat sebagai satu daripada dua jenis tauhid[8] yang membezakan umat Islam daripada golongan bukan Islam.

Kewujudan Tauhid Uluhiyyah dalam diri manusia memastikan juga kewujudan Tauhid Rububiyyah dalam diri mereka, tetapi sebaliknya, kewujudan Tauhid Rububiyyah sahaja tidak menjamin kewujudan Tauhid Uluhiyyah itu. Dengan perkataan lain, orang yang berpegang dengan Tauhid Uluhiyyah pasti berpegang juga dengan Tauhid Rububiyyah, tetapi orang yang berpegang dengan Tauhid Rububiyyah sahaja tidak semestinya berpegang dengan Tauhid Uluhiyyah. Disebabkan tidak ada Tauhid Uluhiyyah inilah, maka golongan musyrikin telah mempersekutukan Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan sesuatu yang lain dalam ibadat, meskipun mereka mengakuiNya sebagai Tuhan Yang Maha Pencipta. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

 

Maksudnya:

 

“Ingatlah! (hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah

segala ibadat yang suci bersih (dari segala rupa syirik).


Dan orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung

dan penolong (sambil mereka berkata):

 

“Kami tidak menyembahnya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sedamping-dampingnya”, Sesungguhnya Allah akan menghukum mereka tentang apa yang mereka berselisihan padanya.

 

Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang yang tetap berdusta lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik)”[9].

 

 

Sejarah penyembahan berhala oleh manusia bermula bukan kerana mereka menganggap berhala itu tuhan, tetapi ia bermula kerana sikap melampau manusia dalam memuja manusia sehingga mendorong mereka mengukir patung yang kemudiannya mereka jadikannya sebagai wasilah (perantara) untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah. Dalam proses ini, mereka telah mempersekutukan Allah dengan makhluk dalam perkara ibadat lalu mereka terjerumus ke lembah kekufuran.

Semua penyelewengan dalam agama-agama yang berkonsepkan penyembahan patung seperti Kristian, Hindu, Budha dan Confusisme adalah disebabkan kepincangan dari sudut Tauhid Uluhiyyah. Di sini jelas kepada kita betapa pentingnya pemahaman dan penghayatan Tauhid Uluhiyyah dalam proses pembinaan jati diri muslim kerana ia akan mengawal mereka daripada terpesong ke jalan kekufuran serta dapat membezakan mereka daripada golongan bukan Islam. Oleh sebab itu, Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menjadikan Tauhid Uluhiyyah sebagai mesej utama para rasul dalam dakwah mereka, sepertimana firmanNya:

 

Maksudnya:

 

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul

(dengan memerintahkannya menyeru mereka):

 

“Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut[10]…”[11].

 

 

Selain daripada Tauhid Uluhiyyah, satu lagi jenis tauhid yang membezakan umat Islam daripada golongan bukan Islam ialah Tauhid Al-Asma’ Wa As-Sifat, iaitu mengesakan Allah Subhanahu wa Ta’ala dari segi Nama dan SifatNya tanpa mempersekutukanNya dengan nama-nama dan sifat-sifat makhluk. Setiap muslim wajib beriman dengan Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagaimana yang tersebut dalam Al-Quran dan As-Sunnah kerana keimanan kepada Nama-Nama dan Sifat-Sifat itu merupakan salah satu cara untuk mengenaliNya, sedangkan mengenal Allah Subhanahu wa Ta’ala itu adalah asas bagi aqidah Islam. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

 

Maksudnya:

 

“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia),

maka serulah dan berdoalah kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu,

dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran

dalam masa menggunakan nama-namaNya.

Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang telah mereka kerjakan”[12].

 

 

Melalui Tauhid Al-Asma’ Wa As-Sifat umat Islam dilihat berbeza dengan golongan bukan Islam kerana mereka (golongan bukan Islam) itu telah mempersekutukan Sifat-Sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan sifat-sifat makhluk. Golongan Nasrani misalnya telah menyifatkan Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagai mempunyai anak, manakala golongan Hindu dan penganut agama Greek purba pula mempercayai adanya banyak tuhan yang memiliki spesifikasi sifat dan tugas yang berbeza. Justeru bagi mengelakkan kekeliruan dalam penghayatan Tauhid Al-Asma’ Wa As-Sifat ini, setiap muslim wajib berpegang dengan beberapa prinsip penting, antaranya:

 

·         Pertama: Bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala hanya bersifat dengan Sifat-Sifat kesempurnaan[13]. Allah tidak layak disifat dengan sifat-sifat kekurangan, bahkan tindakan menyifatkanNya dengan sifat kekurangan dilihat sebagai satu daripada bentuk ilhad (anti ketuhanan). Dalam konteks ini Imam Ibn al-Qayyim berkata (maksudnya):

Dan jenis ilhad yang ketiga ialah menyifatkanNya dengan sifat kekurangan yang Dia Maha Suci daripadanya, seperti kata yahudi bahawa Allah itu fakir, Dia beristirehat setelah selesai menjadikan sekelian makhluk dan Tangan Allah itu terbelengu[14].

 

·         Kedua: Bahawa Nama-Nama dan Sifat-Sifat yang khusus bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak boleh dikongsi oleh sebarang makhluk. Jika berlaku perkongsian nama sesuatu sifat antara Allah dan makhluk, maka ia tidak boleh difahami dengan maksud penyamaan sifat tersebut, kerana persamaan nama sifat tidak semestinya menggambarkan persamaan hakikat sifat berkenaan[15]. Ini sejajar dengan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

 

Maksudnya:

 

“Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (Zat, Sifat-Sifat dan pentadbiran) Nya,

dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat”[16]

 

 

Jika berlaku perkongsian beberapa sifat tertentu antara Allah dan makhluk seperti sifat Al-Yad (Tangan), Al-Hayy (Maha Hidup), As-Sami (Maha Mendengar) dan Al-Basir (Maha Melihat), maka ia mesti difahami dalam konteks yang berbeza, bersesuaian dengan zat masing-masing. Dengan perkataan lain, sifat Tangan, Maha Hidup, Maha Mendengar dan Maha Melihat yang ada pada Allah Subhanahu wa Ta’ala mesti difahami dalam konteks yang bersesuaian dengan keagungan dan ketuhananNya, manakala sifat tangan, hidup, mendengar dan melihat yang ada pada makhluk pula mesti difahami dalam konteks yang bersesuaian dengan kejadian dan kemakhlukannya. Dalam konteks ini, Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah menjelaskan (maksudnya):

Maka tidak dapat tidak mesti menetapkan apa yang telah Allah tetapkan bagi diriNya dan menafikan penyerupaanNya dengan makhlukNya. Sesiapa yang kata Allah tidak ada ilmu, tidak ada kekuatan, tidak ada kasihan belas, tidak ada percakapan, tidak ada kasih sayang, tidak ada keredhaan, tidak memanggil, tidak menyeru dan tidak bersemayam maka dia adalah seorang pembatal yang ingkar (terhadap sifat Allah) dan yang menyamakan Allah dengan benda yang tiada atau benda yang kaku.

 

Manakala sesiapa yang kata ilmuNya seperti ilmuku, kekuatanNya seperti kekuatanku, kasih sayangNya seperti kasih sayangku, keredhaanNya seperti keredhaanku, tanganNya seperti tanganku dan duduk bersemayamNya seperti duduk bersemayamku, maka dia adalah seorang musyabbih yang menyamakan Allah dengan haiwan (makhluk). Justeru, tidak dapat tidak mesti menetapkan tanpa penyamaan dan mesti mensucikan tanpa pengingkaran”[17].

 

·         Ketiga: Bahawa Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala yang disebut dalam Al-Quran dan As-Sunnah wajib diimani secara zahir dan hakiki, tanpa tatil (takwilan yang membatalkan makna), tanpa takyif (membentukkan rupa makna), tanpa tajsim (menjasadkan makna), tanpa tahrif (menyelewengkan makna) dan tanpa tamthil (mengumpamakan makna dengan sesuatu). Dalam konteks ini Imam At-Tarmizi berkata (maksudnya):

Dan sungguh bukan seorang daripada ahli ilmu telah berkata tentang hadith ini[18] dan yang seumpamanya daripada riwayat-riwayat berkenaan Sifat-Sifat (Allah Subhanahu wa Ta’ala) dan (berkenaan sifat) turun Tuhan (Allah) Tabaraka Wa Ta’ala pada setiap malam ke Langit Dunia. Mereka mengatakan (bahawa) riwayat-riwayat dalam (hal) ini adalah thabit (sahih) dan diimani dengannya, tetapi tidak harus diwahamkan (dibayangkan) atau diperkatakan kaifiat (bentuk, ciri dan tatacaranya)nya. Demikianlah (apa) yang diriwayatkan daripada (Imam) Malik, Sufyan Ibn ‘Uyainah dan ‘Abd Allah Ibn Al-Mubarak bahawa mereka berkata tentang hadith-hadith ini: “Perlepaskanlah (terimalah) ia tanpa mempersoalkan bagaimana”. Demikianlah pendapat para ulama dari kalangan Ahli Sunnah Wa Al-Jamaah”[19].

 

Setiap muslim wajib mentauhidkan Allah Subhanahu wa Ta’ala berdasarkan ketiga-tiga jenis tauhid ini, dalam erti kata meyakini bahawa tiada sesuatu pun yang menjadi sekutu bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala, baik dari segi RububiyyahNya, UluhiyyahNya dan maupun dari segi Nama serta SifatNya. Keimanan dan keyakinan ini dapat meneguhkan jati diri muslim daripada terkeliru atau terheret ke dalam pelbagai bentuk fahaman atau amalan yang mengandungi unsur-unsur kesyirikan terhadap Allah Subhanahu wa Ta’ala, di samping membezakan mereka daripada golongan bukan Islam yang sememangnya mempersekutukan Allah dengan makhluk.[20] 

Di samping pengakuan terhadap keesaan Allah Subhanahu wa Ta’ala, Kalimat Syahadah juga mengandungi satu lagi pengakuan, iaitu ucapan: وأشهد أن محمدا رسول الله  yang bermaksud: “Dan sesungguhnya aku mengaku bahawa Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah”. Pengakuan kedua ini juga merupakan satu lagi ikatan perjanjian antara seorang hamba dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala untuk menyatakan keimanan bahawa Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah yang terakhir yang diutuskan kepada umat akhir zaman untuk menyampai dan menjelaskan segala ajaranNya.

Dengan pengakuan ini setiap muslim wajib menerima dan mematuhi segala ajaran yang disampaikan oleh Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam dengan penuh keimanan. Sama seperti pengakuan pertama, pengakuan kedua ini juga tidak membawa apa-apa makna jika tidak dibuktikan dengan usaha untuk mematuhi segala ajaran Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam melalui amal perbuatan[21]. Seorang muslim yang tidak mengikuti ajaran Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dilihat seolah-olah meragui peranan Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai pesuruh Allah Subhanahu wa Ta’ala, sedangkan keraguan sedemikian adalah bercanggah dengan ciri-ciri keimanan sejati dan menggambarkan pembohongan dalam pengakuan syahadahnya.

Jika maklumat yang disampaikan oleh seorang menteri diterima sebagai fakta rasmi kerajaan, maka begitulah juga dengan maklumat yang disampaikan oleh Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam wajib diterima sebagai wahyu rasmi dari Allah Subhanahu wa Ta’ala, dan bukan sebagai hikayat purba yang kononnya tidak lagi sesuai dengan zaman kemajuan. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: 

 

Maksudnya:

 

“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu (Rasulullah) hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan,

kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka

terhadap putusan yang kamu berikan,

dan mereka menerima dengan sepenuhnya”[22].

 

 

Orang yang mengucap dua kalimah syahadah dituntut supaya melaksanakan segala tuntutan syahadah dengan hati yang lapang dan penuh ketaatan sebagai bukti keimanannya. Orang beriman bila mendengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran atau sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, tidak akan teragak-agak untuk tunduk dan patuh kepadanya. Seseorang yang mengaku Islam tidak sepatutnya teragak-agak untuk menerima keseluruhan ajaran Islam kerana sebarang penolakan bererti melanggar ikatan perjanjian yang telah dia meteraikan sebelumnya. Jika seseorang pekerja buruh tidak tergamak melanggar kontrak perjanjian majikannya, maka manusia perlu lebih bijak untuk tidak melanggar janjinya dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Justeru penghayatan dua kalimah syahadah ini mestilah terpasak kukuh dalam jiwa setiap muslim sebagai asas pembinaan jati diri mereka.

 


 

[1] Al-A’raf, 7:172.

[2] Sahih Al-Bukhari, no:1292 & 4497.

[3] Abd Karim Zaidan, Usul Ad-Dakwah, hal:18.

[4] Al-A’raf, 7:54 dan Yunus, 10:3. Bersemayam di atas Arsy adalah satu sifat Allah yang wajib kita imani sesuai dengan kebesaran dan kesucianNya.

[5] Az-Zukhruf, 43:9.

[6] Az-Zukhruf, 43:87.

[7] Ibadat ialah kata nama yang merangkumi segala amalan yang disukai dan diredhai Allah Subhanahu wa Ta’ala, baik perkataan mahupun perbuatan , zahir ataupun batin.

[8]  Satu lagi ialah Tauhid Al-Asma’ Wa As-Sifat yang akan dibincang selepasnya.

[9]  Az-Zumar, 39:3.

[10]  Taghut:ialah Syaitan, berhala dan apa sahaja yang menyesatkan. Lihat:Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, hal:639.

[11]  An-Nahl, 16:36.

[12]  Al-Araf, 7:180.

[13]  Ibn Qayyim Al-Jauziyyah, Badai’ Al-Fawaid, 1:177.

[14]  Ibn Qayyim Al-Jauziyyah, Badai’ Al-Fawaid, 1:179.

[15]  Said Ibn Ali Al-Qahtani, Syarh Asma’ Allah Al-Husna Fi Dau’ Al-Kitab Wa as-Sunnah, hal:51.

[16]  Asy-Syura 42:11.

[17]  Ibn Taimiyyah, Ar-Risalah at-Tadmuriyyah, hal:30. Dalam Syarh Asma’ Allah Al-Husna, hal:64.

[18]  Iaitu hadith no:662 dalam Sunan At-Tarmizi berkenaan penerimaan ibadah sedekah oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan Tangan Kanannya.

[19]  Sunan At-Tarmizi, 3:50.

[20] Merujuk kepada Tauhid Al-Asma wa Al-Sifat, terdapat banyak kekeliruan dan fitnah tentang apa pegangan Ahli Al-Sunnah Wa Al-Jamaah yang sebenar. Alhamdulillah, penulis telah mengusahakan sebuah buku khas bagi menjelaskan kekeliruan dan menjawab fitnah tersebut, berjudul Siapakah Ahli Sunnah Yang Sebenar? Penjelasan Kepada Tohmahan Zamihan Mat Zin Al-Ghari Ke Atas Pegangan Ahli Sunnah Dan Para Tokohnya, 2006, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru.

[21]  Said Ibn Ali Al-Qahtani, Syarh Asma’ Allah Al-Husna, hal:25.

[22]  An-Nisa’, 4:65.

 

 

Ü  KANDUNGAN  Þ