Solat Hari Raya di surau berhampiran rumah saya tahun ini dicemari dengan tiga perkara:

(1) Sebelum solat, pihak surau membuat pengumuman yang panjangnya hampir 10 minit.

Waktu yang sebenarnya digunakan untuk bertakbir dibazirkan untuk terangkan kewangan surau, bumbung bocor dan lain-lain perkara lagha.

Bahkan 30% ucapan adalah perkataan "Aaaaa.....", menunjukkan si fulan tu tak tahu apa nak cakap, tetapi nak cakap juga.

(2) Kemudian kursus kilat cara solat Hari Raya, termasuklah (a) lafaz niat dan (b) bacaan zikir di antara takbir.

Kedua-dua ini (a&b) bukan tunjuk ajar Nabi s.a.w..

Tidak sahih daripada Nabi s.a.w. satu zikir tertentu yang diucapkan di antara takbir-takbir Ied.

Akan tetapi ada atsar dari Ibnu Mas’ud tentang hal ini. Ibnu Mas’ud berkata :

بَيْنَ كُلِّ تَكْبِيْرَتَيْنِ حَمْدُ لِلّهِ عَزَّ وَجَلَّ، وَثَنَاءٌ عَلَى اللَّهِ

“Artinya : Di antara tiap dua takbir diucapkan pujian dan sanjungan kepada Allah Azza wa Jalla” (Riwayat al-Baihaqi dengan sanad yang jayyid)

Oleh itu yang tepat dalam perkara ini ada pilihan, sama ada membaca sesuatu zikir atau diam. Jika hendak dibaca sesuatu zikir, maka ia juga terbuka kepada pilihan masing-masing.

Pihak masjid/surau sebaiknya menerangkan pilihan-pilihan ini.

(3) Selepas solat, sebelum khutbah, khatib mengajak semua hadirin agar mendengar khutbah dan JANGAN balik.

Ini bertentangan dengan sunnah Nabi s.a.w..

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ السَّائِبِ قَالَ:شَهِدْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْعِيدَ فَلَمَّا قَضَى الصَّلَاةَ قَالَ إِنَّا نَخْطُبُ فَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَجْلِسَ لِلْخُطْبَةِ فَلْيَجْلِسْ وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَذْهَبَ فَلْيَذْهَبْ

Daripada Abdullah bin As Sa`ib dia berkata;

"Aku menyaksikan shalat Ied bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, setelah melaksanakan shalat, baginda bersabda:

"Kami akan melaksanakan khutbah, barangsiapa ingin mendengarkan khutbah, hendaklah dia duduk. Dan barangsiapa ingin pergi, silakan pergi."

(Sunan Abu Daud 975/1290. Imam Abu Daud berkata, hadis ini mursal. Namun Syaikh al-Albani menilainya sahih).