“Buruk Siku!” Demikian gelaran yang diberi kepada orang yang meminta kembali apa yang sudah dia berikan. Dalam hukum Islam, orang sebegini tidak cukup dengan gelaran “Buruk Siku”, tetapi dianggap melakukan sesuatu yang dilarang. Rasulullah s.a.w. menegaskan: “Tidak dihalalkan bagi seseorang memberikan satu pemberian kemudian memintanya balik…” Berdasarkan hadis ini, tidak dihalalkan, yakni tidak dibolehkan bagi seseorang itu meminta balik apa yang telah dia berikan kepada orang lain. sunset_father_with_children.jpg

Larangan ini berlaku untuk semua orang kecuali satu. Hanya satu orang yang dibenarkan oleh Islam untuk meminta balik apa yang telah dia berikan. Orang itu ialah ayah kita sendiri. Hadis di atas selengkapnya berbunyi: “Tidak dihalalkan bagi seseorang memberikan satu pemberian kemudian memintanya balik kecuali seorang ayah terhadap apa yang diberikannya kepada anaknya.” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 1299]

Tujuan saya memulakan ruangan Cahaya Rohani bulan ini dengan dua perenggan di atas bukanlah untuk membicara hukum meminta kembali pemberian, tetapi sebagai pendahuluan bagi menerangkan betapa tinggi dan utama kedudukan seorang ayah di dalam Islam. Ini kerana kita semua mengetahui tuntutan Islam untuk berbuat baik kepada ibubapa dan saya yakin para pembaca Dara.com semua terdiri daripada mereka yang memenuhi tuntutan tersebut. Hanya yang perlu diketahui ialah sebesar mana tuntutan tersebut, agar dengan itu kita tahu di mana letaknya seorang ayah ketika menyusun priority dalam kehidupan kita.

Jika hadis di atas merujuk kepada sesuatu yang diberi oleh ayah kepada anak, maka hadis berikut pula merujuk kepada sesuatu yang sememangnya dimiliki oleh anak, lalu diminta oleh ayah. Hadis ini dimulai dengan pengaduan seseorang kepada Rasulullah s.a.w.: “Wahai Rasulullah, saya memiliki harta dan anak akan tetapi ayahku ingin menghabiskan harta aku.” Rasulullah menjawab: “Kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu.” [Shahih Sunan Ibn Majah, no: 2291]

Bagaimana pula jika ayah tidak meminta sesuatu milik anak tetapi anak mengetahui ayahnya dalam suasana keperluan? Hadis berikut menjawab persoalan ini: “Seorang anak belum membalas budi ayahnya sehingga dia mendapati ayahnya seorang budak hamba, lalu dia membelinya dan memerdekakannya.” [Shahih Sunan Ibn Majah, no: 3659]

Demikian tiga buah hadis yang sempat saya kongsi bagi menerangkan betapa tinggi dan utama kedudukan seorang ayah terhadap anaknya dalam Islam. Hadis-hadis di atas hanya menyangkut persoalan sesuatu yang dimiliki oleh anak. Jika hendak dihimpun hadis-hadis lain dalam subjek ibu dan ayah, nescaya memerlukan ruang yang banyak.

Walaubagaimanapun, sayang sekali pada masa kini ada sebahagian anak-anak yang mengabaikan amal shalih berbuat baik kepada ayah mereka. Status yang sudah mencapai umur belia dianggap cukup bagi menyemat sikap “merdeka” daripada seorang ayah. Bahkan ada yang berani membenci dan memutuskan hubungan harmonis dengan ayah mereka. Padahal terhadap sikap membenci ini, Rasulullah s.a.w. mengingatkan: “Janganlah kalian membenci ayah kalian. Sesiapa yang membenci ayahnya maka dia kufur.” [Shahih al-Bukhari, no: 6768]

Adapun sikap memutuskan hubungan harmonis, atau apa yang dikenali dalam Islam sebagai silaturahim, maka padahnya hanya kembali kepada anak itu sendiri, di dunia dan di akhirat. Renungilah hadis berikut: “Tidak ada dosa yang lebih layak untuk disegerakan hukumannya oleh Allah Ta‘ala ke atas pelakunya di dunia ini disamping apa yang disimpan bagi pelakunya di Hari Akhirat melainkan perbuatan memberontak (terhadap pemimpin) dan memutuskan silraturahim.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 4902] Fokus kita terhadap hadis di atas ialah “…memutuskan silraturahim”, di mana pemutusan apakah yang lebih berat hukumnya melainkan hubungan seorang anak terhadap ayahnya?

Dalam rangka menerangkan ketinggian dan keutamaan kedudukan seorang ayah dalam Islam, saya sedia memahami cabaran yang mungkin dihadapi oleh anak-anak masa kini. Antara cabaran tersebut ialah sikap ayah yang kurang baik seperti panas baran atau sering tiada di rumah. Mungkin juga cabaran konflik antara pilihan ayah dan pilihan anak, daripada jurusan yang hendak diambil di pusat pengajian tinggi, hobi harian sehinggalah kepada pilihan calon hidup.

Namun sebagai anak yang sudah menganggap dirinya dewasa dan “merdeka”, dia sepatutnya mampu menyusun langkah untuk berbicara dengan ayahnya secara baik lagi berkesan agar cabaran-cabaran di atas dapat diminimumkan. Ingat! Orang yang cemerlang bukanlah mereka yang melarikan diri daripada cabaran, tetapi adalah mereka yang mampu mengurusi cabaran itu.

Jika ayah memiliki beberapa kekurangan, maka sikap yang benar ialah menegurnya dengan penuh hikmah. Marilah kita ambil iktibar daripada kisah Nabi Ibrahim dengan ayahnya yang memiliki kekurangan yang amat berat. Beliau bukan sahaja menyembah berhala tetapi memiliki kerjaya membuat berhala. Namun terhadap kekurangan ini Nabi Ibrahim tetap menegur ayahnya dengan penuh hikmah sebagaimana yang dirakam dalam al-Qur’an: “Wahai ayahku, mengapa ayah menyembah benda yang tidak mendengar dan tidak melihat serta tidak dapat menolongmu sedikitpun?” [Surah Maryam, ayat 42]

Jika berlaku konflik antara pilihan kita sebagai anak dan pilihan ayah, maka rendahkanlah diri untuk berbincang dengan ayah. Jika persetujuan tidak dapat dicapai, maka mengalahlah kepada ayah. Sikap merendahkan diri ini dituntut oleh Islam dalam hubungan seorang anak dengan ibubapanya, sebagaimana firman Allah: “Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya (ibu dan ayah) kerana belas kasihan dan kasih sayangmu” [Surah al-Isra’, ayat 24]