Soalan:

Saya terbaca hadis Rasulullah yang mengatakan beza antara muslim dengan musyrik dan kafir ialah solat. Adakah hadis itu bermaksud orang Islam yang tidak pernah solat seumur hidup dianggap sebagai kafir? Adakah kesannya akan membawa kepada murtad?

Nurul Nadia Ramlee, Nibong Tebal, Pulau Pinang.


Jawapan:

Hadis yang dimaksudkan ialah: Pemisah antara seorang lelaki dengan kesyirikan dan kekafiran ialah meninggalkan shalat. [Shahih Muslim, no: 117/82] Di samping itu terdapat beberapa hadis lain yang menerangkan hukum kafir kepada orang yang meninggalkan solat.

Hukum kafir yang dimaksudkan di sini adalah orang tersebut menyerupai kebiasaan sikap orang kafir. Imam Abu ‘Ubaid al-Qasim bin Salam berkata: “Ada pun tentang beberapa atsar dan riwayat yang menyebut label kafir atau syirik terhadap beberapa perbuatan maksiat, maka menurut kami atsar atau riwayat tersebut tidak bermaksud untuk menetapkan bahawa pembuatnya telah melakukan perbuatan kafir atau syirik yang menghapuskan keimanan orang itu. Akan tetapi bermaksud untuk mengatakan bahawa perbuatan maksiat itu adalah akhlak dan kebiasaan yang dilakukan oleh orang kafir dan orang musyrik.” [Dikemukakan oleh Ibn al-Qayyim dalam Kitab al-Sholat, ms. 53-54]

Adapun hukum sebenar orang tersebut, maka ia bergantung kepada sebab dia tidak solat. Jika dia tidak solat kerana mengingkari kewajipannya, maka dia kafir dan murtad. Jika dia beriman kepada kewajipannya lalu tidak solat kerana malas, maka dia berdosa besar. Maka diulangi, hukum sebenar tidak dapat ditentukan melainkan setelah disemak sebab kenapa seseorang itu tidak solat.