15 Asas Jati Diri Muslim CemerlangDr. Azwira bin Abdul Aziz |
|---|
|
Jati Diri # 3 : Menyertakan Ilmu Dengan Amal
Ilmu adalah pelita yang menerangi jiwa manusia untuk menempuh kegelapan kejahilan menuju cahaya pengetahuan. Gejolak jiwa yang bersemangat untuk memperjuangkan kebenaran tidak akan menghasilkan sebarang natijah bermanfaat jika ia tidak dipandu oleh ilmu yang mencukupi. Manakala penguasaan ilmu itu juga tidak memadai jika ia tidak disertai dengan amali, kerana ilmu dan amal adalah dua perkara yang tidak boleh berpisah sama sekali. Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
لا تزول قدما عبد يوم القيامة حتى يسأل عن خمس:
عن عمره فيما أفنا وعن علمه فيما فعل
وعن ماله من أين اكتسبه وفيم أنفقه
وعن شبابه فيما أبلاه.
Maksudnya:
“Tidak berganjak kaki seseorang hamba pada hari Kiamat sehinggalah dia ditanya berkenaan lima perkara:
tentang umurnya untuk apa dia habiskan, tentang ilmunya setakat mana dia amalkan, tentang hartanya dari mana dia dapat dan ke mana dia belanjakan, dan tentang masa remajanya untuk apa dia pergunakan”[1].
Dalam hadith lain, Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
يجاء برجل يوم القيامة فيلقى في النار، فتندلق أقتابه في النار، فيدور كما يدور الحمار في رحاه،
فيجتمع أهل النار عليه فيقولون: أي فلان ما شأنك؟ أليس كنت تأمرنا بالمعروف وتنهانا عن المنكر؟
قال: كنت آمركم بالمعروف ولم آتيه وأنهاكم عن المنكر وآتيه.
Maksudnya:
“Dibawa seorang lelaki pada hari Kiamat lalu dicampakkan ke dalam api Neraka sehingga terburai usus-usus perutnya, lalu dia berpusing-pusing di dalamnya umpama seekor himar yang sedang berpusing di batu kisarannya”.
Penghuni Neraka mengerumuninya seraya bertanya: “Hai sipolan! Apa dah jadi pada kamu, bukankah dulu kamu yang menyuruh kami supaya berbuat kebaikan dan melarang kami daripada melakukan kemungkaran?”
Beliau menjawab: “Sungguh aku menyuruh kamu berbuat kebaikan tetapi aku sendiri tidak mengamalkannya, dan sungguh aku melarang kamu daripada kemungkaran tetapi aku sendiri melakukannya”[2].
Hadith pertama di atas menunjukkan persoalan di Padang Mahsyar yang akan dihadapi oleh orang yang tidak beramal dengan ilmunya, manakala hadith kedua pula menunjukkan balasan azab yang akan menimpa mereka akibat kelalaian dalam beramal dengan ilmu mereka. Kedua-dua hadith menunjukkan betapa pentingnya amalan bagi orang yang berilmu dan betapa bahaya kedudukan mereka jika tidak beramal dengan ilmu yang mereka miliki. Apakah agaknya jawapan yang mampu diberikan oleh orang yang tidak beramal dengan ilmunya bila ditanya di hadapan seluruh khalayak manusia dan jin, sedang anggota badan mereka telah bersiap sedia untuk menjadi saksi di atas segala amalan yang telah mereka lakukan? Kita selalu membaca surah al-Fatihah sekurang-kurangnya 17 kali sehari semalam, yang antara lainnya mengandungi ayat berikut:
Maksudnya: “Tunjukilah kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang dimurkai (Yahudi) dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat (Nasrani)”[3].
Golongan Nasrani digelar “sesat” kerana mereka beragama tanpa ilmu, manakala golongan Yahudi pula digelar “yang dimurkai” Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana mereka tidak beramal dengan ilmu mereka. Mereka tahu kerasulan Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam tetapi mereka tidak beriman dengannya. Orang yang beragama tanpa ilmu menyamai ciri-ciri golongan Nasrani, manakala orang yang tidak beramal dengan ilmunya pula menyamai perangai golongan Yahudi. Menyedari hakikat kepentingan amal ini, al-Khatib al-Baghdadi rahimahullah berwasiat dengan katanya yang bermaksud: Aku mewasiatkan kamu wahai sekelian penuntut ilmu, agar kamu ikhlaskan niat dalam penuntutannya serta menggagahi diri untuk beramal dengannya, kerana ilmu itu umpama pokok manakala amal itu adalah buahnya, tidak dikira alim orang yang tidak beramal dengan ilmunya[4]. Dalam konteks ini juga seorang penyair Arab berkata:
يا أيها الرجل المعلم غيره
|