15 Asas Jati Diri Muslim Cemerlang
Dr. Azwira bin Abdul Aziz

 

Jati Diri # 5 : Memenuhi Syarat Penerimaan Amalan

 

Berdasarkan hakikat bahawa amalan batin boleh mempengaruhi kesahihan amalan zahir sebagaimana amalan zahir juga boleh menentukan kesahihan amalan batin, maka Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menjadikan kesahihan kedua-dua jenis amalan zahir dan batin sebagai syarat bagi penerimaan amalan di sisiNya. Dalam konteks ini, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

 

Maksudnya:

 

“Barang siapa yang mengharapkan perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah dia mengerjakan amal shalih dan janganlah dia mempersekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Tuhannya”[1].

 

 

Dalam ayat ini, Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menggariskan dua syarat bagi hambaNya yang ingin mendapatkan ganjaran kebaikan di Hari Akhirat. Iaitu pertama, hendaklah dia mengerjakan amal shalih dan kedua, hendaklah dia tidak mempersekutukan Allah dalam amal ibadatnya itu. Yang dimaksudkan dengan amal shalih dalam ayat ini ialah amalan zahir yang menepati Sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam kerana dialah satu-satunya Rasul yang diutuskan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala untuk mengajar kita segala cara ibadat dalam Islam. Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

 

من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو رد.

 

Maksudnya:

 

“Sesiapa yang mengerjakan sesuatu amalan (ibadat) bukan mengikut (spesifikasi) cara kami, maka ia adalah tertolak”[2].

 

 

Manakala yang dimaksudkan dengan ‘tidak mempersekutukan Allah dalam ibadat’ ialah amalan batin, iaitu melakukan ibadat dengan niat yang ikhlas semata-mata mengharapkan keredhaanNya, bukan kerana tujuan yang lain. Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

 

إن الله عز وجل لا يقبل من العمل إلا ما كان خالصا وابتغي به وجهه.

 

Maksudnya:

 

“Sesungguhnya Allah Azza Wa Jalla tidak menerima sesuatu amalan melainkan yang ikhlas dan (bertujuan) mencari keredhaanNya semata-mata”[3].

 

 

Maksud ayat dan hadith di atas menunjukkan bahawa syarat penerimaan ibadat di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala ada dua:

  • Pertama, kesahihan amalan batin dalam bentuk niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah.

     

  • Kedua, kesahihan amalan zahir dalam bentuk menepati Sunnah (cara) yang diajarkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

 

Bagi menghasilkan kualiti ibadat yang diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala, kedua-dua syarat ini saling berkait dan tidak boleh berpisah antara satu sama lain. Jika amalan yang tidak ikhlas akan ditolak oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala meskipun menepati Sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, maka begitu juga sebaliknya, amalan yang tidak menepati Sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tidak akan diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala meskipun ada niat ikhlas.

Berdasarkan kedua-dua syarat ini, nyatalah kepada kita bahawa persepsi sebahagian masyarakat Islam yang meletakkan kekudusan sesuatu amalan hanya semata-mata kepada niat atau tujuan yang baik tanpa mempedulikan cara pelaksanaannya adalah persepsi yang salah sama sekali. Dalam sebuah hadith, tiga orang Sahabat radhiallahu 'anhum datang bertanya kepada isteri Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam berkenaan ibadat Baginda di rumah. Setelah mereka diberitahu mengenainya, mereka mula membuat perkiraan lojik dengan mengandaikan bahawa jika Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksum masih terus tekun beribadat, maka mereka yang tidak maksum perlu beribadat lebih daripada itu. Lantas seorang daripada mereka berazam untuk bersolat sepanjang malam, seorang lagi berazam untuk berpuasa sepanjang tahun, manakala yang ketiga pula berazam untuk tidak berkahwin seumur hidup. Mendengar kata-kata mereka itu, Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

 

أما والله إني لأخشاكم لله وأتقاكم له

 

لكني أصوم وأفطر وأصلي وأرقد

 

وأتزوج النساء فمن رغب عن سنتي

 

فليس مني.

 

Maksudnya:

 

“Ketahuilah! Demi Allah! Sesungguhnya aku orang yang paling takut dan paling bertaqwa kepada Allah di antara kamu,

 

tetapi aku (kadangkala) berpuasa dan (kadangkala) tidak,

aku bersolat (malam) tetapi aku juga tidur

 

dan aku juga berkahwin dengan wanita-wanita.

Justeru, sesiapa yang berpaling dari Sunnahku,

 

maka dia bukan dari (kalangan umat) ku”[4].

 

 

Hadith ini menceritakan tentang tiga orang Sahabat yang berazam untuk melipat gandakan kuantiti ibadat mereka, dengan niat yang tulus ikhlas bagi mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Namun disebabkan cara ibadat yang mereka ingin lakukan itu tidak menepati cara Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, maka Baginda tidak memperakukannya meskipun niat mereka baik. Selain daripada hadith di atas, terdapat banyak lagi hadith Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang menunjukkan penolakan terhadap falsafah ‘tujuan menghalalkan cara’, seperti sabda Baginda:

 

لا تُطروني كما أطْرَتْ النصارى عيسى بن مريم،

 

إنما أنا عبدالله، فقولوا: عبدالله ورسوله.

 

Maksudnya:

 

“Jangan kamu melampau memujaku sebagaimana golongan Nasrani melampau memuja (Nabi) Isa Ibn Maryam,

 

aku hanyalah seorang hamba Allah, maka pujilah aku sebagai seorang hamba dan pesuruh Allah”[5].

 

 

Dalam hadith ini Baginda shallallahu 'alaihi wasallam melarang para Sahabat daripada memujinya secara berlebihan, sedangkan kita sedia maklum bahawa niat para Sahabat di sebalik pujian itu adalah baik dan cara pujian yang dilakukan oleh para Sahabat terhadap Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tidaklah sampai mengangkat status Baginda ke tahap ketuhanan sebagaimana cara pemujaan yang dilakukan oleh kaum Nasrani terhadap Nabi Isa. Namun Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam tetap melarangnya sebagai satu penjelasan betapa niat dan tujuan yang baik itu tidak sekali-kali akan menghalalkan cara.

Dalam satu lagi hadith lain, ketika Baginda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menuju ke medan peperangan Hunain, Baginda melalui sebatang pokok milik golongan Musyrikin dikenali sebagai Zat Anwat yang digunakan sebagai tempat menyangkut senjata sambil berkumpul di sekitarnya. Melihat kegunaan pokok tersebut, para Sahabat berkata: “Wahai Rasulullah! jadikanlah untuk kami zat anwat sebagaimana mereka juga memiliki zat anwat”. Mendengar kata-kata Sahabat itu, Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

سبحان الله! هذا كما قال قوم موسى:

 

اجعل لنا إلها كما لهم آلهة،

 

والذي نفسي بيده لتركبن سنن من كان قبلكم سنة سنة.

 

Maksudnya:

 

“Maha Suci Allah! (Perkataan) ini sama seperti perkataan kaum Nabi Musa:

 

“Buatkanlah untuk kami (sebuah patung) tuhan sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan”[6],

 

Demi Yang (memegang) nyawaku di Tangannya!

Sesungguhnya kamu akan ikut cara golongan sebelum kamu”[7].

 

 

Dalam peristiwa ini, Baginda telah menolak perkataan para Sahabat itu kerana ia dilihat menyerupai perkataan kaum Yahudi terhadap Nabi Musa ‘alaihi salam, sedangkan niat di sebalik kedua-dua perkataan mereka adalah jauh berbeza. Kaum Yahudi meminta Nabi Musa supaya membuat untuk mereka sebuah patung tuhan sedangkan para Sahabat hanya meminta dijadikan sebatang pokok sebagai tempat untuk menggantung senjata. Teguran Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam terhadap perkataan para Sahabat itu menunjukkan bahawa apa yang mereka lakukan itu tidak betul meskipun niat mereka baik.

Di kalangan umat Islam hari ini ramai yang menyangka bahawa sesuatu amalan itu pasti akan diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala berdasarkan tujuan yang baik kerana mereka menganggap bahawa sesuatu amalan itu akan menjadi baik bila ada niat yang baik. Kerana berpegang kepada persepsi yang salah ini, maka masyarakat Islam tidak lagi segan silu untuk melakukan perkara yang menyalahi sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam atau yang melanggar batas-batas hukum syara’ dengan alasan (kononnya): “Asalkan niatnya baik”.

Akhirnya lahirlah ungkapan-ungkapan songsang seperti: “Walaupun saya tidak menutup aurat, tapi iman saya kuat”, “Walaupun saya tak bersembahyang tapi hati saya baik”, “Walau pun kenduri tahlil itu Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tak buat tapi tujuan ia dilakukan adalah baik”.

Kata-kata seumpama ini ternyata lahir daripada individu yang gagal memahami prinsip dan syarat penerimaan amalan di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala. Akibatnya, jati diri mereka menjadi terlalu lemah untuk berhadapan dengan runtunan hawa nafsu yang sentiasa tertarik kepada kemaksiatan. Justeru untuk memantapkan jati diri, setiap muslim wajib menjaga prinsip kemurnian niat dan kesahihan cara sebagai dua syarat penerimaan amalan di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala yang mesti dihayati dengan sebaik mungkin dalam setiap aktiviti kehidupan.

 


 

[1] Al-Kahf, 18:110.

[2] Sahih Muslim, no:1718.

[3] Sahih Sunan An-Nasai, no:3140.

[4] Sahih Muslim, no:1401.

[5] Sahih Al-Bukhari, no:3261.

[6] Al-Araf, 7:138.

[7] Sahih Sunan At-Tirmizi, no:2180.

 

 

Ü  KANDUNGAN  Ž