kemalangan.jpgKetika menulis tentang kepentingan memakai tali pinggang keselamatan dalam edisi Majalah i bulan lepas, saya tersenyum keseorangan. Bukan apa, tetapi teringat akan diri saya sendiri yang beberapa tahun lalu tidak memakai tali pinggang keselamatan ketika memandu kereta. Lalu apakah yang menyebabkan saya berubah sikap?  

          Ia berlaku ketika saya sedang berjalan-jalan di sebuah pusat membeli-belah. Di ruang legar utama, pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) cawangan trafik membuat pameran berkenaan keselamatan di jalan raya. Di antara gambar-gambar yang dipamerkan dengan saiz yang besar dan kualiti yang tajam ialah kes-kes kemalangan yang diakibatkan oleh pemandu yang tidak memakai tali pinggang keselamatan. Badan yang terputus, anggota yang tercabut, organ-organ dalaman yang terkeluar dan darah yang membanjiri lokasi kemalangan dipamerkan secara terus. Sungguh menggerunkan, sungguh mengerikan, sungguh menyedarkan.

          Untuk pertama kalinya, ketika memandu pulang dari pusat membeli belah itu saya memakai tali pinggang keselamatan dan ini berterusan hingga kini. Sayang sekali pameran oleh pihak PDRM itu mendapat bantahan dari sebahagian orang kerana terlalu menggerunkan. Sejak dari itu saya tidak lagi menemui pameran seumpama dalam kempen keselamatan yang dianjurkan oleh pihak-pihak berwajib tanah air.

          Agaknya tidak ramai yang memiliki kekuatan untuk menghadapi sesuatu yang tidak disukainya, sekali pun ia memiliki manfaat di sebaliknya. Termasuk sesuatu yang tidak disukai ialah apabila dikritik oleh orang lain. Ramai yang tidak menyukainya, tidak dapat menerimanya, apatah lagi berani menghadapinya. Saya sendiri lazim menerima sejumlah kritikan yang pada awalnya agak sukar untuk diterima dan dihadapi. Sebegitu banyak sehingga pada satu ketika saya mengadu kepada guru saya Ustaz Dr. Abdullah Yasin, semoga Allah sentiasa memeliharanya.

          “Ustaz, macam mana ni….banyak orang yang mengkritik saya!”

          “Atas dasar apa mereka mengkritik anta?” beliau bertanya.

          “Biasalah ustaz, sebab saya menulis dalam subjek agama padahal saya bukan dari kelulusan agama.”

          “Ohh! Kalau begitu biarlah lebih banyak kritikan ke atas anta!”

          “Err…apa maksud ustaz?” saya bertanya kehairanan.

           “Kritikan lahir di atas sikap dengki dan tidaklah seseorang itu mengkritik melainkan dengki ke atas kebaikan yang anta lakukan, yang mereka sendiri tidak mampu lakukan. Maka jika ada banyak kritikan, bererti ada banyak kebaikan yang anta telah lakukan” jelas beliau penuh hikmah.

          “Ya ke ustaz?” jawab saya keriangan kerana mendapat satu sudut positif daripada apa yang selama ini saya sangkakan negatif.

          Pada ketika yang lain saya pernah bertanya kepada Ustaz Dr. Muhammad Asri Zainul Abidin, semoga Allah sentiasa memeliharanya, bagaimana sikap beliau dalam menghadapi pelbagai kritikan yang dilontarkan ke atasnya. Beliau menjawab bahawa Syaikh al-Albani, semoga Allah merahmatinya, pernah ditanya soalan yang sama. Syaikh itu menjawab, kurang lebih:

          “Mereka itu ingin mendapat tempat di sisi masyarakat tetapi tidak mampu meraihnya dengan melakukan kebaikan. Lalu mereka cuba meraihnya dengan melakukan kritikan terhadap orang yang sudah mendapat tempat di hati masyarakat.”

          Setelah sekian lama menjadikan kritikan sebagai sumber kekuatan, giliran saya pula memberi nasihat kepada sahabat handai. Salah seorang daripadanya, Mohd. Yaakub bin Mohd. Yunus pernah bercerita kepada saya bahawa ada beberapa agamawan yang mengkritik bukunya kerana rujukan-rujukan yang digunakan adalah dari edisi terjemahan. Saya menjawab:

         “Jika itu sahaja yang mampu mereka kritik, maka baguslah kerana bererti tiada kelemahan dalil dan hujah dalam buku anta. Adapun faktor bahasa sumber rujukan, apakah orang yang belum mahir berbahasa Arab hendak mendiamkan diri semata-mata kerana kelembapan orang yang kononnya mahir berbahasa Arab? Tentu tidak!”

          Hakikatnya, orang yang lazim mengkritik menghadapi konflik dalaman terhadap dirinya sendiri. Dia memiliki sijil pengajian agama namun dia sedar bahawa ilmu tidak diukur dengan kertas tetapi diukur dengan kadar manfaat kepada masyarakat, sementara dia sendiri tidak dapat menghasilkan manfaat tersebut. Dia memiliki ijazah dari sekian-sekian syaikh, namun dia akur ijazah itu hanya berkenaan jenis-jenis air yang jauh ketinggalan di zaman tajdid masa kini. Dia memiliki kemahiran dalam bahasa Arab namun dia malu kerana sehingga kini masih belum berjaya menterjemah satu kitab jua untuk tatapan masyarakat. Pelbagai konflik dalaman ini akhirnya menyebabkan kritikan-kritikan yang dilontarkan ke sana sini akhirnya kembali kepada dirinya. Memang, sungguh malang.

          Ada pun orang yang dikritik, maka kritikan itu sebenarnya menjadi daya penguat untuk terus ke hadapan, jauh meninggalkan si-pengkritik di belakang. Ayuh! Kita berusaha demi kebaikan agama dan manusia. Jangan terhalang kerana kritikan, sebaliknya jadikanlah kritikan itu sebagai sumber kekuatan.