| Jan 2009: 3 Petua Mujarab al-Qur'an |
|
|
|
| Ditulis oleh Kapten Hafiz Firdaus Abdullah | ||||
| Wednesday, 14 January 2009 | ||||
|
Bagi sebahagian orang, perkara yang membuatkan Islam menjadi menarik ialah kewujudan sekian-sekian petua untuk pelbagai tujuan dan manfaat. Ada petua melariskan jualan kedai, ada petua lulus peperiksaan, ada petua menambat kekasih, ada petua mencantikkan wajah dan pelbagai lagi. Akan tetapi di sebalik petua-petua itu, tidak tersembunyi bahawa kedai runcit Ah Cong lebih laris jualannya, Rajeswari mendapat keputusan paling cemerlang dalam peperiksaan sekolahnya, pasangan Mat Salleh berumur lebih lapan puluh tahun kelihatan begitu romantik melawat Tasik Kenyir dan gadis yang muncul dari pendalaman hutan Sarawak kelihatan paling anggun di antara semua. Mereka semua ini tidak pernah mengamalkan apa-apa petua yang ditiup-tiupkan oleh tokoh-tokoh agamawan mereka. Mungkin terasa sinis, tetapi merupakan satu arus mutakhir bahawa petua-petua semakin mengambil tempat ilmu, iman dan taqwa dalam hati umat Islam. Al-Qur’an tidak lagi dijadikan kitab panduan hidup tetapi kitab mencari petua menjayakan hidup. Tidak berlebihan jika dikatakan, kebanyakan petua yang diwar-warkan, yang dicuba-cubakan, tidak membawa hasil yang diinginkan. Akhirnya pengamal petua mula ragu terhadap “kepetuaan” al-Qur’an sehingga mula menyisihkan kitab suci itu ke tepi. Sebenarnya terdapat petua untuk menjadikan al-Qur’an sebagai petua. Kesilapan tidak terletak pada al-Qur’an tetapi terletak pada orang yang menjadikan al-Qur’an sebagai petua. Ada pilihan, langkah dan tertib yang tidak betul. Justeru pada peluang ini saya ingin berkongsi dengan para pembaca sekalian tiga petua mujarab al-Qur’an. Bersedia? Ayuh kita mulakan.
Petua Pertama: Keseluruhan al-Qur’an adalah petua yang mujarab. Di kalangan semua manusia, hanya seorang yang berhak melakukan sedemikian, iaitu Rasulullah s.a.w.. Hanya baginda yang berhak mengkhususkan beberapa ayat tertentu untuk tujuan tertentu, seperti Ayat al-Kursi (ayat 255 surah al-Baqarah) untuk pemeliharaan daripada gangguan syaitan. Ini kerana pengkhususan yang dilakukan oleh baginda tidak lain bersumber dari wahyu Allah jua.
Petua Kedua: Kemujaraban al-Qur’an terletak pada ajarannya. Sebagai contoh, ramai yang menjadikan ayat 31 surah ‘Ali Imran sebagai petua menambat kasih sayang di antara suami isteri. Ayat yang dimaksudkan adalah: Katakanlah: “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Pengajaran sebenar ayat di atas adalah, jika kita mengasihi Allah hendaklah kita menterjemahkannya kepada mengikuti sunnah Rasulullah. Ini kerana perkataan “daku” merujuk kepada Rasulullah. Oleh itu jika hendak menjaga kasih sayang di antara suami isteri, hendaklah dicontohi sunnah Rasulullah dalam kehidupan berumahtangga. Tidak ada manfaat jika pasangan suami isteri saling tiup meniup ayat di atas padahal masing-masing tidak melaksanakan kewajipan terhadap pasangannya dalam kehidupan berumahtangga.
Petua Ketiga: Jangan Melakukan Apa Yang Bertentangan Dengan al-Qur’an. Demikianlah tiga petua mujarab al-Qur’an yang saya maksud. Ia bukanlah ayat tertentu yang dibaca dan ditiup dengan kaedah tertentu. Rasanya tak perlu saya ingatkan para pembaca sekalian bahawa umat Islam yang mencapai kegemilangan dalam sejarah Islam tidak pernah memiliki petua-petua tertentu dari sekian-sekian tokoh dan agamawan. Sebaliknya mereka menjadikan keseluruhan al-Qur’an sebagai petua dengan cara mempraktikkan ajarannya serta menjauhi apa yang bertentangan dengan ajaran tersebut. Tidak pernah tercatit dalam kitab-kitab sejarah Islam bahawa apabila umat Islam menghadapi musuh, mereka meniup-niup ke arah musuh itu. Sebaliknya mereka mengangkat pedang dan segera menghadapi musuh. Apabila umat Islam menjadi peniaga, mereka tidak memaparkan Ayat Seribu Dinar di kedai mereka. Sebaliknya mereka memaparkan akhlak yang jujur lagi mulia dalam berinteraksi dengan pengunjung kedai. Apabila umat Islam menghadapi sesuatu cabaran, mereka tidak mencari petua untuk melepasinya. Sebaliknya mereka mencari ilmu yang dapat mengatasi cabaran itu. Add as favourites (85) | Quote this article on your site | Views: 4419
Only registered users can write comments. Powered by AkoComment Tweaked Special Edition v.1.4.6 |
||||
| < Prev | Seterusnya > |
|---|
