Soalan: Bolehkah Mendoakan Orang Kafir Yang Tidak Memusuhi Islam? Seperti Ucapan “Selamat Hari Natal” Dan “Selamat Pagi”.

Jawapan:

Bagi menjawab soalan ini, hendaklah mengetahui dan membezakan sikap kita terhadap orang kafir. Ia terbahagi kepada dua sudut, daripada sudut agama dan daripada sudut urusan harian.

Pertama: Daripada Sudut Agama.

Daripada sudut agama, sikap kita kepada orang-orang kafir adalah sebagaimana ayat-ayat berikut,

قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ

Katakanlah, “Wahai orang-orang kafir,

لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ

Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah,

وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ

Dan kamu tidak mahu menyembah apa yang aku sembah,

وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَا عَبَدْتُمْ

Dan aku tidak akan beribadah sebagaimana kamu beribadah,

وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ

Dan kamu tidak mahu beribadah sebagaimana aku beribadah,

لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ.

Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.” [al-Kafirun 109:1-6]

Ayat-ayat di atas dimulakan dengan Katakanlah… yang bermaksud sebarkanlah, war-warkanlah atau dalam bahasa media sosial masa kini, tularkanlah dan viralkanlah. Ini menunjukkan bahawa kesemua 6 ayat daripada surah al-Kafirun di atas adalah sesuatu yang patut disebut-sebut dan disebar-sebarkan selalu, baik kepada orang Islam mahupun orang kafir, meskipun tidak ada yang bertanya atau berbincang tentangnya.

Ayat-ayat di atas membentuk asas pendirian setiap Muslim terhadap orang-orang kafir. Setiap Muslim tidak memiliki apa-apa kepentingan mahupun hubungan dengan sembahan, cara ibadah dan agama orang-orang kafir.

Justeru berdasarkan surah al-Kafirun ini, setiap Muslim tidak akan mengucapkan “Selamat” kepada hari-hari atau acara-acara keagamaan orang-orang kafir. Baik ucapan itu ditujukan sebagai satu doa, harapan, pergaulan biasa, sekadar kata-kata di mulut yang tidak dimaksudkan di hati atau yang dilapik dengan “Selamat xxx bagi yang menyambutnya”. Sebabnya, setiap Muslim tidak memiliki apa-apa kepentingan, urusan mahupun kaitan dengan hari dan acara keagamaan kaum lain. Setiap Muslim memiliki prinsip yang tegas, Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.

Bahkan, setiap Muslim akan membenci dan berlepas diri daripada apa-apa sembahan, ibadah dan agama yang lain daripada Allah dan Islam. Setiap sembahan yang dianggap sebagai tuhan, setiap amal yang dianggap sebagai ibadah dan setiap kepercayaan yang dianggap sebagai agama adalah saingan kepada Allah dan Islam.

Kebencian dan sikap berlepas diri ini akan menyebabkan setiap Muslim tidak akan tergamak mengucapkan “Selamat” kepada hari-hari perayaan keagamaan orang-orang kafir. Baik ucapan itu ditujukan sebagai satu doa, harapan, pergaulan biasa, sekadar kata-kata di mulut yang tidak dimaksudkan di hati atau yang dilapik dengan “Selamat xxx bagi yang menyambutnya”.

Perhatikan ayat berikut di mana Allah Subhanahu wa Ta'ala menyuruh kita menjadikan Nabi Ibrahim ‘alaihis salam dan para pengikutnya sebagai contoh teladan yang baik. Apakah yang dilakukan oleh mereka sehingga patut kita contohi? Sila semak ayat berikut,

قَدْ كَانَتْ لَكُمْ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ فِي إِبْرَاهِيمَ وَالَّذِينَ مَعَهُ إِذْ قَالُوا لِقَوْمِهِمْ

إِنَّا بُرَآءُ مِنْكُمْ وَمِمَّا تَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ كَفَرْنَا بِكُمْ وَبَدَا بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةُ وَالْبَغْضَاءُ أَبَدًا حَتَّى تُؤْمِنُوا بِاللَّهِ وَحْدَهُ.

Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim dan orang-orang yang bersamanya contoh teladan yang baik, semasa mereka berkata kepada kaum mereka (yang kafir),

“Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah selain daripada Allah. Kami ingkari (segala sembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan kebencian di antara kami dan kamu selama-lamanya, sehinggalah kamu menyembah Allah semata-mata.” [al-Mumtahanah 60:04]

Oleh kerana itulah jika kita semak sirah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, tidak akan ditemui baginda mengucapkan selamat kepada hari-hari atau acara-acara keagamaan orang-orang kafir yang hidup berdamai pada zaman baginda. Padahal baginda sangat menginginkan mereka itu memeluk Islam. Seandainya memberikan ucapan selamat adalah satu cara dakwah yang dapat melunakkan hati mereka ke arah Islam, pasti baginda orang pertama yang akan melakukannya.

Meskipun setiap Muslim tidak mengucapkan selamat, tidaklah bererti boleh mencela atau mengeluarkan kata-kata buruk kepada orang-orang kafir yang menyambut hari-hari dan acara-acara keagamaan mereka. Allah Subhanahu wa Ta'ala telah melarang sikap begitu dengan firman-Nya,

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ.

Dan janganlah kamu cela benda-benda yang mereka sembah selain daripada Allah, kerana kelak mereka akan mencela Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. [al-An’aam 6:108]

 

Kedua: Daripada Sudut Kehidupan Harian.

Adapun daripada sudut kehidupan harian yang tiada kaitan dengan agama, maka sikap kita terhadap orang-orang kafir adalah sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala,

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ.

Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu dan tidak menghalau kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. [al-Mumtahanah 60:08]

Oleh itu boleh mengucapkan selamat dalam urusan harian orang-orang kafir seperti “Selamat pagi”, “Selamat petang, “Moga Selamat balik kampung” atau “All the best for your work assingment”. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah mendoakan orang Yahudi sebagaimana hadis berikut daripada Abu Musa radhiallahu 'anh,

كَانَ اليَهُودُ يَتَعَاطَسُونَ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَرْجُونَ أَنْ يَقُولَ لَهُمْ: يَرْحَمُكُمُ اللَّهُ، فَيَقُولُ:

Orang-orang Yahudi lazim bersin di sisi Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dengan harapan baginda akan mendoakan mereka “Yarhamukumullah (semoga Allah merahmati kalian sebagaimana Nabi biasa doakan orang Islam)”. Akan tetapi baginda hanya mendoakan,

يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ.

 “Semoga Allah menghidayahi kalian dan memperbaiki keadaan kalian”.[1]

Akan tetapi jika urusan harian orang-orang kafir adalah sesuatu yang salah di sisi Islam, tidak boleh mengucapkan selamat kepadanya. Ini kerana ada sebahagian perkara yang sudah menjadi kebiasaan di sisi mereka tetapi merupakan kesalahan dan dosa di sisi Islam. Allah 'Azza wa Jalla mengingatkan,

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ.

Dan saling tolong menolonglah dalam perkara kebaikan dan takwa, dan janganlah kamu saling tolong menolong dalam perkara dosa dan pencerobohan. Bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksanya. [al-Maidah 5:02]

Oleh itu  sebagai contoh, tidak boleh mengucapkan “Enjoy your time at the pub” kerana minum arak adalah salah di sisi hukum Islam. Contoh lain, tidak boleh mengucapkan “Selamat Tahun Baru Cina” kerana setiap tahun baru dalam kalendar Cina diwakili oleh haiwan yang membawa sekian-sekian nasib baik dan buruk. Mempercayai nasib baik dan buruk adalah salah di sisi aqidah Islam.

 

Sebaik-Baik Doa

Sebaik-baik doa kepada orang-orang kafir adalah agar Allah Subhanahu wa Ta'ala memberi hidayah kepada mereka. Hendaklah menggunakan setiap kesempatan yang ada bagi mendoakan hidayah kepada mereka. Sehinggakan orang yang bersin juga didoakan hidayah sebagaimana hadis berikut daripada Abu Musa radhiallahu 'anh,

كَانَ اليَهُودُ يَتَعَاطَسُونَ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَرْجُونَ أَنْ يَقُولَ لَهُمْ: يَرْحَمُكُمُ اللَّهُ، فَيَقُولُ:

Orang-orang Yahudi lazim bersin di sisi Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dengan harapan baginda akan mendoakan mereka “Yarhamukumullah (semoga Allah merahmati kalian sebagaimana Nabi biasa doakan orang Islam)”. Akan tetapi baginda hanya mendoakan,

يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ.

 “Semoga Allah menghidayahi kalian dan memperbaiki keadaan kalian”.[2]

Mendoakan hidayah bukan sahaja ke atas orang kafir yang berdamai tetapi juga ke atas orang kafir yang membangkang. Abu Hurairah radhiallahu 'anh menceritakan,

قَدِمَ الطُّفَيْلُ وَأَصْحَابُهُ فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّ دَوْسًا قَدْ كَفَرَتْ وَأَبَتْ، فَادْعُ اللهَ عَلَيْهَا!

al-Thufail dan para sahabatnya datang lalu berkata, “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kabilah Daus telah kafir dan membangkang! Oleh itu berdoalah kepada Allah agar mereka mendapatkan kecelakaan.”

فَقِيلَ: هَلَكَتْ دَوْسٌ!

Seseorang menambah, “Binasalah kabilah Daus!”

فَقَالَ: اللهُمَّ اهْدِ دَوْسًا وَائْتِ بِهِمْ.

Namun Rasulullah berdoa, “Ya Allah, hidayahilah kabilah Daus dan datangkanlah mereka (kepadaku)”. [Shahih Muslim, no: 4586/2524][3]

Mendoakan hidayah kepada orang kafir termasuk dalam tuntutan ayat berikut,

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ.

Serulah ke jalan Tuhanmu (Islam) dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang suka berbahas) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhan-mu Dia-lah yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalan-Nya dan Dia-lah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk. [al-Nahl 16:125]

Atas nota ini, apabila orang kafir mendoakan selamat kepada hari atau acara orang Islam, maka balaslah dengan mendoakan hidayah kepada mereka. Contohnya jika Muthu mengucapkan “Selamat Hari Raya Aidil Fitri” maka balaslah dengan doa “Terima kasih, moga Allah memberi hidayah kepada Muthu.” Jangan pula membalas “Selamat Hari Deepavali” pada hari perayaan Muthu kerana ia tidak dibolehkan, sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.

Mendoakan hidayah merupakan ucap balas lebih baik yang disuruh oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagaimana firman-Nya,

وَإِذَا حُيِّيتُمْ بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا.

Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. [al-Nisa’ 4:86]

Adapun firman Allah, “…atau balaslah dia (dengan yang sama)…” maka ia tidak bererti memberi ucap balas yang sama kepada hari atau acara keagamaan orang kafir kerana ia tidak dibolehkan. Jika ia digunakan untuk ucap balas dalam urusan selain agama, maka ia dibolehkan. Ini  sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.

 

Notakaki:

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata, “Hadis ini hasan sahih.” Ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 2663/2739 (Kitab al-Adab ‘an Rasulullah, Bab bagaimana etika bersin). Ia juga dikeluarkan oleh Ahmad dalam Musnadnya dan sanadnya dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakannya dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad, hadis no.: 19586.

[2] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata, “Hadis ini hasan sahih.” Ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 2663/2739 (Kitab al-Adab ‘an Rasulullah, Bab bagaimana etika bersin). Ia juga dikeluarkan oleh Ahmad dalam Musnadnya dan sanadnya dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakannya dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad, hadis no.: 19586.

[3] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 4586/2524 (Kitab Fadha’il al-Shohabah, Bab keutamaan Ghifar, Aslam, Juhainah, Asyja’, Muzainah, Tamim, Daus dan Thiyyi’).