Daripada Abu Bakrah radhiallahu 'anh, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda: Sekali-kali tidak akan berjaya satu kaum jika urusan mereka diserahkan (diwalikan) kepada seorang wanita. [Shahih al-Bukhari, no: 4073/4425 & 6570/7099]

Ketika mensyarahkan hadis di atas, Ibn Hajar al-Asqalani mengulas: Berkata al-Khaththabi: “Dalam hadis ini (terdapat dalil) bahawa wanita tidak boleh dilantik menjadi pemimpin, tidak juga hakim. Dan di dalamnya (terdapat dalil) bahawa (wanita) tidak boleh menikahkan dirinya dan tidak boleh dilantik mengurusi akad nikah selainnya.” Demikianlah perkataan (al-Khaththabi) dan ia diikuti (oleh ulama’ lain).

Dan (larangan) daripada melantik (wanita menjadi) pemerintah dan hakim adalah pendapat jumhur. Akan tetapi al-Thabari membolehkannya dan ia diriwayatkan daripada Malik. Dan (diriwayatkan) daripada Abu Hanifah (bahawa) dibolehkan melantik hakim (wanita) dalam kes-kes yang melibatkan kesaksian wanita. [Fath al-Bari, syarah bagi hadis no: 4073/4425]

womanleadership

Ibn Hajar al-Asqalani mengulas lagi: Berkata Ibn al-Tin: “Mereka yang berpendapat bahawa tidak boleh melantik wanita menjadi hakim telah berhujah berdasarkan hadis Abu Bakrah dan ia merupakan pendapat jumhur. Manakala Ibn Jarir al-Thabari telah berbeza pendapat (di mana dia berkata): Dibolehkan (wanita) menjadi hakim dalam kes-kes yang diterima persaksian mereka di dalamnya. Sementara itu sebahagian Malikiyah membolehkan (wanita menjadi hakim) secara mutlak.” [Fath al-Bari, syarah kepada hadis 6570/7099]

Demikianlah jumhur ulama’ menjadikan hadis Abu Bakrah di atas sebagai dalil dan hujah melarang perlantikan wanita menjadi pemerintah. Adapun sebagai hakim dalam kes-kes yang melibatkan persaksian wanita, sebahagian ulama’ membolehkan perlantikan hakim wanita sementara jumhur tetap berkata tidak boleh. Saya sendiri cenderung bahawa wanita boleh menjadi hakim dalam kes-kes yang melibatkan kesaksian wanita.

Akan tetapi pada masa kini, muncul pandangan-pandangan yang membolehkan wanita menjadi pemerintah. Mereka menabur sejumlah keraguan (syubhat) ke atas hadis Abu Bakrah di atas. Marilah kita menyemak keraguan-keraguan tersebut dan meluruskannya dengan izin Allah.

 

Keraguan 1:

Hadis Abu Bakrah hendaklah dirujuk pada konteksnya, di mana ia melibatkan Kisra (Raja) Parsi. Justeru ia hanya khusus untuk pemerintah Kisra Parsi ketika itu yang merupakan seorang wanita dan bukan umum meliputi semua pemerintahan.

Pelurusan:

Marilah kita merujuk kepada keseluruhan hadis Abu Bakrah: Daripada Abu Bakrah dia berkata: Sungguh Allah telah memberikan manfaat kepadaku dengan satu kalimat yang pernah aku dengar daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, iaitu pada hari-hari Perang Jamal tatkala aku hampir bergabung dengan para penunggang unta lalu aku ingin berperang bersama mereka.

Dia berkata: Tatkala sampai kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, bahawa penduduk Parsi telah dipimpin oleh seorang puteri Kisra, baginda bersabda: “Sekali-kali tidak akan berjaya satu kaum jika urusan mereka diserahkan (diwalikan) kepada seorang wanita.” [Shahih al-Bukhari, no: 4073/4425]

Jika dikaji keseluruhan hadis, memang ia pada asalnya merujuk kepada Kisra Parsi yang merupakan seorang wanita. Akan tetapi:

  • Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak menyebut “mereka itu” atau “kaum itu” bagi merujuk kepada negara Parsi secara khusus, sebaliknya menyebut “kaum” secara umum, bererti ia meliputi semua kaum dan negara.
  • Kaedah Ushul Fiqh menyebut: “Yang diambil adalah keumuman lafaz dan bukan kekhususan sebab”, bererti yang diambil sebagai dalil dan hukum adalah lafaz hadis yang umum dan bukannya sebab khusus pemerintah Kisra Parsi.
  • Abu Bakrah yang mendengar hadis ini mempraktikkannya dalam kes Perang Jamal. Beliau pada awal bersama A’isyah radhiallahu 'anha. Akan tetapi apabila umat Islam terbahagi dua antara pasukan Ali dan pasukan A’isyah, beliau menarik diri dan tidak memihak kepada mana-mana pasukan [Fath al-Bari, syarah kepada hadis 6570/7099]. Abu Bakrah tidak memahami hadis ini sebagai khusus kepada Kisra Parsi, tetapi umum meliputi semua urusan pemerintahan, termasuklah pemerintah dalam Perang Jamal.

 

Keraguan 2:

Hadis ini hanya sesuai pada zaman dulu di mana kedudukan wanita direndahkan oleh masyarakat. Pada masa kini, kedudukan wanita sejajar dengan lelaki, sehingga wanita layak menjadi pemerintah sebagaimana juga lelaki.

Pelurusan:

Jika disemak sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, baginda menggunakan perkataan “Lan” yang bererti “Tidak sekali-kali”. Baginda tidak menggunakan perkataan “La” yang boleh bermaksud “tidak” pada masa itu saja, tetapi “Lan” yang bermaksud “tidak” pada masa itu dan akan datang.

Sebagai contoh perhatikan ayat berikut: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan reda kepadamu sehingga kamu menurut agama mereka. [al-Baqarah 2:120] Dalam ayat ini, Allah Subhanahu wa Ta'ala menggunakan perkataan “Lan”, ertinya orang Yahudi dan Nasrani dari dulu, kini dan selamanya tidak akan reda kepada kita sehinggalah kita mengikuti agama mereka.

Oleh itu hadis Abu Bakrah tersebut adalah sah dari saat Rasulullah menyampaikannya sehinggalah ke Hari Akhirat. Selain itu, bukankah kita semua beriman bahawa kedatangan Islam telah memperbaiki dan menaik tarafkan kedudukan wanita? Namun dalam semua pembaikan dan naik taraf tersebut, ia tidak melibatkan kedudukan wanita sebagai pemerintah.

 

Keraguan 3:

Hadis ini hanya diriwayatkan dan diamalkan oleh Abu Bakrah. Sahabat-sahabat Nabi yang lain tidak meriwayatkannya dan tidak mengamalkannya.

Pelurusan:

Sesuatu yang baku dalam ilmu hadis adalah, tidak semua sahabat mengetahui semua hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Ada yang mengetahui sedikit, ada yang mengetahui jumlah yang sederhana dan ada yang mengetahui jumlah yang amat banyak.

Justeru jika seorang sahabat telah meriwayatkan sebuah hadis, maka ia dengan sendirinya adalah dalil agama. Ia tidak memerlukan sokongan atau pengiktirafan oleh sahabat-sahabat yang lain.

 

Keraguan 4:

Bukankah selepas ‘Utsman ibn ‘Affan dibunuh, A’isyah isteri Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersaing dengan Ali bin Abu Thalib untuk menuntut jawatan khalifah sehingga berlakunya Perang Jamal? Jika wanita tidak dibolehkan menjadi pemerintah, nescaya A’isyah tidak akan bersaing dengan Ali untuk menjadi khalifah.

Pelurusan:

Ini adalah salah faham sejarah yang tersebar luas. Apa yang benar adalah, A’isyah radhiallahu 'anha tidak bersaing dengan Ali radhiallahu 'anh untuk jawatan pemerintah (khalifah). Ikutilah penerangan Ibn Hazm:

“Dan adapun (pemergian) Ummul Mukminin (A’isyah), al-Zubair dan Thalhah radhiallahu 'anhum berserta orang-orang yang bersama mereka (ke Basrah), tidaklah mereka sedikit jua bertujuan membatalkan kekhalifahan Ali, mereka tidak mencabar jawatan tersebut, mereka tidak menyebut apa-apa kecacatan yang merendahkan beliau daripada jawatan tersebut, mereka tidak bertujuan mengangkat khalifah baru yang lain dan mereka tidak memperbaharui bai‘ah kepada sesiapa yang lain. Ini adalah sesuatu yang tidak dapat diingkari oleh sesiapa jua dengan apa cara jua.

Kebenaran yang sebenar yang tidak memiliki apa-apa permasalahan padanya adalah mereka tidak pergi ke Basrah untuk memerangi Ali atau menentangnya atau mencabut bai‘ah daripadanya ……yang benar mereka berangkat ke Basrah tidak lain untuk menutup (daripada berlakunya) perpecahan yang baru dalam Islam disebabkan peristiwa pembunuhan yang zalim ke atas Amirul Mukminin ‘Utsman radhiallahu 'anh.” [al-Fishal fi al-Milal wa al-Ahwa’ wa al-Nihal (diteliti oleh Ahmad Syams al-Din; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1996), jld. 3, ms. 83]

 

Keraguan 5:

Larangan wanita menjadi pemerintah tidak terdapat dalam al-Qur’an.

Pelurusan:

Ini adalah hujah golongan anti hadis dan mereka yang terpengaruh dengannya. Adapun seorang Muslim, maka sumber hukum bukan hanya al-Qur’an tetapi al-Qur’an dan Hadis. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah dan apa jua yang dilarang kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar arahan ini). [al-Hasyr 59:07]

Adapun dakwaan perkara ini tidak terdapat dalam al-Qur’an, maka perhatikanlah firman Allah Subhanahu wa Ta'ala berikut ini: Kaum lelaki bertanggungjawab ke atas kaum perempuan disebabkan keutamaan yang Allah berikan kepada sebahagian mereka (lelaki) di atas sebahagian yang lain (wanita). [al-Nisa’ 4:34]

Ada yang menyempitkan keumuman lafaz di atas kepada urusan rumahtangga sahaja. Penyempitan ini menimbulkan sesuatu yang amat tidak munasabah, iaitu bagaimana mungkin seorang wanita menjadi pemerintah negara jika dia tetap berada di bawah tanggungjawab suaminya yang merupakan rakyatnya?

Oleh itu yang benar, rangkap pertama ayat 34 surah al-Nisa’ ini meliputi semua urusan manakala rangkap seterusnya dalam ayat tersebut barulah memberi fokus kepada urusan rumahtangga. Justeru tidaklah benar dakwaan larangan wanita menjadi pemerintah tidak terdapat dalam al-Qur’an.

 

Keraguan 6:

Di dalam al-Qur’an terdapat kisah Ratu negara Saba’ yang memerintah dengan berjaya.

Pelurusan:

Benar, akan tetapi Ratu tersebut adalah orang kafir yang menyembah matahari. Di akhir kisah, beliau berserah diri bersama Sulaiman kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Dan apa yang disembahnya selama ini selain Allah, mencegahnya (untuk mezahirkan keislamannya), kerana sesungguhnya dia dahulunya termasuk orang-orang yang kafir. Dikatakan kepadanya: “Masuklah ke dalam istana.” Maka tatkala dia melihat lantai istana itu, dikiranya kolam air yang besar, dan disingkapkannya kedua betisnya. Berkatalah Sulaiman: “Sesungguhnya ia adalah istana licin terbuat dari kaca.” Berkatalah Balqis: “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah berbuat zalim terhadap diriku dan aku berserah diri bersama Sulaiman kepada Allah, Tuhan semesta alam.” [al-Naml 27:43-44]

Berserah diri kepada Allah tidak sekadar bererti memeluk Islam, tetapi juga berserah kepada syari’at Allah sepenuhnya. Salah satu daripada syari’at tersebut ialah wanita tidak menjadi pemerintah negara.

Di sini hendaklah diperingatkan bahawa dalam al-Qur’an memang terdapat beberapa kisah yang menarik. Namun sebelum mengambil kisah-kisah itu sebagai dalil syari’at Islam, hendaklah disemak terlebih dahulu sama ada individu yang terbabit dalam kisah tersebut adalah seorang Muslim atau tidak.

 

Keraguan 7:

Berjaya atau tidak seorang pemerintah bergantung kepada ilmu, kematangan, ciri-ciri kepimpinan dan wawasan. Ia tidak bergantung kepada jantina. Oleh itu jika disemak catatan sejarah, ada contoh-contoh negara yang berjaya ketika di bawah pemerintahan seorang wanita. Pada waktu yang sama, ada contoh-contoh negara yang tidak berjaya ketika di bawah pemerintahan seorang lelaki.

Pelurusan:

Apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Sekali-kali tidak akan berjaya satu kaum jika urusan mereka diserahkan (diwalikan) kepada seorang wanita”, di sisi siapakah kejayaan atau kegagalan tersebut diukur? Adakah di sisi ahli ekonomi, ahli perbankan, ahli akademik dan juru ukur ketinggian bangunan?

Ketahuilah bahawa kejayaan yang dimaksudkan ialah di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala dan ia melibatkan kejayaan di dunia dan akhirat. Kejayaan ini hanya Allah berikan kepada orang yang taat kepada-Nya dan taat kepada Rasul-Nya. Firman Allah:

Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Allah (al-Qur’an) dan Rasul-Nya (hadis) supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: “Kami dengar dan kami taat”. Dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan. [al-Nur 24:51]

Apabila satu kaum atau rakyat hidup dalam keadaan mentaati Allah dan Rasulullah, maka itulah kejayaan yang hakiki meskipun manusia melihatnya sebagai kegagalan. Namun apabila satu kaum atau rakyat hidup dalam keadaan menderhakai Allah dan Rasulullah, maka itulah kegagalan yang hakiki meskipun manusia melihatnya sebagai satu kejayaan.

Kaum atau rakyat yang menyelisihi hadis Rasulullah tentang pemerintah wanita, mereka juga akan menyelisihi baginda dalam banyak perintah, larangan, anjuran, tegahan dan sunnah-sunnah yang lain. Bahkan kemungkinan besar mereka juga menyelisihi al-Qur’an dalam banyak urusan. Kaum seperti ini tidak akan berjaya, meskipun seluruh manusia beranggapan mereka itu berjaya.

 

Dua Persoalan

Demikianlah 7 keraguan atau syubhat yang lazim dilontarkan dan pelurusan terhadapnya. Selain itu, terdapat dua soalan yang lazim dikemukakan.

Pertama, bagaimana jika tidak ada lelaki yang layak menjadi pemerintah? Apakah tetap dilantik lelaki yang lemah atau fasiq menjadi pemerintah padahal pada waktu yang sama ada calon wanita yang kuat dan bertaqwa? Pada pandangan saya, boleh. Ini kerana syari’at Islam diikuti dan dilaksanakan semampu yang boleh. Pada asalnya, pemerintah dalam Islam adalah lelaki. Namun apabila hukum asal ini tidak mampu dilaksanakan, maka boleh melantik wanita menjadi pemerintah.

Kedua, bagaimana dengan jabatan-jabatan yang khusus mengurusi hal-ehwal wanita atau yang lebih sesuai diketuai oleh wanita, bolehkan seorang wanita menjadi ketuanya? Pada pandangan saya, apabila pemerintah tertinggi negara melihat bahawa wanita lebih sesuai menjadi ketua bagi jawatan tersebut dan ada calon wanita yang layak, maka ia dibolehkan. Ini saya kembangkan daripada pandangan para ulama’ yang membolehkan wanita menjadi hakim dalam kes-kes yang melibatkan saksi wanita.