Soalan: Bolehkah Bertawassul Dengan Rasulullah?

Jawapan:

Soalan ini memerlukan perincian. Jika yang dimaksudkan adalah bertawassul dengan diri Rasulullah, yakni meminta Rasulullah mendoakan anda, maka ia tidak boleh kerana baginda sudah wafat. Jika yang dimaksudkan adalah bertawassul dengan kemuliaan Rasulullah, maka para ilmuan Islam berbeza pendapat sama ada ia dibolehkan atau tidak.

Sebelum itu ingin diterangkan bahawa bertawassul ialah menjadikan seseorang atau sesuatu sebagai perantara dalam berdoa. Memandangkan doa adalah satu ibadah, tidak boleh sesuka hati bertawassul dalam berdoa melainkan berdasarkan dalil al-Qur’an dan/atau al-Sunnah yang sahih. Tetap melakukan tawassul tanpa dalil al-Qur’an dan/atau al-Sunnah bererti melakukan bid’ah yang dilarang oleh Islam.

al-Qur’an dan al-Sunnah telah menetapkan bahawa bertawassul dalam berdoa adalah dengan (1) nama-nama Allah, (2) amal-amal soleh yang disyari’atkan atau (3) doa orang yang soleh. Tidak ada perbezaan pendapat di kalangan ilmu Islam tentang tiga bentuk tawassul ini.

Kembali kepada persoalan bertawassul dengan kemuliaan Rasulullah, para ilmuan berbeza pendapat meskipun merujuk kepada satu dalil yang sama, iaitu hadis daripada ‘Utsman bin Hunaif radhiallahu 'anh. Hadis ini masyhur disebut sebagai “Hadis Orang Buta”. ‘Utsman bin Hunaif menceritakan,

أَنَّ رَجُلًا ضَرِيرَ الْبَصَرِ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: ادْعُ اللَّهَ أَنْ يُعَافِيَنِي.

Bahawa seorang lelaki yang buta matanya datang kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam seraya berkata, “Berdoalah kepada Allah agar aku disembuhkan.”

قَالَ: إِنْ شِئْتَ دَعَوْتُ وَإِنْ شِئْتَ صَبَرْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ.

Baginda bersabda, “Jika kamu mahu, aku akan mendoakanmu. Namun jika kamu mahu, bersabarlah kerana itu lebih baik bagimu.”

قَالَ: فَادْعُهْ.

Lelaki tersebut berkata: “Doakanlah.”

قَالَ: فَأَمَرَهُ أَنْ يَتَوَضَّأَ فَيُحْسِنَ وُضُوءَهُ وَيَدْعُوَ بِهَذَا الدُّعَاءِ:

‘Utsman bin Hunaif berkata, maka baginda menyuruh lelaki itu berwudhu’ dan membaguskan wudhu’nya (serta solat dua rakaat) lalu berdoa dengan doa berikut ini,

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ وَأَتَوَجَّهُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّكَ مُحَمَّدٍ نَبِيِّ الرَّحْمَةِ إِنِّي تَوَجَّهْتُ بِكَ إِلَى رَبِّي فِي حَاجَتِي هَذِهِ لِتُقْضَى لِيَ اللَّهُمَّ فَشَفِّعْهُ فِيَّ.

 “Ya Allah, aku meminta kepada-Mu dan aku menghadap kepada-Mu dengan Nabi-Mu Muhammad, Nabi yang Rahmat. Sesungguhnya aku menghadap denganmu kepada Tuhanku dalam hajatku ini supaya ditunaikan untukku. Ya Allah, terimalah syafaat baginda kepadaku.”[1]

Dalam riwayat lain, ‘Utsman bin Hunaif menceritakan di akhirnya, Demi Allah! Tidaklah kami berpisah dan berbicara lama sampai dia datang semula kepada kami dalam keadaan seolah-olah dia tidak pernah buta sebelumnya.[2]

Hadis ini adalah sahih, namun ia membuahkan dua pendapat di kalangan para ilmuan.

 

Pendapat Pertama, Tidak boleh bertawassul dengan kemuliaan Rasulullah. Sebabnya, hadis ‘Orang Buta” hanya menunjukkan seorang buta yang meminta Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mendoakannya. Maka ia masuk dalam kategori tawassul dengan doa orang soleh.

Ia tidak menunjukkan tawassul dengan kemuliaan Rasulullah kerana yang berdoa bukanlah orang buta tetapi Rasulullah sendiri. Jika orang buta itu ingin bertawassul dengan kemuliaan Rasulullah, beliau boleh melakukannya di rumah, tanpa perlu bersemuka. Namun beliau pergi bersemuka dan meminta baginda mendoakannya. Perhatikan rangkap-rangkap berikut,

  • Permintaan orang buta, “Berdoalah kepada Allah agar aku disembuhkan.”
  • Jawapan Rasulullah, “Jika kamu mahu, aku akan mendoakanmu…”
  • Jawapan balas orang buta, “Doakanlah.”

Sejak awal orang buta telah meminta Rasulullah mendoakan dia dan Rasulullah menjawab bahawa baginda akan mendoakan beliau. Maka hadis “Orang Buta” menjadi dalil bertawassul dengan doa orang soleh – yakni doa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Apabila Rasulullah telah wafat, tidak boleh lagi meminta baginda untuk berdoa. Maka hadis “Orang Buta” tidak lagi diamalkan selepas kewafatan Rasulullah.

Antara bukti bahawa para sahabat tidak mengamalkan hadis “Orang Buta” selepas kewafatan Rasulullah adalah apabila berlaku kemarau pada zaman pemerintahan ‘Umar bin al-Khaththab radhiallahu 'anh. Anas bin Malik radhiallahu 'anh menceritakan,

أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ كَانَ إِذَا قَحَطُوا اسْتَسْقَى بِالْعَبَّاسِ بْنِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ فَقَالَ:

Bahawa ‘Umar bin al-Khaththab radhiallahu 'anh apabila berlaku musim kemarau, lazimnya akan meminta hujan dengan (bertawassul kepada) al-‘Abbas bin ‘Abdul Muthalib (pakcik Rasulullah). ‘Umar berkata,

اللَّهُمَّ إِنَّا كُنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّنَا فَتَسْقِينَا وَإِنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِعَمِّ نَبِيِّنَا فَاسْقِنَا.

 “Ya Allah, sesungguhnya kami (dahulunya) lazim bertawassul kepada Engkau dengan Nabi kami, lalu Engkau menurunkan hujan ke atas kami. Dan sesungguhnya kami (kini) bertawassul kepada Engkau dengan pakcik Nabi kami, maka turunkanlah hujan ke atas kami.”

قَالَ: فَيُسْقَوْنَ.

Anas bin Malik berkata, “Maka turunlah hujan ke atas mereka.”[3]

Berdasarkan hadis ini, seandainya dibolehkan berdoa dengan bertawassul kepada kemuliaan Rasulullah, tentu ‘Umar bin al-Khaththab akan melakukannya. Ini kerana tentu sahaja Rasulullah adalah lebih mulia berbanding pakciknya al-‘Abbas. Namun ‘Umar tidak melakukannya, menunjukkan ia bukanlah sesuatu yang dibolehkan selepas kewafatan Rasulullah.

Selain itu, tujuan bertawassul dalam berdoa ialah supaya tawassul tersebut dapat membawa manfaat kepada doa. Adapun kemuliaan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, maka ia adalah manfaat bagi diri baginda sendiri. Ia tidak memberi pengaruh kepada orang yang berdoa.

 

Pendapat Kedua, Boleh bertawassul dengan kemuliaan Rasulullah. Pengajaran dan hukum yang diambil daripada hadis “Orang Buta” bukanlah pada siapa yang berdoa, tetapi pada lafaz doa yang dibacakan. Jika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang membacanya, maka ia menjadi contoh dan boleh diamalkan oleh umatnya. Ini sebagaimana doa-doa lain yang dibaca oleh baginda.

Jika Rasulullah mengajar orang buta dan akhirnya orang buta itu yang membacanya, maka ia menjadi contoh dan boleh diamalkan oleh umatnya. Ini sebagaimana doa-doa lain yang diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Orang buta itu tidak membaca doa ini di rumahnya kerana bagi menyusun lafaz doa yang betul beliau perlu mendapat tunjuk ajar Rasulullah terlebih dahulu.

Jika disemak lafaz doa hadis “Orang Buta”, maka ia merupakan tawassul dengan kemuliaan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Perhatikan tambahan dalam kurungan:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ وَأَتَوَجَّهُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّكَ مُحَمَّدٍ نَبِيِّ الرَّحْمَةِ إِنِّي تَوَجَّهْتُ بِكَ إِلَى رَبِّي فِي حَاجَتِي هَذِهِ لِتُقْضَى لِيَ اللَّهُمَّ فَشَفِّعْهُ فِيَّ.

“Ya Allah, aku meminta kepada-Mu dan aku menghadap kepada-Mu dengan (kemuliaan) Nabi-Mu Muhammad, Nabi yang Rahmat. Sesungguhnya aku menghadap dengan (kemuliaan)mu kepada Tuhanku dalam hajatku ini (sebut hajat tersebut) supaya ditunaikan untukku. Ya Allah, terimalah syafaat baginda kepadaku.”

Adapun persoalan bagaimana bertawassul dengan kemuliaan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dapat memberi manfaat kepada doa, maka ia diserahkan kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ini kerana ia melibatkan urusan aqidah dan bukanlah sikap kita untuk berfikir logik di sebaliknya. Asalkan ia berasal daripada dalil yang sahih, maka sikap kita terhadapnya hanyalah “Kami dengar, taat dan amalkan”.

Doa daripada hadis “Orang Buta” boleh diamalkan selepas kewafatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kerana kemuliaan baginda tetap kekal meskipun sesudah baginda wafat. ‘Utsman bin Hunaif menceritakan bahawa pada zaman pemerintahan ‘Utsman ibn ‘Affan radhiallahu 'anh, ada seorang lelaki yang memiliki hajat datang berjumpa dengannya, lalu dia mengajar lelaki itu doa tersebut. Akhirnya Allah Subhanahu wa Ta'ala menyampaikan hajat lelaki itu.[4]

Adapun perbuatan ‘Umar bin al-Khaththab yang tidak bertawassul dengan kemuliaan Rasulullah ketika berlaku kemarau pada zamannya, ia bukanlah hujah yang kuat. Ini kerana apabila seseorang itu ingin bertawassul dalam doanya, dia bebas memilih dengan apa atau siapa dia bertawassul. Asalkan pilihannya itu memiliki dalil daripada al-Qur’an dan/atau al-Sunnah.

 

Demikian dalil dan hujah bagi Pendapat Pertama dan Pendapat Kedua. Para pembaca boleh mengkaji dan menganalisa, kemudian memilih pendapat yang dicenderungi. Ini selari dengan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala,

فَبَشِّرْ عِبَادِ. الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ أُولَئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ وَأُولَئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ.

Berilah berita gembira kepada hamba-hamba-Ku, iaitu orang-orang yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan mengikuti yang sebaik-baiknya; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal. [al-Zumar 39:17-18]

Selain itu hendaklah diketahui bahawa para ilmuan Islam sejak dari dahulu hingga kini berbeza pendapat dalam persoalan “Bolehkah bertawassul dengan kemuliaan Rasulullah, baik ketika hidup atau sesudah meninggal dunia?” Oleh itu sesiapa yang mencenderungi salah satu daripada pendapat di atas hendaklah menghormati orang yang mencenderungi pendapat yang berbeza dengannya. Demikianlah juga sebaliknya.

Penulis mencenderungi pendapat berdoa terus kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala tanpa bertawassul dengan kemuliaan Rasulullah. Ia merupakan pilihan yang lebih selamat dan lebih baik kerana hampir semua doa-doa yang terdapat dalam al-Qur’an dan al-Sunnah adalah secara terus kepada Allah. Jika ingin bertawassul, maka bertawassullah dengan apa yang disepakati, yakni dengan nama-nama Allah, amal soleh atau meminta didoakan oleh orang soleh yang masih hidup.

 

Notakaki

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata: “Hadis ini hasan sahih gharib.” Ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: hadis no: 3502/3578 (Kitab al-Da’awat, Bab doa kepada tetamu). Ia juga dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth dan ‘Abd al-Latheif Harzallah dalam al-Jami’ al-Kabir (nama lain bagi Sunan al-Tirmizi), hadis no.: 3895. Tambahan dalam kurungan (serta solat dua rakaat) adalah riwayat al-Thabarani, rujukannya dalam notakaki seterusnya.

[2] Sahih: Sebahagian daripada sebuah hadis panjang yang dikeluarkan oleh al-Thabarani dalam Mu’jam al-Shogheir, hadis no: 509 (Kitab orang yang namanya Thahir, Bab datang ke tempat wudhu, lalu berwudhu’, kemudian solat dua rakaat…) dan beliau mensahihkannya.

Namun al-Albani berpendapat hadis ini adalah dha’if, rujuk penjelasan beliau dalam al-Tawassul: Anau’uhu wa Ahkamuhu (disusun oleh Muhammad ‘Id al-Abbasi, Maktabah Syamilah), ms. 85-88.

Saya lebih cenderung kepada penilaian al-Thabarani rahimahullah kerana beliau amat jarang menyatakan darjat hadis-hadis yang dikeluarkannya. Sehingga apabila beliau menilainya sahih, ia memang benar-benar sahih di sisi beliau.

[3] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 954/1010 (Kitab al-Jumu’ah, Bab orang ramai meminta imam mendoakan hujan pada musim kemarau).

[4] Sahih: Ringkasan daripada sebuah hadis panjang yang dikeluarkan oleh al-Thabarani dalam Mu’jam al-Shogheir, hadis no: 509 (Kitab orang yang namanya Thahir, Bab datang ke tempat wudhu, lalu berwudhu’, kemudian solat dua rakaat…) dan beliau mensahihkannya.

Namun al-Albani berpendapat hadis ini adalah dha’if, rujuk penjelasan beliau dalam al-Tawassul: Anau’uhu wa Ahkamuhu, ms. 85-88.

Saya lebih cenderung kepada penilaian al-Thabarani rahimahullah kerana beliau amat jarang menyatakan darjat hadis-hadis yang dikeluarkannya. Sehingga apabila beliau menilainya sahih, ia memang benar-benar sahih di sisi beliau.