Soalan: Apakah Adab Paling Utama Ketika Berdoa?

Jawapan:

Adab paling utama ketika berdoa ialah bersangka baik kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, meyakini kedekatan-Nya mendengar dan mengetahui apa yang kita doakan, meyakini janji-Nya memakbulkan dan menerima pemakbulan doa itu dalam apa jua bentuk mengikuti kehendak dan hikmah-Nya.

Tentang bersangka baik kepada Allah, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman,

أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي وَأَنَا مَعَهُ إِذَا ذَكَرَنِي فَإِنْ ذَكَرَنِي فِي نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ فِي نَفْسِي وَإِنْ ذَكَرَنِي فِي مَلَإٍ ذَكَرْتُهُ فِي مَلَإٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ.

Aku berdasarkan sangkaan hamba-Ku kepada-Ku dan Aku bersamanya apabila dia mengingati Aku. Maka jika dia mengingati-Ku dalam dirinya, Aku mengingatinya dalam diri-Ku. Jika dia mengingati-Ku di kalangan orang ramai, Aku mengingatinya di kalangan yang lebih baik daripada mereka (yakni para malaikat).

وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ بِشِبْرٍ تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ ذِرَاعًا وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ ذِرَاعًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ بَاعًا وَإِنْ أَتَانِي يَمْشِي أَتَيْتُهُ هَرْوَلَةً.

Jika dia mendekati Aku dengan sejengkal, Aku mendekatinya sehasta. Jika dia mendekati Aku sehasta, Aku mendekatinya sedepa. Jika dia mendatangi Aku dengan berjalan, Aku mendatanginya dengan berlari-lari kecil.[1]

Maka orang yang berdoa hendaklah bersangka baik bahawa Allah mendengar doanya, memberi perhatian kepada masalahnya dan akan memberikan (mengabulkan) apa yang terbaik untuknya. Bahkan berdasarkan hadis di atas, hendaklah lebih kerap dan bersungguh-sungguh berdoa kepada Allah. Janganlah dia berdoa dengan “separuh hati” atau atas sangkaan Allah tidak mempedulikan doanya. Tegur Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam,

لَا يَقُلْ أَحَدُكُمْ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي إِنْ شِئْتَ ارْحَمْنِي إِنْ شِئْتَ ارْزُقْنِي إِنْ شِئْتَ وَليَعْزِمْ مَسْأَلَتَهُ إِنَّهُ يَفْعَلُ مَا يَشَاءُ لَا مُكْرِهُ لَهُ.

Janganlah salah seorang kalian berdoa dengan berkata, “Ya Allah, ampunilah aku jika Engkau mahu, rahmatilah aku jika Engkau mahu, rezekikanlah aku jika Engkau mahu”, sebaliknya hendaklah dia bersungguh-sungguh meminta doanya. Sesungguhnya Allah melakukan apa yang Dia kehendaki, tidak ada paksaan bagi-Nya.[2]

Tentang kedekatan Allah kepada para hamba-Nya yang berdoa dan janji-Nya memakbulkan doa, Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman,

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ.

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): “Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa dekat (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.” [al-Baqarah 2:186]

Maksud kedekatan Allah dalam ayat di atas ialah Allah mendengar apa yang didoa oleh hamba-Nya dan mengetahui masalah, cabaran serta kehendak hamba-Nya yang berdoa itu. Tentang keyakinan Allah akan memakbulkan doa, disebut dalam sebuah riwayat,

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ.

Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kalian meyakini ia akan dikabulkan. Ketahuilah bahawa Allah tidak akan mengabulkan doa daripada hati yang lupa lagi lalai (daripada keyakinan tersebut).[3]

Allah berjanji akan memakbulkan doa para hamba-Nya, namun pemakbulan itu adalah berdasar kehendak dan hikmah-Nya. Ini kerana Allah Subhanahu wa Ta'ala mengetahui apa yang terbaik bagi hamba-hamba-Nya. Justeru boleh jadi Allah memakbulkan doa itu di dunia, menangguhkannya ke Akhirat atau menjauhkan daripada pendoa keburukan yang semisal doanya. Tentang hal ini, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjelaskan,

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ إِلَّا أَعْطَاهُ اللهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ:

إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا. قَالُوا: إِذًا نُكْثِرُ! قَالَ: اللهُ أَكْثَرُ.

Tidaklah seorang muslim berdoa dengan satu doa yang dalamnya tidak terkandung permintaan yang berdosa mahupun yang memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu daripada tiga hal, sama ada disegerakan baginya pemakbulan doanya (di dunia), atau ditangguhkan (pemakbulan doanya sehingga ke) Hari Akhirat atau dijauhkan daripadanya keburukan (mudarat, bencana atau musibah) yang semisal doanya.

Para sahabat berkata, “Jika begitu kami akan memperbanyakkan doa!”

Rasulullah menjawab, “(Teruskan kerana) Allah lebih banyak pemberian-Nya.”[4]

Tentang memakbulkan di dunia, Allah boleh memakbulkannya serta merta dengan hanya berfirman “Jadilah!”, maka akan menjadilah apa yang didoakan oleh hamba-Nya. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman,

إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَنْ يَقُولَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ.

Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia mengkehendaki sesuatu, Dia hanyalah berkata “Jadilah!”, maka terjadilah ia. [Yasin 36:82]

Namun ada kalanya Allah menangguhkan pemakbulan doa tersebut hingga ke satu masa tertentu di dunia, sesuai dengan kehendak dan hikmah-Nya. Perhatikan bagaimana Nabi Ya’kub ‘alaihis salam berdoa meminta pertolongan Allah mengembalikan anaknya Yusuf yang hilang ketika umur kecil. Allah hanya memakbulkan doanya dengan mengembalikan Yusuf ketika sudah berumur dewasa. Ini tentu satu penangguhan yang lama. Kisah ini boleh dibaca dalam al-Qur’an, dalam suruh Yusuf.

Termasuk dalam keyakinan kepada Allah, adalah bahawa di sisi Allah jualah segala khazanah, baik ia merupakan kekayaan, kesihatan, kebahagiaan dan apa jua yang diingini oleh manusia. Namun Allah menurunkannya dan memberikannya kepada para hamba-Nya mengikut kadar ukuran tertentu, sesuai dengan keadaan setiap hamba. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala,

وَإِنْ مِنْ شَيْءٍ إِلَّا عِنْدَنَا خَزَائِنُهُ وَمَا نُنَزِّلُهُ إِلَّا بِقَدَرٍ مَعْلُومٍ.

Dan tidak ada sesuatupun melainkan pada sisi Kami khazanahnya dan Kami tidak menurunkannya melainkan dengan kadar dan masa yang tertentu. [Hijir 15:21]

Termasuk dalam keyakinan kepada Allah, adalah meyakini apa jua bentuk pemakbulan doa oleh Allah, semuanya adalah baik bagi pendoa. Ini kerana seseorang itu mungkin berdoa meminta apa yang disangka baik baginya, namun Allah mengetahui ia tidak baik baginya pada saat itu atau hanya menjadi baik baginya pada hari kemudian ataupun tidak baik langsung sepanjang kehidupannya di dunia lalu ditangguhkan ke Akhirat atau digantikan dengan menjauhkan daripadanya keburukan yang semisal doanya. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman,

وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ.

Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahuinya. [al-Baqarah 2:216]

Atas sebab inilah, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melarang daripada terburu-buru mengharapkan doa dimakbulkan. Sebaliknya hendaklah terus berdoa dengan keyakinan bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala akan memakbulkan doa itu jika sudah sampai masanya yang sesuai. Sabda baginda,

يُسْتَجَابُ لأَحَدِكُمْ مَا لَمْ يَعْجَلْ فَيَقُولُ: قَدْ دَعَوْتُ فَلاَ أَوْ فَلَمْ يُسْتَجَبْ لِي.

Pasti dikabulkan doa seseorang daripada kalian selagi mana dia tidak terburu-buru lalu merungut: “Sungguh aku telah berdoa namun belum dikabulkan bagiku.”[5]

Pada ketika yang lain baginda menegur,

لَا يَزَالُ يُسْتَجَابُ لِلْعَبْدِ مَا لَمْ يَدْعُ بِإِثْمٍ أَوْ قَطِيعَةِ رَحِمٍ مَا لَمْ يَسْتَعْجِلْ.

Doa seorang hamba akan berterusan dimakbulkan (oleh Allah) selagi mana dia tidak berdoa dengan sesuatu yang berdosa atau memutuskan silaturahim dan selagi mana dia tidak terburu-buru.

قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الِاسْتِعْجَالُ؟

Ditanya, “Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan terburu-buru?”

قَالَ: يَقُولُ قَدْ دَعَوْتُ وَقَدْ دَعَوْتُ فَلَمْ أَرَ يَسْتَجِيبُ لِي. فَيَسْتَحْسِرُ عِنْدَ ذَلِكَ وَيَدَعُ الدُّعَاءَ.

Baginda menjawab, “Apabila orang yang berdoa itu merungut ‘Sungguh aku sudah berdoa! Sungguh aku sudah berdoa! Tetapi masih belum dikabulkan bagiku!’ Maka dia berputus asa serta berasa rugi daripada berdoa dan akhirnya tidak berdoa lagi.”[6]

 

 

Notakaki:

[1]              Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 6856/7405 (Kitab al-Tauhid, Bab firman Allah, “Dan Allah peringatkan kamu terhadap diri-Nya”).

[2]              Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 6923/7477 (Kitab al-Tauhid, Bab kehendak dan keinginan).

[3]              -----: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan beliau berkata, “Hadis ini gharib.” Ia dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 3401/3479 (Kitab al-Da’awat ‘an Rasulullah, Bab tentang himpunan doa-doa daripada Nabi).

                Syu’aib al-Arna’uth dan ‘Abd al-Latheif Harzallah menerangkan bahawa sanad hadis ini adalah dha’if jiddan. Bagi hadis ini ada jalan periwayatan yang lain, namun ia dha’if juga. Rujuk keterangan mereka dalam al-Jami’ al-Kabir (nama lain bagi Sunan al-Tirmizi), hadis no.: 3785.

[4]              Hasan: Dikeluarkan oleh Ahmad dalam Musnadnya dan sanadnya dinilai jayyid (baik) oleh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakannya dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad, hadis no.: 11133. Dikemukakan oleh Musthafa bin al-Adawi dalam bukunya Fiqh al-Doa (edisi terjemahan oleh Hisyam Ubaidillah dan Fachrijal Umar atas judul Fikih Doa; Darus Sunnah Press, Jakarta, 2015), ms. 150 dan beliau menilai sanadnya sebagai hasan.

[5]              Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 4916/2735 (Kitab al-Zikr wa al-Du’a wa al-Taubah wa al-Istighfar, Bab menjelaskan bahawa dikabulkan doa bagi orang yang tidak terburu-buru).

[6]        Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 4918/2735 (Kitab al-Zikr wa al-Du’a wa al-Taubah wa al-Istighfar Bab menjelaskan bahawa dikabulkan doa bagi orang yang tidak terburu-buru).