Soalan:

Menurut orang tua saya, saya telah ditunangkan ketika masih kecil dengan sepupu dan ini adalah salah satu wasiat arwah datuk saya. Sebagai remaja saya tidak mahu menerimanya. Adakah berdosa jika wasiat ini dilanggar?

Ismaliza Ismail, Bukit Cina, Melaka.

 

Jawapan:

Wasiat hanya boleh diikuti jika ia selari dengan syari’at Islam. Jika bertentangan, maka tidak perlu mengikuti atau melaksanakannya. Wasiat di atas sebenarnya bertentangan kerana di dalam Islam, kerana seorang gadis hendaklah ditanya atau diminta izin terlebih dahulu sama ada dia sudi menerima seseorang lelaki sebagai calon suaminya. A’isyah menerangkan:

Saya bertanya kepada Rasulullah berkenaan seorang gadis yang dinikahkan oleh keluarganya, apakah mesti meminta izin daripadanya atau tidak?” Rasulullah menjawab: “Ya, dia dimintai izin. (A’isyah melanjutkan) Lalu saya berkata kepada baginda: “Sesungguhnya dia malu (mengemukakan persetujuannya).” Maka Rasulullah bersabda: “Jika dia diam, maka itulah izinnya.” [Shahih Muslim, no: 2544/1420]

Dalam sebuah hadis lain Rasulullah mengingatkan para ibubapa dan wali agar jangan memaksa pernikahan: Janganlah menikahkan seorang janda sebelum meminta persetujuannya, dan janganlah menikahkan anak gadis sebelum meminta izin darinya. [Shahih Muslim, no: 2543/1419]

Oleh itu anda berhak untuk menolak pertunangan tersebut. Penolakan ini adalah selari dengan Islam dan bukan satu penderhakaan atau dosa.