solat_shadow1.jpg

          Sempena bulan Ramadhan, sesuatu yang tidak dapat diasingkan ialah solat Terawih. Justeru sempena mukasurat terakhir Majalah i yang dicintai ramai ini, saya ingin berkongsi beberapa fasa solat Terawih yang pernah saya lalui sejak dari awal. Jangan terperanjat dengan kewujudan fasa-fasa ini, ia adalah sesuatu yang lumrah bagi para pencinta ilmu. Saya percaya saya tidak berseorangan dalam melalui fasa sebegini.

          Fasa pertama ialah apabila saya berada di bangku sekolah. Ketika itu penghayatan agama adalah biasa-biasa dengan fokus diberikan ke atas amalan yang wajib. Solat Terawih saya laksanakan sekadar yang boleh. Jika tidak keletihan atau tiada kerja sekolah (homework), saya pergi ke masjid untuk bersolat Terawih. Dalam fasa ini saya teringat kepada seorang rakan sekelas yang tidak pernah solat fardhu, bahkan kerap mengunjungi disco pada malam Sabtu. Anehnya pada bulan Ramadhan dia tidak pernah meninggalkan solat Terawih berjamaah di masjid.

          “Engkau tak tahu ke Hafiz? Bagi setiap malam Ramadhan ada fadilat yang amat besar bagi sesiapa yang melaksanakan solat Terawih berjamaah. Antaranya, semua dosa aku sepanjang tahun dihapuskan apabila aku solat Terawih berjamaah tiap-tiap malam.” jelas beliau penuh keyakinan.

          Saya tahu beliau merujuk kepada sebuah hadis yang menerangkan fadilat solat Terawih pada malam-malam tertentu, setiap malam dalam bulan Ramadhan. Fadilatnya sebegitu besar, mengalahi amal ibadah para Nabi. Namun entah kenapa, saya ketika itu tidak meyakini hadis tersebut. Pada kemudian hari saya mendapat tahu ia adalah sebuah hadis yang tidak diketahui asal usulnya, termasuk dalam kategori hadis maudhu’.

          Sesudah beberapa tahun saya bekerja sebagai juruterbang, saya memasuki fasa kedua. Alhamdulillah, minat terhadap agama semakin bertambah menyebabkan saya bersemangat untuk melaksanakan amalan-amalan agama, termasuklah solat Terawih. Saya berusaha sekuat mampu untuk tidak ketinggalan solat Terawih berjamaah di masjid sehingga ke hujung bulan.

          Kemuncak yang saya nanti-nantikan ialah bacaan zikir, selawat dan doa di antara solat Terawih. Beberapa hari sebelum masuk bulan Ramadhan saya akan mengulangkaji bacaan-bacaan itu. Ketika melaksanakan solat Terawih, membacanya secara kuat dan serentak sesama jamaah melahirkan semangat yang tinggi di dalam diri saya. Setiap selesai dua rakaat, ia memberi caj tenaga agar saya terus melaksanakan solat Terawih agar dapat berzikir lagi sesudah itu.

          Kemudian saya memasuki fasa ketiga. Jika fasa kedua ialah agama berdasarkan semangat dan ikutan sunnah masyarakat, maka fasa ketiga ialah agama berdasarkan ilmu dan ikutan sunnah Rasulullah s.a.w.. Dalam fasa ini saya menjauhkan diri dari melaksanakan solat Terawih berjamaah di masjid atau surau. Banyak sebabnya, dimulai dengan imam yang membaca secara pantas tanpa tartil dan tajwid yang betul, solat tanpa thama’ninah sehinggalah pergerakan antara rukun solat umpama patukan burung gagak (Shahih al-Targhib wa al-Tarhib, no: 523).

          Kemudian diikuti dengan makmum yang tidak menepati sunnah-sunnah saf solat berjamaah. Paling lazim ialah menjarakkan saf padahal sunnah yang benar ialah merapatkan saf. Jika saya ingin merapatkan saf, orang yang enggan akan cuba menjarakkannya dengan cara membesarkan bukaan antara dua kakinya. Amat besar hingga saya tertanya-tanya sama ada dia menghadapi masalah alat kelamin yang bengkak.

          Tidak ketinggalan ialah bacaan zikir, selawat dan doa antara solat Terawih. Apa yang saya anggap baik pada awalnya sebenarnya buruk di sisi agama. Apa yang saya anggap memberi caj tenaga sebenarnya hanyalah nafsu yang mengikut arus sunnah masyarakat. Berdasarkan kajian dan ilmu, saya mendapati amalan zikir, selawat dan doa di antara solat Terawih tidak berasal daripada sunnah Rasulullah s.a.w., sunnah generasi awal umat Islam dan tidak juga dianjurkan oleh para imam mazhab. Memuji Allah dan berselawat ke atas Rasulullah memang dianjurkan oleh agama, tetapi melaksanakannnya di antara solat Terawih, melaung-laungkannya dan mencipta kalimah-kalimah tersendiri adalah bid’ah yang dilarang oleh agama. Akan tetapi apabila saya membuat penerbangan ke luar negara, saya akan cuba sekuat mampu untuk melaksanakan solat Terawih secara berjamaah bersama masyarakat tempatan. Ini kerana pelaksanaan solat Terawih di sana, sekalipun di kalangan mereka yang baru memeluk Islam, amat menghampiri sunnah Rasulullah s.a.w.

          Imam mementingkan kualiti di atas kuantiti, makmum saling menarik dan melurus agar saf sentiasa rapat dan lurus sementara waktu di antara solat Terawih digunakan untuk berehat seketika. Manakan tidak, bukankah perkataan “Terawih” itu sendiri bererti rehat seketika di antara solat pada malam Ramadhan? Alhamdulillah, sejak beberapa tahun yang lepas, semakin ramai umat Islam Malaysia yang menginginkan sunnah Rasulullah di atas sunnah masyarakat. Pelaksanaan solat Terawih berdasarkan sunnah semakin berkembang sama ada di masjid, surau atau lokasi pilihan sendiri seperti rumah atau pejabat.

          Saya berharap saya akan memasuki fasa keempat, iaitu ke mana saja masjid atau surau yang saya pergi di Malaysia, solat Terawih dilaksanakan berdasarkan sunnah Rasulullah s.a.w. Semoga saya dapat berkongsi fasa keempat ini di mukasurat terakhir Majalah i dalam masa terdekat, insyaAllah.