Soalan 1: Sukar Memakai Stokin

Dalam keadaan sedang tujuh bulan hamil sekarang ini, saya merasa sukar untuk tunduk ke bawah memakai stokin kaki. Adakah apa-apa keringanan kepada wanita dalam hal ini? Bolehkah saya keluar rumah dengan kaki yang tidak berstokin?

 

Jawapan:

Kaki termasuklah aurat yang wajib ditutup oleh seorang wanita muslimat. Namun menutup kaki yang dimaksudkan dalam Islam ialah dengan melabuhkan pakaian sehingga menutup ke bawah mata kaki (ke bawah buku lali, pergelangan kaki). Maksudnya, jika memakai jubah atau baju kurung, hendaklah kainnya labuh sehingga ke bawah mata kaki.

Jika sedang berjalan atau ditiup angin lalu kain terselak sehingga ternampak bahagian bawah kaki (tapak kaki, mata kaki, bahagian bawah betis), maka tidak mengapa. Ia termasuk dalam sesuatu yang dimaafkan kerana tidak disengajakan.

Dalilnya ialah hadis berikut daripada ‘Abdullah ibn ‘Umar: Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa memanjangkan kainnya kerana sombong maka Allah tidak akan melihatnya (pada hari Akhirat kelak).”

Umm Salamah (isteri Rasulullah) bertanya: “Wahai Rasulullah, apa yang harus dilakukan oleh para wanita dengan kain mereka?” Baginda menjawab: “Kalian boleh memanjangkannya sejengkal.” Umm Salamah bertanya lagi: “Jika begitu, mata kaki mereka akan terbuka!” Baginda menjawab: “Kalian boleh menambahkan satu hasta dan jangan lebih.” [Shahih Sunan al-Nasa’e, no: 5241/5336]

Dalam hadis di atas, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengajar bahawa kain para wanita dilabuhkan sehasta dan tidak lebih dari itu. Sehasta ialah ukuran daripada siku tangan hingga ke hujung jari hantu. Bagi melabuhkan kain sebagaimana hadis di atas, sehasta tersebut diukur daripada lutut kaki. Bagi kebanyakan orang, ukuran sehasta dari lutut akan membawanya ke bahagian telapak kaki.

Apa yang penting, perhatikan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak mengajar para wanita untuk menutup aurat kaki dengan memakai stokin atau membalutnya dengan kain. Memadai dengan melabuhkan saja kain yang sedia dipakai.

Oleh itu baik dalam keadaan hamil atau tidak, dalam keadaan mudah memakai atau tidak, seorang wanita tidak diwajibkan memakai stokin. Apa yang diwajibkan ialah melabuhkan jubah, kain atau seluar longgarnya sehasta di bawah lutut. Memakai stokin dibolehkan jika ia merupakan pilihan peribadi, namun janganlah menganggapnya sebagai kewajipan agama.

 

 


 

Soalan 2: Melihat Wanita Yang Memberahikan

Kadangkala saya terlihat wanita, saya terus naik berahi. Kawan saya cerita, dalam Islam jika perkara seperti itu berlaku hendaklah segera bersama isteri bagi melepaskan berahi tersebut. Benarkah sedemikian? Minta diberikan penjelasan daripada al-Qur’an dan hadis.

 

Jawapan:

Ya, apa yang diceritakan oleh kawan saudara adalah benar. Namun sebelum itu ingin saya tekankan dua perkara. Pertama, baik lelaki atau wanita, hendaklah sentiasa mengawal pandangan supaya tidak berlaku perkara seumpama di atas. Allah berfirman kepada para lelaki: Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangan…” [al-Nur 24:30] Kemudian Allah berfirman kepada para wanita: Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangan…” [al-Nur 24:31]

Kedua, andai terpandang, maka yang dibolehkan ialah pandangan pertama pada saat itu. Seterusnya hendaklah mengawal pandangan sebagaimana langkah pertama di atas. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah berpesan kepada Ali bin Abi Thalib: Wahai Ali, janganlah kamu ikuti pandangan yang pertama dengan pandangan berikutnya, karena yang pertama untukmu dan yang kedua bukan lagi untukmu. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2701/2777] Meski pun hadis ini ditujukan kepada Ali yang merupakan seorang lelaki, pengajaran darinya adalah umum meliputi wanita juga. Oleh bagi para wanita juga, yang dibolehkan hanyalah pandangan pertama, andai terpandang.

Baiklah, kini saya masuk ke soalan yang dikemukakan, iaitu benarkah dalam Islam jika seseorang itu naik berahi, hendaklah dia segera bersama pasangannya bagi melepaskan berahi tersebut? Jawapannya adalah benar berdasarkan hadis berikut:

Rasulullah pernah melihat seorang wanita, lalu baginda mendatangi isterinya Zainab yang sedang menyamak kulit bagi melepaskan hajatnya. Sesudah itu, baginda pergi menemui para sahabatnya lalu bersabda: “Sesungguhnya wanita itu datang dan pergi bagaikan imej syaitan. Oleh itu apabila kamu melihat seorang wanita (lalu menjadi berahi), maka datangilah isterimu karena yang demikian itu dapat mententeramkan gejolak hatimu.” [Shahih Muslim, no: 2491/1403]

Meskipun hadis di atas merujuk kepada suami yang menjadi berahi melihat wanita, tidak salah jika pengajarannya diluaskan kepada para isteri juga. Ini kerana wanita juga memiliki nafsu seks dan syaitan boleh juga mengganggu dengan menampakkan dirinya sebagai imej lelaki yang menggoda.

Oleh itu para suami dan isteri hendaklah sentiasa dalam keadaan siap sedia andai pasangannya tiba-tiba hendak bermain-main atau melakukan hubungan seks dengannya. Tidak mengendahkan permintaan pasangan akan menyebabkan mereka terpaksa mencari alternatif lain.