Kedua: Berubah dari membaca sejarah yang lampau kepada mencatit sejarah yang baru.
Di kalangan umat Islam ada yang mengasyikkan diri membaca sejarah yang lampau. Mereka ini terbahagi kepada
dua golongan:
1. Mereka yang mengasyikkan diri membaca sejarah kegemilangan umat Islam pada masa-masa awalnya, lalu
merasa megah dengannya. Kemegahan ini seterusnya digunakan untuk menyelimuti kesedihan yang berada nun jauh di dalam hati, kesedihan yang timbul kerana memikirkan kemunduran yang sedang
dihadapi oleh umat Islam masa kini.
2. Mereka yang mengasyikkan diri membaca sejarah kejatuhan umat Islam pada masa-masa penjajahan, lalu
mereka merasa rendah diri dengannya. Ini seterusnya melahirkan sikap kekerdilan diri (inferiority complex) dan memberi cetusan di dalam pemikirannya bahawa untuk umat Islam kembali
maju, kita perlu mengikuti apa yang dilakukan oleh negara-negara penjajah seperti memisahkan agama dari kehidupan (sekularisme) dan membuka tafsiran agama agar ia tunduk kepada peradaban
semasa (liberalisme).
Di sini saya bukan menegah umat Islam daripada membaca sejarah yang lampau, tetapi ingin membetulkan hasil yang tercapai daripadanya. Pembacaan sejarah boleh
menghasilkan kesan yang positif dan negatif. Tentu sahaja yang kita kehendaki adalah kesan yang positif, iaitu:
·
Kita mengambil iktibar dari sejarah kegemilangan umat Islam pada masa-masa awalnya dengan mengkaji apakah
faktor-faktor yang menyebabkan mereka mencapai kegemilangan tersebut dan bagaimana kita boleh menerapkan faktor-faktor itu pada masa kini.
·
Kita mengambil iktibar dari sejarah kejatuhan umat Islam pada masa-masa penjajahan dengan memikirkan apakah
faktor-faktor yang menyebabkan kejatuhan tersebut dan bagaimana kita boleh mengelaknya dari berulang pada masa kini.
Mengambil iktibar secara positif daripada sejarah adalah sesuatu yang dituntut oleh Islam. Di dalam
al-Qur’an terdapat banyak sejarah para Nabi yang lalu. Ia disampaikan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala untuk kita mengambil iktibar daripadanya. Firman Allah:
لَقَدْ كَانَ فِي
قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لأُوْلِي
الأَلْبَابِ مَا كَانَ
حَدِيثًا يُفْتَرَى وَلَكِنْ
تَصْدِيقَ الَّذِي بَيْنَ
يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ كُلِّ
شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً
لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ.
Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi
orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam
Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu)
beriman.
Maka berdasarkan iktibar dan kajian daripada kajian sejarah Islam, kita berusaha untuk mencatit sejarah
yang baru, yang mendekati sejarah kegemilangan yang awal dan menjauhi sejarah kejatuhan yang terkemudian. Dengan pencatitan yang baru ini, era globalisasi bukan sahaja menjadi sejarah
kegemilangan bagi kaum bukan Islam, tetapi menjadi sejarah yang lebih gemilang bagi umat Islam.