15 Asas Jati Diri Muslim Cemerlang
Dr. Azwira bin Abdul Aziz

 

Jati Diri # 13 : Mengenali Musuh Yang Utama

 

Ketika Allah Subhanahu wa Ta’ala menjadikan Adam ‘alaihi salam, Dia telah memerintahkan para Malaikat supaya sujud kepadanya (Adam). Maka bersesuaian dengan sifat mereka yang sangat patuh, para Malaikat semuanya sujud tanpa berdolak dalih lagi. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

 

Maksudnya:

 

“Mereka tidak sekali-kali mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan mereka selalu mengerjakan apa yang diperintahkan”[1].

 

 

Namun di sana ada satu lagi makhluk bernama Iblis yang pada asalnya mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala bersama-sama para Malaikat, tetapi dia tertipu dengan kehebatan asal kejadiannya lalu mengingkari perintah sujud tersebut dengan alasan bahawa asal kejadiannya lebih baik daripada asal kejadian Adam:

 

Maksudnya:

 

“Allah berfirman:

“Apakah yang menghalangimu untuk bersujud(kepada Adam) sewaktu Aku menyuruhmu?”

 

Iblis menjawab:

“Aku lebih baik daripadanya, Engkau ciptakan aku dari api

sedang Engkau ciptakan dia dari tanah”[2].

 

 

Alangkah peliknya sikap Iblis, dia tahu dan mengakui kekuasaan Allah yang menciptakannya tetapi tidak mahu menurut perintahNya. Sedangkan pengetahuan dan pengakuannya tersebut tidak ada sebarang makna jika tidak dibuktikan dengan amalan, bahkan ia akan mendatangkan kecelakaan kepadanya pada Hari Kiamat. Disebabkan keegoan dan penderhakaannya itu, Allah Subhanahu wa Ta’ala melaknat dan menghalaunya keluar dari Syurga:

 

Maksudnya:

 

“Allah berfirman: “Keluarlah kamu dari Syurga kerana kamu sangat terkutuk

dan sesungguhnya kamu dilaknat sehingga Hari Kiamat”[3].

 

 

Semenjak dari itu bermulalah permusuhan yang hebat dan perancangan jahat Iblis untuk membalas dendam ke atas Adam serta zuriatnya. Iblis memulakan strategi membalas dendamnya dengan segera membuat permohonan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala supaya ajal dan pembalasan azab ke atasnya ditangguhkan sehingga Hari Kiamat. Disebabkan hikmah yang tertentu, Allah perkenankan permintaannya itu, sepertimana FirmanNya:

 

Maksudnya:

 

“Iblis berkata: “Ya Tuhanku! (kalau begitu) maka beri tangguhlah kepadaku

sehingga hari mereka (manusia) dibangkitkan”.

 

Allah berfirman: “(Kalau begitu) maka sesungguhnya kamu dari kalangan orang yang diberi tangguh sehingga hari yang telah ditentukan waktunya”[4].

 

 

Sayyid Qutb berkata (maksudnya):

Dia (Iblis) minta supaya ditangguhkan ajalnya bukan untuk menyesal atau untuk bertaubat di atas dosa penderhakaannya tetapi semata-mata untuk membalas dendam terhadap Adam serta zuriatnya sebagai balasan daripada laknat dan pengusiran Allah ke atasnya. Dia tidak mengaitkan sebab laknat Allah ke atasnya dengan penderhakaannya tetapi sebaliknya mengaitkannya dengan Adam[5].

 

Setelah berjaya mendapatkan penangguhan itu, maka dengan berani dan tegas Iblis menyatakan perancangan jahatnya untuk memperdaya dan menyesatkan manusia:

 

Maksudnya:

 

“Iblis berkata: “Kerana Engkau (Allah) telah memutuskan aku sesat,

maka aku akan sedaya upaya menghalang mereka (manusia) dari jalan Engkau yang lurus.

Kemudian aku akan mendatangi mereka dari depan dan

dari belakang juga dari kanan dan dari kiri,

sehingga Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur”[6].

 

 

Dalam ayat yang lain:

 

Maksudnya:

 

“Iblis berkata: “Ya Tuhanku! Oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat,

maka pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik

(perkara maksiat) di muka bumi,
dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya.

Kecuali hamba-hambaMu yang Ikhlas dari kalangan mereka”[7].

 

 

Iblis telah menyatakan dengan jelas bahawa bumi bakal menjadi lokasi peperangannya dengan manusia. Iblis juga telah mendedahkan bahawa rahsia senjatanya yang utama adalah At-Tazyin, iaitu memperhiaskan perkara maksiat supaya dipandang baik oleh manusia. Setiap manusia yang melakukan maksiat terhadap Allah Subhanahu wa Ta’ala bermakna dia telah terkena senjata Iblis.

Lebih mendalam tentang Iblis, dia adalah syaitan dari kalangan jin dan syaitan dari segi bahasa merangkumi seluruh jin dan manusia jahat yang menyimpang dari akhlak dan kebaikan[8]. Kedudukan syaitan sebagai musuh kepada manusia telah ditegaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala melalui firmanNya:

 

Maksudnya:

 

“Dan demikianlah kami jadikan bagi setiap nabi itu musuh,

iaitu syaitan-syaitan (dari jenis) manusia dan jin,

sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan yang indah-indah untuk menipu (manusia)”[9].

 

 

Dalam ayat lain Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

 

Maksudnya:

 

“Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagimu,

maka anggaplah dia sebagai musuh kerana sesungguhnya

dia hanya mengajak golongannya supaya menjadi penghuni Neraka yang menyala-nyala”[10].

 

 

Permusuhan syaitan dengan manusia mengatasi permusuhan manusia dengan sesama manusia. Jika manusia bermusuh dengan manusia yang lain, mereka digalakkan supaya berusaha sedaya upaya mencari jalan perdamaian, sedangkan permusuhan manusia dengan syaitan tidak ada jalan perdamaian sama sekali. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

 

Maksudnya:

 

“Jadilah seorang pemaaf dan suruhlah mengerjakan yang maruf

serta berpalinglah daripada orang yang bodoh.

Dan jika syaitan mengganggu kamu dengan suatu gangguan,

maka mohonlah perlindungan kepada Allah,

sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”[11].

 

 

Dalam ayat lain Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

 

Maksudnya:

 

“Tolaklah perbuatan buruk mereka dengan cara yang lebih baik,

Kami lebih mengetahui apa yang mereka sifatkan,

 

dan katakanlah: “Ya Tuhanku aku berlindung kepada Engkau dari bisikan-bisikan syaitan,

dan aku berlindung (juga) kepada Engkau dari kedatangan mereka kepadaku”[12].

 

 

Dalam ayat lain lagi Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

 

Maksudnya:

 

“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik

dan perbuatan yang jahat.

Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik;

apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.

 

Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan

diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar,

dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai

bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat.

 

Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”[13].

 

 

Menjelaskan maksud ayat-ayat ini Imam Ibn Kathir berkata (maksudnya):

Maka inilah tiga ayat yang tidak ada baginya ayat keempat pada maknanya. Bahawasanya Allah Subhanahu wa Ta’ala menyuruh supaya cuba berbaik-baik dengan musuh jenis manusia untuk mengembalikannya melalui tabiat asalnya yang baik kepada kasih sayang dan kejernihan, tetapi Dia (Allah) menyuruh pula supaya memohon perlindungan kepadaNya daripada musuh jenis syaitan kerana dia (syaitan) tidak menerima sebarang usaha kebaikan, bahkan apa yang dia inginkan hanyalah kebinasaan anak Adam, disebabkan betapa kuatnya dendam permusuhan antara dia dengan Adam sebelum itu[14].

 

Oleh itu setiap muslim harus sedar siapakah musuh utama mereka yang sebenar dan apakah jenis senjata yang digunakannya untuk menyerang mereka. Musuh utama tersebut ialah syaitan dan kuncu-kuncunya manakala senjata mereka yang paling utama ialah memperindahkan apa yang sebenarnya keburukan dan maksiat di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Dengan kesedaran ini, setiap muslim hendaklah mengambil langkah berwaspada bagi mempertahankan diri daripada serangan syaitan. Ini kerana syaitan sentiasa mencari peluang untuk melancarkan serangan dan jika berjaya, ia akan merosakkan jati diri seorang muslim.


 

[1] At-Tahrim, 66:6.

[2] Al-Araf, 7:12.

[3] Al-Hijr, 15:34-35.

[4] Al-Hijr, 15:36-38.

[5] Sayyid Qutb, Fi Zilal Al-Quran, 4:2141.

[6] Al-Araf, 7:16-17.

[7] Al-Hijr, 15:39-40.

[8] Wahid Abd As-Salam Bali, Wiqayah Al-Insan Min Al-Jin Wa Asy-Syaitan, hal:135.

[9] Al-Anam, 6:112.

[10] Fatir, 35:6.

[11] Al-Araf, 7:199-200.

[12] Al-Mu’minun, 23:96-98.

[13] Fussilat, 41:34-36.

[14] Tafsir Al-Quran Al-Azim, 1:14.

 

 

Ü  KANDUNGAN  Ž