ibrahim.gifAssalamualaikum Ustaz,

The anti hadis groups “Submission” selalu merujuk kepada Millah Ibrahim. What is Millah Ibrahim and is there any significant with our sunni believes?

Jawapan HF:

Wa’alaikumussalam,

Yang dimaksudkan dengan “Millah” ialah jalan atau agama Nabi Ibrahim ‘alaihi salam. Perkataan “Millah” boleh dirujuk dalam teks Arab ayat 130, 135 surah al-Baqarah.

Aliran golongan anti hadis Submission berpendapat kita bukannya disuruh mengikuti sunnah Nabi Muhammad s.a.w., tetapi hendaklah diikuti sunnah Nabi Ibrahim a.s.

Nabi Muhammad sendiri perlu mengikuti Nabi Ibrahim. Dalil mereka ialah ayat 68 surah ‘Ali Imran:

Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi ugamanya) ialah ORANG-ORANG YANG MENGIKUTINYA dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umatnya - umat Islam). Dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang yang beriman.

Lihat juga ‘Ali Imran 3: 95, al-Nisa’ 4:125, al-An’aam 6:161, al-Nahl 16:123 dan al-Mumtahanah 60:04.

Ayat-ayat di atas meyuruh kita mengikuti Millah Nabi Ibrahim. Submission juga mendakwa, solat dan haji adalah amalan yang berasal daripada Nabi Ibrahim, Nabi Muhammad hanya meneruskannya sebagaimana yang sedia ada di Kota Mekah pada saat itu. Ia bukan merupakan sesuatu yang berasal dari hadis Muhammad. Oleh itu penolakan mereka ke atas hadis tidaklah bererti penolakan ke atas ibadah solat dan haji kerana kedua-duanya diambil daripada sunnah Nabi Ibrahim ‘alahi salam.

Hal ini boleh kita jawab dari beberapa sudut:

Pertama:

Antara Risalah Nabi Ibrahim dan Risalah Nabi Muhammad memang terdapat kesamaan, iaitu pada konsep mentauhidkan Allah Ta‘ala. Hal ini sebagaimana firman Allah:

"Dan aku menurut ugama bapa dan datuk nenekku: Ibrahim dan Ishak serta Yaakub. TIDAKLAH SEPATUTNYA KITA MEMPERSEKUTUKAN sesuatupun dengan Allah. MENTAUHID - MENGESAKAN ALLAH ialah hasil dari limpah kurnia Allah kepada kita dan kepada umat manusia. Tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur." [Yusuf 12:38]

Lihat juga surah al-Ankabut 29:16, al-Zukhruf 43:28 dan al-Mumtahanah 60:04.

Kedua:

Kesamaan dari sudut mentauhidkan Allah tidak bererti kesamaan dari sudut hukum-hukum syariat kerana masing-masing bersama Nabi mereka diberikan syariat tersendiri. Firman Allah:

Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). [al-Maidah 5:48]

Oleh itu bagi Nabi Ibrahim dan umatnya ada syariatnya yang tersendiri, bagi Nabi Muhammad dan umatnya ada syariatnya yang tersendiri.

Ketiga:

Jika dikatakan bahawa asalnya hendaklah mengikuti Nabi Ibrahim, maka yang sebenarnya hendaklah diikuti Nabi Nuh kerana Nabi Ibrahim itu adalah pengikut Nabi Nuh. Firman Allah:

Sesungguhnya Nabi Nuh itu dari hamba-hamba Kami yang beriman. Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain (yang mendustakannya). Dan sesungguhnya di antara orang-orang yang menegakkan (ajaran yang dibawa oleh) Nabi Nuh ialah Nabi Ibrahim. [al-Saffat 37:81-83]

Keempat:

Jika dikatakan bahawa Solat dan Haji adalah dengan mengikut syariat Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad hanya mengikutinya dan menyambung apa yang sedia ada, ini bererti:

[A] Solat itu ialah dengan bertelanjang dan bertepuk tangan:

Dan tiadalah sembahyang mereka di sisi Baitullah itu melainkan bersiul-siul dan bertepuk tangan. [al-Anfal 8:35]

[B] Apabila berhaji, sembelihan di Mina bukanlah kambing atau unta tetapi ialah anak sendiri sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim. [al-Saffat 37: 102-103]

Oleh itu yang benar ikutan kita kepada Nabi Ibrahim ialah dalam mentauhidkan Allah, semua Nabi diutuskan untuk mentauhidkan Allah. Di waktu yang sama setiap Nabi memiliki syariat (Millah) yang tersendiri, maka kita mengikut syariat (Millah) Nabi Muhammad dan bukannya Nabi Ibrahim.

Amalan Solat, Puasa, Haji dan sebagainya yang menjadi syari‘at Nabi Ibrahim telah pupus ketika Nabi Muhammad diutus menjadi rasul. Yang tinggal hanyalah saki bakinya yang telah bercampur aduk dengan pelbagai amalan kurafat yang lain. Maka Rasulullah datang dan mengajar syari‘at yang baru dan inilah yang kita amalkan sekarang ini melalui hadis-hadis baginda.

Wassalam.