Soalan 1 :

Saya pekerja di sebuah restoran. Masalahnya pada waktu solat Jumaat, urusniaga masih diteruskan di mana pekerja dan pelanggan lelaki tidak pergi solat Jumaat. Apa yang patut saya lakukan?

Haziera, Kangar, Perlis.

Jawapan:

Pada hari Jumaat, apabila azan dilaungkan maka hendaklah semua urusniaga dihentikan berdasarkan firman Allah s.w.t.: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mendirikan solat jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.” [Surah al-Jumaah, ayat 9]

Langkah yang saya cadangkan ialah anda menasihati tuan kedai untuk menutup restoran pada waktu solat Jumaat buat sementara, umpama daripada 12.30 tengah hari hingga 2 petang. Dengan cara ini pekerja dan pelanggan lelaki dapat pergi mendirikan solat Jumaat. Jangan menasihati tuan kedai dengan sekadar berkata “Itu halal dan ini haram”, sebaliknya gunakan susunan ayat dan hujah yang hikmah. Nyatakan kepadanya bahawa rezeki itu daripada Allah dan Allah melimpahkannya kepada orang yang berurusniaga mengikut petunjuk agama-Nya.