15 Asas Jati Diri Muslim Cemerlang
Dr. Azwira bin Abdul Aziz

 

Jati Diri # 4 : Menjaga Amalan Zahir Dan Batin

 

Dalam mengamalkan segala ilmu yang dipelajari, Islam menuntut umatnya supaya menititberatkan kedua-dua aspek zahir dan batin (rohani dan jasmani) yang saling mempengaruhi antara satu sama lain. Hakikat bahawa amalan batin mempengaruhi amalan zahir telah digambarkan oleh Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:

 

...ألا وإن في الجسد مضغة

إذا صلحت صلح الجسد كله وإذا فسدت فسد الجسد كله

ألا وهي القلب.

 

Maksudnya:

 

“…Ingatlah bahawa di dalam jasad itu ada segumpal darah,

jika ia baik maka baiklah seluruh jasad dan jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa yang demikian itu adalah jantung hati”[1].

 

 

Dalam hadith yang lain Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

 

إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرئ ما نوى،

 

فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله،

 

ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امرأة ينكحها

 

فهجرته إلى ما هاجر إليه.

 

Maksudnya:

 

“Hanyasanya segala amalan dikira berdasarkan niat dan hanya sanya bagi setiap orang itu ialah apa yang dia niatkan,

 

sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya maka hijrahnya itu

adalah untuk Allah dan RasulNya,

 

dan sesiapa yang berhijrah kerana (mencari) habuan dunia

atau kerana ingin berkahwin dengan seseorang wanita,

 

maka hijrahnya itu adalah untuk apa yang telah dia niatkannya”[2].

 

 

Hadith-hadith di atas menunjukkan betapa amalan batin itu amat penting bagi menentukan kesahihan amalan zahir. Pengabdian yang dipersembahkan melalui amalan zahir anggota badan semata-mata tidak mempunyai apa-apa erti jika ia tidak disertai dengan batin yang tulus ikhlas mengharapkan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ibadat solat, puasa, zakat dan sebagainya tidak ada nilai di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala jika ia dipersembahkan tanpa niat yang ikhlas. Setiap amalan, sama ada perbuatan atau perkataan jika tidak dilakukan dengan niat yang ikhlas akan dilihat sebagai syirik tersembunyi (riya’). Sabda Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam:

 

 
يا أيها الناس إن أخوف ما أخاف عليكم الشرك الخفي.

 

Maksudnya:

 

“Wahai manusia! Sesungguhnya apa yang aku paling bimbang berlaku ke atas kamu ialah syirik tersembunyi”[3].

 

 

Namun sebagaimana amalan batin itu memberi kesan ke atas kesahihan amalan zahir, maka begitu sebaliknya, amalan zahir juga boleh mempengaruhi kesahihan amalan batin. Hakikat bahawa amalan zahir boleh mempengaruhi amalan batin juga telah digambarkan oleh Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:

 

إن الله طيب لا يقبل إلا طيبا.

 

Maksudnya:

 

“Sesungguhnya Allah Maha Suci dan Dia tidak sekali-kali menerima (daripada hambaNya) melainkan yang suci (zahir dan batin)”[4].

 

 

Hadith ini disabdakan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam semasa Baginda menceritakan kepada para Sahabat radhiallahu 'anhum kisah seorang lelaki dari kalangan umat terdahulu yang mengalami kesukaran dalam satu pengembaraan. Walaupun dia (lelaki itu) memohon doa dengan hati penuh keikhlasan, namun doanya tetap tidak termakbul kerana segala makanan, minuman dan pakaian yang dia gunakan adalah terhasil daripada sumber yang haram[5]. Penolakan doa oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala disebabkan sumber pakaian dan makan minum yang haram menunjukkan betapa amalan zahir juga boleh memberi kesan terhadap amalan batin. Dalam satu lagi hadith lain Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

 

الطهور شطر الإيمان ...

 

Maksudnya:

 

“Kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman”[6].

 

 

Menjelaskan maksud hadith ini, al-Ghazali rahimahullah menyatakan bahawa ungkapan ‘kebersihan sebahagian daripada iman’ yang dimaksudkan dalam hadith ini bukan khusus bagi kebersihan zahir (fizikal) semata-mata, tetapi merangkumi juga kebersihan batin (spiritual) daripada seluruh penyakit hati seperti riya’ dan hasad[7]. Memandangkan kedua-dua amalan zahir dan batin itu saling memberi kesan ke atas amal ibadat, sedangkan amal ibadat itu pula adalah sumber ‘makanan’ rohani bagi menghasilkan tenaga jati diri, maka setiap muslim mesti menjaga amalan mereka zahir dan batin supaya ia diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Dengan penerimaan itu maka sumber makanan rohani mereka akan bertambah dan kekuatan jati diri mereka pula dapat dipertingkatkan.

 


 

[1] Sahih Al-Bukhari, no:52.

[2] Sahih Al-Bukhari, Kitab Bad’ Al-Wahy, bab 1.

[3]  Musnad Al-Bazzar, lihat: Silsilah Al-Ahadith As-Sahihah, no:508.

[4] Sahih Muslim, no:1015.

[5] Sahih Muslim, no:1015.

[6] Sahih Muslim, no:223.

[7] Muhd. Abd. Ar-Rahman Ibn ‘Abbad, Dawa’ Al-Qulub Al-Muqarrib Li Hadrat ‘Allam Al-Ghuyub, hal:15-16.

 

Ü  KANDUNGAN  Þ